Pernyataan Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Singapura (Pergas) mengenai fatwa derma organ yang terkini dari MUIS

Berikut adalah teks penuh pernyataan Pergas yang bersetuju dengan fatwa terkini MUIS dalam isu derma organ di Singapura.

Maklumat lanjut mengenai Pergas boleh didapati di www.pergas.org.sg

———————————————

Fatwa terkini yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan bahawa tiada salahnya dari sudut syarak untuk menyertakan masyarakat Islam Singapura di bawah undang-undang Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota).

Dengan penyertaan ini, setiap rakyat Singapura berumur antara 21 dengan 60 tahun dianggap telah bersetuju untuk mendermakan salah satu atau keempat-empat organnya (ginjal, hati, jantung dan kornea) kepada mereka yang amat-amat memerlukan selepas kematiannya di hospital.

Mereka yang tidak mahu organnya dipindahkan ke individu lain setelah kematiannya perlu menyatakan secara bertulis kehendaknya agar dikecualikan daripada Hota.

Setelah meneliti Fatwa tersebut, Pergas mendapati bahawa ia bertepatan dengan garis pandu ijtihad yang dituntut dalam Islam serta menepati prinsip-prinsip ilmu fiqah.

Pergas juga ingin menekankan di sini bahawa hukum asal pemindahan organ daripada mayat ke orang yang masih hidup adalah haram.

Namun, hukum haram boleh bertukar menjadi harus, malah wajib, jika dalam keadaan darurat, seperti untuk menyelamatkan nyawa manusia lain.

Pesakit ginjal menghadapi situasi yang mengancam nyawanya. Satu-satunya jalan keluar sekarang bagi mengatasi penyakit ini adalah dengan pemindahan ginjal.

Mentelah lagi, pemindahan seperti ini adalah selamat dengan teknologi sekarang dan tidak meninggal kan parut yang ketara pada jasad si mati.

Oleh itu, hukum asal haram boleh bertukar kepada harus.

Iaitu harus bagi seseorang mendermakan organnya yang empat tersebut selepas kematiannya kepada mereka yang amat-amat memerlukan.

Penukaran hukum daripada haram kepada harus atas faktor-faktor yang dibenarkan syariat Islam ini adalah satu aspek keindahan dan kesesuaian agama Islam untuk semua masa dan tempat.

Dan apabila ada jalan keluar yang lebih baik, yang dibenarkan syarak, maka hukum yang mengharuskan perbuatan yang haram atas dasar darurat akan kembali kepada hukum asalnya, iaitu haram.

Pergas menyeru umat Islam agar melihat isu ini dengan pandangan yang berte raskan fakta dan ilmu.

Pergas juga meminta pemerintah memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada masyarakat tentang Hota, bagaimana ia dilaksanakan, ketelusannya dan kepentingannya sebelum menyertakan masyarakat Islam dalam Hota.

Pergas juga meminta agar setiap anggota masyarakat Islam diberi peluang untuk menyatakan kehendak mereka untuk tidak disertakan dalam Hota.

Pergas percaya dengan gandingan baik antara ulama dan umarak, ia akan memacu masyarakat Islam ke arah kecemerlangan dan keihsanan yang lebih tinggi lagi, seperti yang dituntut oleh syariat Islam.