Soalan
Assalamualaikum Ustad,
Saya sekarang bekerja di Canada, kawasan Utara. Pekerjaan saya menyebabkan saya sering berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain atau dari satu negara ke negara lain. Soalan saya, bagaimanakah saya dapat mengerjakan solat ketika saya keluar bekerja (pelantar minyak di darat) yang mana selalunya terletak di luar kawasan penempatan, sejuk dan tiada kemudahan tandas untuk berwuduk. Bolehkah sekiranya saya melakukan jamak sebelum saya keluar bekerja memandangkan saya selalunya berpindah dari hotel ke hotel.
Terima Kasih.
————————————————
Jawaban
Salam
Agak sukar bagi saya untuk memberi jawaban yang tepat kerana ia memerlukan maklumat tambahan bagi membolehkan saya memahami masalah yang dikemukakan. Walau bagaimana pun, berikut adalah beberapa pilihan:
1. Anda boleh jama dan qasar atas andaian bahawa menuju ke tempat kerja saudara memerlukan perjalanan ibarat seorang musafir. Ulama semua membolehkan jama’ dan qasar bagi seorang musafir, hanya mereka berselisih mengenai berapa jauhkah perjalanan untuk dikira sebagai musafir. Cara ini boleh dilakukan, bila anda berada di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja.
2. Anda boleh jama tanpa qasar. ini berdasarkan perbuatan nabi yang pernah menjama’ solat bukan kerana musafir, hujan atau takut sebagai keringanan bagi umatnya ketika berkeperluan. Ini boleh dilakukan ketika dirumah sebelum keluar bekerja i.e jama’ solat zohor dan asar sebelum bertugas atau ketika berada di tempat kerja.
3. Solat seperti biasa, apabila keadaan membolehkan.
Mengenai wudu’, berikut adalah beberapa pilihan:
1. Ambil wudu’ dirumah dan berusaha untuk menjaganya selama yang mungkin. Muslim dianjurkan untuk selalu dalam keadaan berwudu dan memeliharanya.
2. Membawa bekal air untuk wudu’. Tidak perlu banyak, sebotol boleh memadai.
3. Bertayamum bila tiada kemudahan untuk mendapatkan air atau kerana cuaca sejuk yg menyusahkan untuk membuka pakaian untuk berwuduk atau jika ia akan memudaratkan kesihatan jika terkena air atau terdedah kepada cuaca ketika cuaca yang sangat sejuk.
Akan membantu, jika tahu juga kaedah berwudu’ dengan menyapu sepatu.
Moga allah memudahkan.
Salam
haniff