Kumpulan Jagaan Lanjut hulur sumbangan demi memastikan famili terjejas dapat jalani kehidupan seperti biasa
Oleh Chairul Fahmy Hussaini
SEKUMPULAN pemimpin pertubuhan Melayu/Islam dengan sokongan agensi-agensi pemerintah, sejak beberapa tahun lalu gigih menghulurkan bantuan kepada keluarga para tahanan Jemaah Islamiyah (JI) yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dikenali sebagai Kumpulan Jagaan Lanjut (ACG), ia menghulurkan pelbagai bantuan demi memastikan keluarga yang tiba-tiba kehilangan ketua keluarga dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Antara bantuan yang dihulurkan ACG termasuklah membantu melunaskan yuran sekolah anak-anak para tahanan dan bil perbekalan awam yang tertunggak; menawarkan kursus peningkatan diri untuk para isteri mereka; dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Memuji kesungguhan dan kegigihan ACG selama ini, Timbalan Perdana Menteri, Encik Wong Kan Seng, semasa ditemui pihak media petang semalam berkata, adalah penting untuk para pemimpin dan pertubuhan masyarakat tampil dan membantu keluarga para tahanan JI.
‘Dengan menghulurkan bantuan, golongan ini tidak berasa yang mereka dibiarkan sendirian.
‘Bantuan ini membuat mereka sedar bahawa masyarakat sebenarnya prihatin dan sedia mendengar masalah mereka dan membantu dari segi kaunseling bagi menunjukkan jalan keluar.
‘Ataupun, membantu anak-anak mereka di sekolah atau menolong mereka mencari pekerjaan,’ ujarnya yang ditemui selepas menghadiri jamuan petang untuk para sukarelawan dan kaunselor ACG di HomeTeamNS-JOM Balestier Clubhouse dekat Balestier Road.
Encik Wong yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri berkata, beliau rasa gembira kerana adanya pemimpin, terutamanya dari kalangan Melayu/Islam yang sedia meluangkan masa bagi membantu anggota masyarakatnya sendiri.
ACG yang dipimpin Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader, dibentuk pada Januari 2002 dan kini digerakkan oleh empat badan – Yayasan Mendaki, Taman Bacaan, Angkatan Karyawan Islam (AMP), Masjid Khadijah dan Encik Rhazaly Noentil.
Ia dibentuk menyusuli penahanan anggota JI di sini di bawah ISA pada Disember 2001.
Menurut Encik Abdul Halim, pihaknya sejauh ini telah memanfaatkan sekitar $80,000 hasil sumbangan pelbagai pihak untuk membantu 25 keluarga dan 80 anak-anak mereka, daripada peringkat prasekolah sehingga politeknik.
Selain bantuan kewangan, pihak ACG mempunyai seramai 25 kaunselor dan pekerja sosial yang mendampingi keluarga para tahanan JI.
Pendekatan mereka lebih tertumpu kepada aspek kesejahteraan dan keperluan keluarga di samping persekolahan anak-anak mereka.
‘Usaha kami ini adalah untuk memastikan keluarga para tahanan ini stabil dan tidak pincang akibat penahanan ketua dalam rumah tangga,’ ujarnya.