Komentar – Adab mengguna kamera dan edar gambar di talian

angles-shoot-camera

 

 

(c) Muhammad Haniff Hassan, 2013

Dengan berleluasa hp berkamera, orang ramai semakin mudah mengambil gambar dan video di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Tapi janganlah lupa bahawa Islam anjurkan kita beradab dalam semua perkara, termasuklah dalam soal bergambar.

Oleh itu hiasilah penggunaan kamera hp dengan adab yg baik.

Umumnya, menggunakan kamera dan bergambar dibenarkan di sisi agama.

Ini adalah pendapat majoriti ulama.

Hanya segolongan minoriti sahaja yang mengharamkan penggunaan kamera untuk mengambil gambar manusia.

Sebahagian dari adab yang baik bagi seorang Muslim ialah tidak melakukan sesuatu perkara yang tidak elok.

Dalam konteks kamera hp, jauhilah perkara-perkara berikut:

1. Menyibukkan diri mengambil gambar/video dari membantu orang yang ditimpa kesusahan atau kemalangan.

Kenalilah keutamaan keadaan. Paling kurang, ada rasa sensitif terhadap perasaan orang yang sedang hadapi kesusahan berkenaan.

2. Menyibukkan diri mengambil gambar/video dari menghentikan sesuatu perkara yang tidak elok berlaku, seperti mengambil gambar orang bertengkar tanpa bertindak untuk meredakan keadaan.

3. Mengambil gambar insan yang cedera atau mati lalu menyebarkannya merata-rata.

4. Mengambil gambar seseorang untuk diedarkan sebagai bahan sendaan, seperti ambil gambar pekerja yang tertidur dalam MRT kerana keletihan atau gambar orang seorang yang sibuk korek hidung dalam bas (ia mungkin bukan etika sosial yang baik, tapi bukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang atau memudaratkan sesiapa).

Sesungguhnya, perbuatan mempersenda dan memalukannya online lebih hina dari perbuatan orang berkenaan.

5. Ambil gambar-gambar sensual diri utk sengaja dipertontonkan kepada khalayak ramai.

6. Ambil gambar sensual orang lain secara tersembunyi untuk memenuhi nafsu sendiri dan/atau edar pada orang ramai.

Beberapa nota lain

1. Jika anda dapati sesuatu kesalahan dan ingin ambil gambar/video agar ia diperbetulkan, hantarkanlah ia ke pihak yang berkenaan untuk tindakan dan siasatan dan bukan terus edarkannya merata-rata.

Jika ada keperluan utk dikongsi kepada umum, elaklah dari mendedahkan identiti org berkenaan jika ia tidak memerlukan.

Ingatlah, mungkin sahaja kesalahan itu berlaku bersebab atau ia satu salah sangka.

2. Pasangan suami isteri yg ambil gambar / video intim hendaklah sedar yang bahan berkenaan masih boleh didapati dalam kamera walau ia telah dibuang atau dipindah ke tempat simpanan lain dan bahan-bahan ini boleh dijana semula atau salin apabila hp anda hilang atau dibaiki kerana rosak hingga kemudiannya diedarkan oleh orang yg tidak bertanggungjawab.

3. Ketahuilah tidak semua orang suka bergambar dan ramai pula amat sensitif kalau orang yang tidak dikenali ambil gambarnya.

Oleh itu, janganlah sesuka hati ambil gambar orang ramai yg tidak dikenali, walaupun jika anda yakin ia tak salah di sisi undang-undang.

Hormatilah hak dan perasaan orang lain.

Moga bermanfaat.