Jual Beli Organ dan Insentif Kebendaan Untuk Penderma

Pada Khamis yang lalu saya ditanya oleh teman wartawan di Berita Harian mengenai penjualan organ dan idea memberi ganjaran kebendaan bagi penderma hidup organ oleh pihak ketiga yang dibangkitkan oleh Menteri Kesihatan Singapura.  Beliau ingin mendapatkan pandangan saya bagi laporan yang kemudiannya diterbitkan di Berita Harian, Sabtu, 26 Julai 2008.

 

Berikut adalah jawaban saya sebagai bahan perkongsian.

 

———————————–

Bagi masyarakat Islam, keharusan jual beli organ, tidak boleh tidak kecuali dinilai melalui perspektif hukum agama. Setakat ini, fatwa yang dipegang dan dikeluarkan oleh institusi fatwa yang berwibawa di merata dunia melarang penjualan organ. Di Singapura, perkara ni sudah pun difatwakan oleh MUIS dan belum berubah.

 

Samada pemerintah akan mengubah polisinya mengenai isu ini iaitu mengharuskan penjualan organ, itu adalah bidangkuasanya. Hanya yang diharapkan agar pemerintah membuat pertimbangan sewajarnya dan mengambilkira perspektif badan-badan agama yang secara umum tidak menyokong perbuatan sedemikian.

 

Cadangan Menteri Kesihatan untuk mewujudkan semacam insentif kebendaan bagi penderma hidup dari pihak ketiga bagi menggalakkan lebih ramai ke hadapan untuk menderma, adalah satu idea yang boleh diteroka. Setakat ini, fatwa dalam hal ini sememangnya tidak jelas. 

 

Saya berpendapat idea ini ada kewajarannya berdasarkan:

 

1.       walaupun penderma hidup hendaklah sukarela dan ikhlas, namun kita tidak boleh menafikan bahawa amal baik dia itu menimbulkan risiko pada dirinya dan mempunyai implikasi langsung terhadap hidupnya.

2.       dengan menderma satu ginjalnya, kemungkinan ia harus menampung kos premium insuran yang lebih tinggi dari yang biasa dia bayar atau jika dia ingin membeli insuran untuk dirinya kemudian sehingga kadangkala membebankannya.

3.       di masa akan datang pula ia mungkin mengalami komplikasi disebabkan amal baiknya yang tidak dijangka sebelum ini.

4.       Islam menggalakkan kebaikan seseorang dibalas dengan kebaikan, walaupun jika orang berkenaan sukarela atau ikhlas.

5.       Oleh itu, wajar wujud satu program yang memberi semacam insentif kebendaan bagi penderma hidup bagi melindunginya dari kemungkinan kesan negatif dari amal baiknya yang tidak dijangka terhadap kehidupannya. Ini mungkin dalam bentuk insurans khas bagi dia dan lain-lain. Program ini diuruskan oleh pemerintah atau swasta selaku pihak ketiga, bukan ganjaran yang dibuat langsung oleh penerima organ kepada si penderma.

——————————————-