Sekadar berkongsi – AS tertarik pada konsep RRG perangi ideologi pengganasan (Berita Harian, 11 Okt. 2007)

CARA Singapura memulih pengganas Islam dengan kaunseling Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kian mendapat perhatian dunia, malah terdapat saranan model yang serupa digunakan oleh Amerika Syarikat.

Sejak beberapa bulan lalu, para komander tentera Amerika di Iraq telah mula memperkenalkan program-program pendidikan agama yang mencontohi sebahagiannya konsep RRG.

Demikian dilaporkan oleh akhbar The Christian Science Monitor dari Amerika Syarikat kelmarin.

Laporan tulisan koresponden, Encik Simon Montlake, memaparkan hasil berkesan program kaunseling RRG dalam menyanggah pandangan ekstremis sejak empat tahun lalu.

Laporan itu menyatakan, pengalaman RRG menunjukkan kaedah tersebut boleh digunakan dalam perang Amerika terhadap pengganasan.

Kaedah itu boleh menjadi alternatif ke pada sistem penahanan tanpa perbicaraan.

Menurut laporan itu lagi, mereka yang menyokong kaunseling percaya bahawa strategi berkesan menentang pengganasan perlu meliputi usaha memerangi indoktrinasi agama, terutama suspek dalam tahanan.

Mejar-Jeneral Douglas Stone, yang menyelia pusat-pusat tahanan Amerika di Iraq, dilaporkan sebagai berkata bahawa kursus-kursus agama di pusat Kem Cropper telah membantu melembutkan sedikit pemahanan para tahanan yang biasanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenai perundangan Islam.

Jeneral Stone, yang boleh bertutur bahasa Arab dan membaca Al-Quran setiap hari , berkata beberapa ratus orang tahanan telah melalui program itu, yang menjadi sebahagian usaha baru lebih meluas untuk menyediakan latihan dan pendidikan kepada para tahanan.

Terdapat lebih 25,000 warga Iraq kini dalam tahanan Amerika.

Ketika dihubungi semalam, anggota RRG, Ustaz Mohamed Ali, berkata bahawa wartawan akhbar itu telah ke Singapura baru-baru ini dan mendapat penerangan mengenai RRG.

Beliau berkata bahawa adalah satu penghargaan buat RRG apabila ia menarik perhatian masyarakat dunia.

Katanya, setelah enam tahun memerangi pengganasan ala Al-Qaeda, masyarakat dunia, terutama Barat dan Amerika, sedar bahawa perang menentang pengganasan adalah perang ideologi.

‘Walaupun struktur kumpulan pengganas banyak telah dimusnahkan, ideologi mereka tetap berterusan dan merebak luas.

‘Tanpa memerangi ideologi pengganas, perang menentang pengganasan tidak akan berakhir dan ancamannya tidak akan berkurangan.

‘Model RRG baik sekali kalau dapat dijalankan di negara-negara lain. Akan tetapi ia harus dijalankan bersesuaian dengan konteks setiap negara, tempat dan keadaan,’ jelas Ustaz Mohamed, penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

Lihat laporan asal The Christian Science Monitor di http://www.csmonitor.com/2007/1009/p01s04-woap.html