Nasihat bagi pengantin baru (bila mahu dapatkan zuriat pertama)

pregnant-muslim-woman-drawing

 

© Muhammad Haniff Hassan

Majoriti pasangan yang berumahtangga, mahu mendapatkan zuriat dari perkahwinannya.

Berikut beberapa tips untuk pertimbangan

Pertama, rancanglah bila kali pertama isteri anda akan mengandung. Merancang keluarga bukan hanya bermula setelah memperolehi  anak, tapi juga amat relevan dalam konteks mendapatkan anak pertama.

Bagi pengantin, janganlah biarkan perancangan perkahwinan tertumpu pada bagaimana menjalankan majlis perkahwinan dengan baik sahaja. Masukkanlah dalam perancangan anda soal bila anda mahukan zuriat pertama, supaya ia berlaku dengan baik dan bukan tanpa jangkaan.

Kedua, dalam dapatkan zuriat pertama, eloklah jika pengantin merancang kandungan berlaku setelah 6 bulan atau setahun dari hari perkahwinan.

Hal ini kerana ia membolehkan kedua-dua pasangan masa eksklusif untuk melalui hidup bersama tanpa kewujudan “pihak ketiga”. Ini membolehkan kedua-dua mempelai membuat pengubahsuaian (adjustment) dan mengenali diri dan keluarga masing-masing dengan lebih baik lagi sebelum memasuki alam ibubapa.

Ia juga memboleh tubuh badan isteri masa peralihan yang cukup untuk bersiap secara alami bagi menjalankan “tugas baru”.

Pengajaran ini boleh diambil dari kisah Adam dan Hawa. Mereka tidak mendapat zuriat kecuali setelah turun ke dunia ini. Allah taala taqdirkan mereka melalui hidup bersama berdua dahulu di syurga sebelum turun ke dunia dan beranak pinak.

Bunting pelamin (mengandung pada bulan pertama perkahwinan, bukan mengandung semasa naik pelamin) tidak salah di sisi Islam. Tapi bertahap-tahap dalam sesuatu adalah lumrah alam ini dan pastinya juga ada hikmah bagi para pengantin baru dalam isu yang dibicarakan.

Proses mengenali pasangan masing-masing sahaja adalah satu proses yang rumit. Kewujudan bayi atau mengandung terlalu awal hanya akan menambah kerumitan. Hal ini boleh dielakkan dengan perancangan yang baik.

Namun, tips ini hanya sesuai bagi pasangan yang sebelum kahwin belum “ringan-ringan” atau “berat-berat”. Adapun pasangan yang sebelum berkahwin sudah pun melakukan segala-segalanya… “kalau tidak malu, buatlah apa yang anda suka” (hadits riwayat Al-Bukhari)

Moga bermanfaat 🙂