Harta warisan barang kemas

Soalan

 

Seorang ibu yang telah meninggal dunia, meninggalkan barang kemas berupa emas-permata.  Bagaimanakah caranya membahagikan harta (barang-barang emas) tersebut kapada ahli waris mengikut hukum FARAID dengan tidak menjualkan barang-barang emas tersebut?

 

Jawaban

 

Sebelum harta si mati dibahagi mengikut Faraid, pastikan perkara-perkara berikut

 

1.     Gunakan harta berkenaan untuk membayar kewajiban yang tertunggak seperti fidyah puasa, haji dan zakat.

2.      Gunakan harta berkenaan untuk membayar hutang dan hak manusia lain.

 

Untuk membahagikan harta berkenaan cara Faraid, ialah dengan pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sijil pembahagian harta secara Faraid untuk mengetahui bahagian bagi setiap ahli waris yang ada.

 

Setelah semua ahli waris mengetahui bahagian masing-masing – siapa yang dapat dan siapa yang tidak dapat harta warisan serta berapa kadar yang diperolehi – maka barang-barang kemas berkenaan bertukar menjadi milik bersama ahli waris mengikut kadar warisan yang diterima.

 

Ahli waris hendaklah bermesyuarat sesama mereka untuk mendapat persetujuan agar barang kemas berkenaan kekal dalam keadaan asalnya. Jika semua pihak bersetuju, maka bolehlah harta berkenaan dikekalkan sedemikian. Jika ada seorang ahli waris, tidak bersetuju. Sebaliknya menuntut haknya, maka salah satu dari dua pilihan berikut boleh dilakukan;

 

1.       Nilaikan jumlah barang kemas keseluruhannya. Setelah itu, tentukan berapakah nilai hak waris yang menuntut haknya dalam bentuk dolar. Kemudian jualkan barang kemas sekadar jumlah hak waris yang menuntut dan berikan hasil jualan kepada waris berkenaan. Jika setelah menolak hak waris tadi masih ada kelebihan dari hasil jualan, kembalikan wang berkenaan kerana ia adalah hak waris-waris yang lain, atau

2.       Tentukan nilai hak waris yang menuntut. Ahli-ahli waris yang lain, bolehlah mendahulukan wang tunai kepada waris berkenaan mengikut nilai haknya.

 

Perlu diingatkan adalah menjadi hak waris untuk menuntut haknya dari harta warisan dan tidak berkewajiban baginya untuk bersetuju mengekalkan barang kemas itu dalam bentuk asal. Waris berkenaan juga tidak boleh dipaksa untuk mengkalkan barang kemas itu seperti sedia ada.

 

Jika sekarang ini semua ahli waris bersetuju untuk mengekalkan barang kemas seperti asal tetapi menuntut haknya di masa akan datang, maka langkah di atas bolehlah diikuti.

 

Wallahu A`alam.