Keuntungan yang berganda-ganda

Soalan

 

Adakah benar bahawa Islam melarang para peniaga untuk mengambil keuntungan dari barang jualannya dengan berganda-ganda? Keuntungan yang sedemikian dianggap sebagai riba’.

 

Jawaban

 

Tidak benar bahawa Islam melarang para peniaga mengambil keuntungan berganda-ganda dari barang jualannya. Islam memberi kebebasan kepada peniaga untuk meletakkan harga bagi barang jualannya serta menetapkan kadar keuntungan (profit margin) darinya.

 

Seorang peniaga bebas untuk menetapkan harga barang jualannya berdasarkan budi bicaranya, keadaan pasaran, strategi dan objektif perniagaannya.

 

Dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Anas r.a bahawa orang ramai berkata kepada Rasulullah s.a.w  “Wahai Rasulullah s.a.w, harga-harga barang telah naik, maka tetapkanlah harga untuk kami.” Rasulullah s.a.w menjawab “Allahlah yang sesungguhnya Penentu harga, Penahan, Pembentang dan Pemberi rezeki. Aku berharap agar bertemu dengan Allah, tidak ada seorang pun yang meminta padaku tentang adanya kezaliman dalam urusan darah dan harta.” (Riwayat Ashabus Sunan)

 

Dalam hadits ini menunjukan keberatan Rasulullah s.a.w untuk mencampuri harga pasaran. Ini membuktikan bahawa pada asalnya, penetapan harga adalah hak penjual dan mereka bebas untuk menetapkan harga yang mereka kehendaki.

 

Adalah dimaklumi setengah barang-barang atau perkhidmatan perlu dijual dengan kadar keuntungan yang berkali ganda dari kos sebenar disebabkan faktor-faktor seperti pasaran barang berkenaan yang kecil atau strategi untuk menjadikannya berimej ekslusif atau premium.

 

Keuntungan yang berganda-ganda hanya menjadi haram jika ia mencetuskan penganyiayaan atau kezaliman ke atas pembeli atau pengguna disebabkan penipuan atau manipulasi.

 

Salah satu dalil yang menunjukkan haramnya manipulasi yang menyebabkan kezaliman ke atas pengguna ialah pengharaman menyorok barang. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang melakukan sorok, ia telah bersalah.” (Riwayat Abu Daud, At-Turmuzi dan Muslim)

 

Sebagai contoh satu sofwe computer yang mempunyai fungsi yang khusus yang hanya digunakan dalam bidang kepakaran yang khusus. Kos menghasilkannya mungkin hanya bernilai SGD5000. Dengan pasaran baginya yang begitu kecil, jika ia dijual dengan harga sekadar SGD6500 (kadar keuntungan sebanyak 30%), ia tidak akan menjadikan usaha pencipta sofwe berkenaan berbaloi dan pastinya tidak akan menggalakkan sesiapa untuk menghasilkan barangan sedemikian.

 

Maka menjualnya dengan kadar keuntungan yang berganda, hatta melebihi 100% dibenarkan. Asalkan sahaja pembeli bersetuju dan barang sedemikian bukanlah merupakan barang asasi yang mana keuntungan yang berganda itu tidak menyebabkan kesukaran kepada orang ramai.

 

Begitu juga dalam kes harga pen. Sebahagian pen yang berjenama dijual dengan harga SGD15 sedangkan kos penghasilannya hanyalah setakat SGD1 sahaja. Harga berkenaan sah di sisi Islam kerana pengguna yang memerlukan pen masih boleh membeli pen yang berharga 60sen yang banyak terdapat di pasaran. Keuntungan yang berganda dari harga pen itu tidak menyebabkan kesukaran ke atas orang ramai dan kezaliman.

 

Ini berbeza dalam situasi yang mana sebuah syarikat yang mempunyai monopoli terhadap barang keperluan asasi seperti beras, gula dan tenaga elektrik. Walau pun pada kadar keuntungan sebanyak 20%, jika ia menyebabkan kesukaran kepada orang ramai yang sangat memerlukan barang berkenaan, atau orang ramai melarat kerana tidak mampu untuk memperolehi barang berkenaan dan ini dilakukan sebagai manipulasi bagi kedudukan monopoli yang ia ada, maka perbuatan sedemikian boleh jatuh kepada haram. Hukum haram di sini bukan kerana keuntungan yang berganda tetapi disebabkan kezaliman yang timbul dari keuntungan yang berganda-ganda itu. Maka dalam situasi seperti ini, dibenarkan penguasa untuk mencampuri urusan penetapan harga.

 

Di dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Siapa yang mencampuri urusan harga kaum muslimin dengan tujuan untuk menjadikannya mahal ke atas mereka, adalah hak Allah taala untuk menempatkannya di dalam api neraka yang besar di Hari Kiamat.” (Riwayat Ahmad dan At-Tobrani)

 

Keuntungan yang berganda tidak boleh dikatakan sebagai riba’ kerana riba ialah keuntungan yang diperolehi melalui transaksi hutang bukan melalui transaksi jual beli.

 

Wallahu A`alam