Kemusykilan Agama – Memberi daging korban kepada bukan Muslim

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Assalamua’alaikum Ustaz!

Saya nak tanya apakah hukum2nya daging korban?
Begini Ustaz, hari ni ada rakan sekerja yg berugama Islam bawak hidangan biryani kambing yg dimasak dari rumah. Saya belum sempat menemuinya kerna dia berkerja shift awal pagi. Soalan saya, bolih kah daging yg kita korbankan di hidangkan untuk bukan Islam; kerna di tempat kerja kami ramain bukan Islam. Saya jugak pernah mendengar yg daging korban tak bolih dimakan oleh bukan Islam. Bagaimana pulak bagi yg ada mertua/ipar duai yg bukan Islam kalau niat saya hanya nak menjamu & berkongsi makanan saya?

Terimakasih Ustaz.

————————————-

Jawaban

Salam

Saya berpegang pada pandangan para ulama yg membenarkan SEBAHAGIAN dari daging korban dibahagikan kepada bukan Muslim terutama jika mereka itu adalah saudara terdekat kita seperti ibu bapa atau adik beradik atau jiran berdekatan. Termasuk dalam jiran berdekatan ialah teman sepejabat – Muslim dan bukan Muslim. Terutama juga jika mereka ini termasuk dalam golongan yang miskin dan memerlukan.

Sedangkan harta zakat (sedekah yang wajib), Allah benarkan satu bahagian untuk mereka yang bukan Muslim i.e golongan muallaf. Muallaf dalam makna yang asal bukan rujuk hanya mereka yang baru memeluk Islam tetapi meliputi juga golongan bukan Muslim yang ingin ditarik atau dimenangi hati mereka agar masuk Islam atau tidak memusuhi Islam.

Pendapat sebegini, menjadi lebih relevan dalam konteks mereka yang hidup di negara majoriti bukan Muslim.

Saya sering juga ditanya mengenai hukum memberi derma kepada golongan bukan Muslim. Seperti soalan yang ditanya, kesemua ini memberi petunjuk bahawa terdapat keberatan di kalangan sebahagian Muslim untuk memberi bantuan kewangan atau harta benda kepada golongan yang berlainan agama – seolah-olah sesuatu yang berdosa membantu golongan bukan Muslim yang memerlukan dan hanya merasa selesa untuk membantu sesama Muslim sahaja.

Saya berpendapat sifat dan perasan seperti ni hendaklah dikikis. Kalau Islam itu adalah rahmat bagi semua, tidak munasabah kalau semua harta yang hendak disedekahkan hanya patut diberi kepada orang Muslim sahaja. Lebih buruk lagi, ketika kita susah kita menagih bantuan semua orang tapi bila kita berkemampuan kita berpendapat harta kita hanya wajar untuk sesama kita sahaja.

Tambahan pula di dalam Al-Quran terdapat ayat yang menegur mereka yang berkeberatan untuk membantu golongam bukan Muslim yang memerlukan semata-mata kerana perbezaan agama. Lihat Al-Baqarah: 272, tafsiran dan sebab penurunannya.

Melihat pada kes yang dinyatakan pastinya daging yang digunakan untuk dijamu pada teman-teman sekerja itu hanya sebahagian kecil dari keseluruhan daging korban. Oleh itu, tidaklah mengapa.

Lihat juga http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm