Kisah Uwais Al-Qarni dan pengajaran bagi anak-anak muda yang ghairah untuk berjihad senjata di mana-mana

old muslim motherUwais Al-Qarni adalah manusia yang istimewa dalam sejarah Islam.

Nabi s.a.w memuji dia sebagai ahli syurga dan seorang yang doanya tidak ditolak oleh Allah taala.

Sehinggakan, para sahabat besar pun seperti Umar r.a. memuliakan dia dan memohon doa darinya.

Dia hidup di zaman Nabi s.a.w tetapi berstatus tabi`in, bukan sahabat.

Kenapa?

Kerana dia tidak pernah sempat berjumpa Nabi s.a.w kerana dia tinggal di Yaman, jauh dari Madinah.

Dia tidak dapat berhijrah ke Madinah kerana ingin menjaga ibunya yang sudah tua.

Pernah dia cuba berjumpa Nabi s.a.w dengan berlayar ke Madinah.

Tapi, apabila sampai di Madinah, Nabi s.a.w tidak ada kerana keluar berjihad.

Dia tidak menunggu hingga Nabi s.a.w pulang, walau pun telah berlayar jauh dan amat cinta dan rindu kepada Nabi s.a.w, kerana janjinya kepada ibunya untuk pulang segera dan kerana ibunya yang sudah tua memerlukan khidmatnya.

Disebabkan itu, dia tidak dapat berhijrah, dia terlepas peluang untuk berjihad bersama Nabi s.a.w, belajar langsung dari Nabi s.a.w dan mendapat kemuliaan status sebagai sahabat.

Apa yang menarik dari kisah Uwais untuk para remaja yang ghairah untuk berjihad di mana-mana dan bergabung dengan kumpulan seperti Isis dan Al-Qaeda ialah:

1. Nabi s.a.w tidak pernah memberi tekanan kepada dia untuk berhijrah dan bergabung dengannya untuk berjihad bersamanya.

2. Nabi s.a.w tidak pernah memfatwakan kepada Uwais dan mereka yang sepertinya bahawa wajib ke atas mereka berhijrah untuk berjihad dengannya, walau pun jika tidak dizinkan ibubapa mereka kerana taat kepada beliau lebih mulia dan tinggi dan berjihad lebih utama dari bakti kepada ibubapa.

Pada hal ketika itu, Mekah, tanah suci umat Islam, berada di bawah kuasa Quraisy musyrik dan dipenuhi dengn berhala-berhala dan hijrah ke Madinah adalah wajib.

Tidakkah kekuasaan Quraisy ke atas Mekah itu satu penjajahan yang patut dilawan dan membebaskan bumi Mekah itu lebih wajib, berbanding tanah-tanah lain umat Islam?

3. Uwais Al-Qarni tidak dicela oleh Nabi s.a.w hanya kerana utamakan ibubapanya dan tidak berjihad bersama Nabi s.a.w.

Sebaliknya, Nabi s.a.w memuji dan memuliakan beliau.

Bandingkan ini dengan ideologi kumpulan seperti Isis, Al-Qaeda dan yang seumpamanya yang memfatwakan wajib semua umat Islam untuk berjihad bersama mereka untuk membebaskan tanah umat Islam walau pun jika ibubapa atau suami tidak mengizinkan dan meraka yang tidak mahu dianggap sebagai tercela dan hina.

Bandingkan pula Uwais ini dengan ramai anak-anak muda yang telah melukakan hati ibubapa mereka serta abaikan tanggungjawab ke atas mereka semata-mata kerana konon-konon, jihad bersenjata itu mesti lebih diutamakan dari segala-galanya.

Moga bermanfaat.