Kemusykilan agama – Membeli insuran nyawa

Soalan

 

Apakah pandangan Islam terhadap insurans nyawa?

 

Jawaban

 

Islam memerintahkan umatnya agar mengurus kehidupan dan harta. Termasuk dalam mengurus kehidupan diri dan keluarga ialah memastikan wujudnya perlindungan dan sistem sokongan di saat susah dan mengurus harta pula dilakukan dengan menabung, melabur dan berniaga dengan harta kita.

 

Secara prinsip, membeli insurans dilihat dari perspektif kerana untuk mengurus kehidupan diri dan harta bukan bertujuan untuk menolak takdir atau tidak tawakal kepada Allah taala.

 

Persoalan insurans nyawa adalah persoalan yang dikhilafkan oleh ulama. Terdapat dua pandangan mengenainya. Satu yang mengharamkannya dan satu lagi membolehkannya.

Pandangan yang membolehkannya dipelopori oleh Syeikh Mustafa Az-Zarqa’ dengan syarat bahawa produk insurans itu tidak mempunyai riba’ dan benda yang dilindung adalah sesuatu yang halal. Selain itu, pelaburan syarikat insurans itu pula hendaklah ke dana yang halal.

 

Pandangan Syeikh Mustafa Az-Zarqa’ menjadi pegangan ramai pengamal insurans Islam yang menghasilkan produk yang dikenali dengan Takaful.

 

Hari ini adalah sukar untuk memberi hukum secara umum bahawa insurans nyawa adalah halal atau haram disebabkan perkembangan produk insurans yang bertambah kompleks dan sofistikated. Sering kali nama sesuatu produk itu sahaja tidak cukup untuk memberi hukum yang tepat. Ada produk insurans hari ini yang memakai nama konvensional tetapi perincian kontraknya adalah sah di sisi agama.

 

Bagi menjawab soalan yang ditanya pula memerlukan huraian yang luas mengenai  konsep Takaful Islam dan perbezaannya pula dengan insurans moden. Ini pastinya tidak dapat dilakukan melalui ruang yang terhad ini.

 

Bagi mereka yang ingin membeli insurans, satu langkah yang baik ialah dengan meneliti konsep, mekanisme dan isi kontrak sesuatu produk. Setelah itu, merujukkannya kepada tokoh agama atau pakar insurans Islam bagi mendapatkan pandangan secara peribadi.

 

Yang terbaik ialah untuk membeli produk insurans Islam yang dikenali sebagai Takaful Am atau Takaful Keluarga yang telah dijamin halal oleh Lembaga Pensihat Syariah. 

 

Kecuali jika keperluan yang amat besar dan tiada produk Takaful Islam yang menawarkan perlindungan yang diperlukan, maka bolehlah dipertimbangkan produk insurans konvensional.

 

Wallahu A`alam