Kemusykilan Agama – Solat Jumaat penting namun boleh ganti jika ada sebab (Berita Harian [Singapura], 3 Mei 2013)

Soalan

1. Saya telah tertinggal solat Jumaat kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, saya gantikan dengan solat Zohor tetapi sahabat saya menegur saya dan mengatakan bahawa pada hari Jumaat, solat Zohor digugurkan dan saya wajib sembahyang fardhu Jumaat walau pun sendirian. Saya juga pernah mendengar ceramah yang menyatakan sedemikian.

2. Setahu saya kaum wanita disunatkan hadir ke masjid pada hari Jumaat untuk mendengar khutbah tetapi adakah wajib ia bersembahyang Jumaat di rumah, seperti yang saya katakan?

Jawaban

Ulama semua bersepakat bahawa Solat Jumaat adalah fadhu `ain. Kefardhuan ini dibebankan ke atas setiap orang Islam, berakal, lelaki, baligh, mukim (tidak bermusafir), sihat dan tiada keuzuran yang dibenarkan oleh syara’.

Namun ulama berselisih samada wanita dan musafir itu tetap wajib menunaikan solat Jumaat. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa wanita dan orang yang bermusafir tidak wajib menunaikan solat Jumaat berdasarkan hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Jumuat itu adalah kewajiban ke atas setiap muslim dalam berjamaah kecuali empat golongan; hamba, wanita, kanak-kanak dan orang sakit” (Riwayat Abu Daud). Di dalam sebuah hadits lain pula Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Tidak wajib atas musafir solat Jumuat.” (Riwayat A-Tabarani).

Perbezaan pendapat di sisi ulama dalam perkara di atas adalah kerana perbezaan mereka terhadap kekuatan hadits tersebut untuk dijadikan dalil.

Dr Wahbah Az-Zuhaili menulis di dalam bukunya Fiqh Islam (terjemahan Dewan Bahasa & Pustaka) bahawa sebahagian besar ulama dari mazhab Maliki, Syafi`ii dan Hanbali berpendapat bahawa sesiapa yang yang tidak wajib melakukan solat Jumaat atau berkeuzuran yang dibenarkan seperti sakit hendaklah menunaikan solat Zohor setelah solat Jumaat dilaksanakan.

Adalah diingatkan bahawa Islam amat mementingkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Jika dipanggil untuk menunaikan solat dari hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingati Allah (menunaikan solat Jumaat) dan tingalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Al-Jumuah : 9)

Rasulullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud “Sungguh saya berniat hendak menyuruh seseorang menjadi imam bagi orang-orang yang berjamaah, lalu saya pergi membakar rumah orang-orang yang meninggalkan solat Jumaat.” (Riwayat Ahmad dan Muslim)

Maka sebab itu mereka yang ditaklifkan ke atasnya fardhu Jumaat yang dinyatakan di atas haruslah sentiasa peka dan berusaha untuk menunaikannya. Meninggalkan solat Jumaat tanpa uzur yang dibenarkan oleh syara’ adalah berdosa.

Di sisi sebahagian besar ulama, walau pun kaum wanita tidak wajib menunaikan solat Jumaat, dibenarkan mereka menghadirinya di masjid dan gugurlah kewajiban solat Zohor setelah menunaikan solat Jumaat.

Jika mereka tidak menghadiri solat Jumaat, maka wajiblah ke atas mereka menunaikan solat Zohor, bukan solat Jumaat bersendirian di rumah.

Walau bagaimana pun, pandangan sahabat saudara itu memang wujud di sisi sebahagian kecil ulama.

Wallahu A`alam