Ideologi radikal: Ada versi baru? (Berita Harian (Singapura), 19 Jun 2010)

19 Jun 2010

SINGAPURA

Ideologi radikal: Ada versi baru?

Kurang menjurus guna kekerasan untuk capai idea

Oleh
Hisham Hasim

BEBERAPA kumpulan radikal kini mempunyai versi ideologi baru yang kurang menjurus menggunakan kekerasan dan pertumpahan darah untuk mencapai idea-idea radikalnya, tetapi ini tidak bermakna pemikiran mereka bebas daripada fahaman radikal.

Dengan semakin ramai menyedari betapa bahayanya ideologi pelampau seperti yang dianuti Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah (JI), mereka juga mula sedar tentang pentingnya melawan ideologi ini sebagai sebahagian usaha mengatasi ancaman pengganasan.

Lantas, timbul satu trend yang dinamakan revisionist atau semakan ke atas pengaruh radikal yang sebelum ini dipegang oleh pihak pelampau dan pengikut mereka.

Menurut Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Muhammad Haniff Hassan, trend revisionist merujuk pada pola perubahan pemikiran daripada aliran radikal yang ganas kepada yang menolaknya.

‘Perubahan ini dikemukakan oleh mereka yang dahulunya pernah berpegang pada pemikiran ekstremis ganas atas nama jihad, menyeru orang lain kepada pemikiran ini dan melakukan tindakan-tindakan ganas kerananya setelah menyedari akan kelemahan dan keterpesongan pemikiran ini dan bertaubat secara terbuka.

‘Trend ini tidak semestinya menatijahkan seseorang itu telah berubah daripada radikal kerana dia mungkin masih mengekalkan idea- idea radikal, cuma sudah tidak lagi berpegang pada cara kekerasan untuk mencapai idea radikalnya,’ kata Ustaz Muhammad Haniff kepada Berita Harian baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kajian mengenai trend revisionist ini menunjukkan ia mempunyai potensi besar memainkan peranan menyekat perkembangan ideologi ganas.

‘Oleh kerana trend revisionist ini datang daripada bekas anggota dan pemimpin kumpulan radikal ganas yang dengan kuat menolak ideologi ini, ia mempengaruhi sejumlah besar individu dan beberapa kumpulan pelampau ganas untuk meninggalkan pengganasan dan kekerasan, serta mengukuhkan lagi mesej kepada masyarakat umum akan penyelewengan kumpulan berkenaan.

‘Contoh-contoh kajian kes ialah perubahan sekelompok besar anggota Tanzim Jihad Mesir, kumpulan ganas Algeria dan yang terbaru LIFG di Libya,’ kata beliau.

Trend revisionist ini dipercayai bermula sejak tahun 1960-an lagi oleh para pemimpin Ikhwan Muslimun Mesir setelah menyaksikan kesan buruk daripada aliran radikal sebahagian anggota mereka.

Namun, yang lebih relevan bagi konteks gelombang pengganasan baru yang diterajui oleh Al-Qaeda ialah perubahan pada kepimpinan Jemaah Islamiyah Mesir pada 1997, setelah melihat kesan buruk serangan ke atas pelancong di Luxor.

Ia mendorong kepimpinan JI Mesir mengubah segala yang pernah mereka lakukan sehingga mencetus inisiatif menghentikan operasi ganas ke atas pemerintah.

Perubahan ini kemudian mempengaruhi banyak individu lain yang pernah berada dalam jaringan Al- Qaeda dan trend revisionist ini banyak digunakan di Timur Tengah seperti Mesir, Libya dan Arab Saudi untuk menangani masalah pelampau dan pengganasan.

‘Konsep ini sudah pun berlaku di rantau Asia Tenggara. Namun, pengamat mempunyai penilaian yang berbeza-beza terhadap kesan sebenar usaha ini di Indonesia.

‘Trend revisionist juga wujud di kalangan anggota JI Singapura. Malangnya, penggunaan trend ini untuk tujuan melawan ideologi JI amat terbatas sekali di sini,’ kata Ustaz Muhammad Haniff.