Kemusykilan Agama – Menabur bunga di atas kubur

(Nota – Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Assalammua’laikum Ustaz.

Mengapakah orang Melayu kalau ziarah kubur selalu mereka akan menaburkan bunga bunga dan disiramkan air diatas kubur dari atas ke bawah. Adakah ini dibolehkan dalam Islam atau hanya adat melayu sahaja ? Apa logiknya ?

Ada satu ceramah saya dengar (tak ingat bila dan dari siapa) yang mengatakan
bunga-bunga ni semua adalah dari adat Hindu yang masih kuat pengaruhnya di kawasan Asia.

Apa pandangan Ustaz mengenai perkara ini? Ada tak sunah Nabi yang mengatakan perkara ini boleh atau tidak boleh dilakukan.

Terima Kasih.

—————————-

Jawaban

Salam

Amalan menggunakan bunga dalam ritual agama di kalangan orang melayu memang banyak dipengaruhi dari budaya lain, tapi itu bukan bermakna dalam semua keadaan ia adalah salah dan terlarang.

Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim ada dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui satu kubur dan dia diberi pengetahuan bahawa ahli kubur itu disiksa. Kerana sifat kasihannya, beliau mencucuk satu pelepah kurma di atas kubur itu dan berkata selagi pelepah kurma itu segar, tasbih darinya kepada Tuhan akan meringankan azab bagi ahli kubur itu.

Atas dasar inilah menanam pokok kecil di atas kubur diamalkan di kalangan orang Melayu.

Saya tidak pasti apa sebab sebenar amalan menabur bunga di atas kubur. Namun, pada agakan saya ialah adalah sikretism antara amalan penggunaan bunga dari budaya lain yang memang sudah dipegang oleh orang Melayu kerana pengaruh hindu/buddha lebih dahulu berlaku dari Islam dan contoh dari hadits di atas, yang pada asalnya nabi menggunakan pelepah kurma. (yalah di sini mana nak cari pelepah kurma untuk dicucuk atas kubur. pelepah kelapa pun tak banyak disekitaran kubur :) )

Masalahnya, ramai orang kita yang melakukannya tanpa tahu sebab musabab, hanya setakat ikut sahaja perbuatan orang lain.

Kesimpulannya di sisi saya, adalah lebih baik ditanamkan pokok kecil atau rumput di atas kubur itu kerana ia lebih kekal. Jika ini telah dilakukan, tak perlulah tabur bunga lagi. Cuma kasihan pulak orang yang jual bunga kerana boleh terjejas bisnes mereka :)

Bagi rujukan, sila lihat http://www.nu.or.id/page.php?lang=id&me … s_id=16228

Salam