Komentar saya tentang Kelab Taat Suami dan buku seks terbitannya


Kunci kejayaan dan kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung pada isteri taati suami saja
 

Ervina Jamil
Berita Harian (Singapura)
24 Disember 2011  

MENDIDIK isteri agar mentaati suami adalah satu usaha baik, namun kejayaan dan kebahagiaan rumah tangga dalam Islam bukan hanya bergantung pada isteri mentaati suami.  

Namun, rumah tangga pasangan Islam juga dibangunkan atas falsafah bahawa kededua suami isteri perlu menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing.  

Demikian pandangan Ustaz Muhammad Haniff Hassan, Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), mengenai Kelab Taat Suami (KTS) dan buku panduan seks yang diterbitkannya.  

Buku itu diharamkan di Malaysia tetapi sebanyak 10 naskhah buku tersebut telah pun diedarkan kepada anggota KTS di sini.  

Ustaz Haniff berkata ayat-ayat Al-Quran ada menyatakan bahawa “wanita mempunyai hak seimbang dengan kewajipannya menurut cara makruf, tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya”.  

Dalam ayat tersebut, kata beliau, Allah menyebut soal hak isteri dahulu sebelum menyatakan ketinggian status suami. 

“Ini bermaksud status berkenaan terikat pada sejauh mana suami berkenaan menunaikan hak si isteri. Ini pula boleh ditafsirkan akan pentingnya suami dididik agar menjadi suami yang beriltizam dengan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak-anak sebelum layak untuk ditaati.  

“Ia juga bermaksud bahawa para isteri bukan sahaja perlu dididik akan tanggungjawabnya kepada suami, malah dididik tentang hak mereka juga. Demikianlah pendekatan Al-Quran yang seimbang dalam membina rumah tangga Islam,” ujar Ustaz Haniff.  

Menyentuh tentang KTS, beliau berkata jika asas utamanya adalah untuk membina rumah tangga Islam yang baik secara komprehensif sebagaimana sifat Islam itu sendiri, maka timbul persoalan mengapa hanya soal ketaatan isteri pada suami sahaja yang diketengahkan.  

Beliau menambah pendekatan kelab itu, jika tidak diulas, akan menimbulkan salah faham terhadap Islam daripada kalangan bukan Muslim dan menjadi alasan pula kepada sesetengah suami untuk menyalahgunakan status mereka, sebagaimana yang dapat dilihat dalam pelbagai kes perceraian.  

“Bukan hanya idea KTS, dari segi falsafahnya, tidak seimbang sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Quran, malah ia terlalu memberi tumpuan pada sudut seks dalam soal kebahagiaan rumah tangga dan peranan isteri kepada suaminya, sebagaimana yang ditunjukkan melalui penerbitan buku panduan seksnya itu,” ujar beliau.  

Namun, Ustaz Haniff berkata beliau tidak condong pada pendekatan untuk mengharamkan KTS dan buku terbitannya itu, sebaliknya pendekatan lebih wajar adalah dengan berdakwah dan berdialog secara terbuka. 

– Ustaz Muhammad Haniff Hassan, Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).