Ustaz, salam
Apakah hukum memakan balut?
(Nota: Balut adalah telur yang mengandungi janin binatang (i.e. ayam, itik) yang sudah terbentuk jasadnya tapi belum sempurna dan belum menetas. Ia biasanya diambil setelah eram beberapa hari. Ia merupakan makanan popular di Filipina dan negara-negara di Indo-Cina. Untuk maklumat lanjut, sila lihat di http://en.wikipedia.org/wiki/Balut_(egg) )
Jawaban
Salam
Terdapat dua pendapat dalam hal ini oleh para ulama kontemporari.
- Hukum memakannya adalah harus. Pendapat ini berdasarkan pada prinsip asal sesuatu adalah harus sehingga ada bukti jelas akan keharamannya. Ia tidak diaanggap sebagai bangkai yang haram dimakan kerana kerana ia belum lagi bernyawa, belum terbentuk sempurna dan belum menetas. Segala sifat-sifat itu tidak menjadikan janin itu termasuk dalam erti bangkai yang biasa.
- Hukumnya adalah haram. Hukum ini dikeluarkan oleh jawatankuasa fatwa di Saudi Arabia. Hujah bagi pendapat ini ialah ia dihukumkan sebagai bangkai kerana sifatnya yang sudah terbentuk seperti binatang. Tambahan pula ia menjijikkan.
Sememangnya hukum balut secara khusus tiada dalam Al-Quran dan hadits kerana ia bukan sesuatu yang wujud di zaman Rasulullah s.a.w.
Oleh itu, ia terserah pada ijtihad ulama kontemporari. Dalam hal ini, adalah menjadi lumrah jika ada perbezaan pendapat. Maka terserahlah pada individu untuk membuat pilihan pendapat mana yang ia lebih condong dan selera yang dia ada.
Pendapat pertama sesuai bagi Muslim yang sudah pun terbiasa dengan balut sebagai makanan harian dan keringanan bagi mereka.
Mereka yang membesar dalam masyarakat yang mana balut bukan makanan biasa, mungkin lebih elok untuk meninggalkan dari memakannya sebagai langkah berhati-hati dari sudut agama dan kesihatan.
Satu cara bagi memberatkan salah satu pendapat di atas ialah dengan melakukan kajian saintifik akan kebaikan dan keburukan balut sebagai makanan. Jika kajian saintifik menunjukkan keburukan lebih banyak, maka ia memberatkan pendapat yang mengharamkan dan begitulah sebaliknya.
Wallahu A`alam