Sekadar berkongsi – Laman Internet Antiganas Diperkukuh (Berita Harian (Singapura), 17 Nov. 2007)

Oleh

 

Chairul Fahmi Hussaini

 

ANCAMAN radikal yang mudah tersebar dalam media baru telah mendorong beberapa badan dan individu Islam setempat untuk menguatkan kehadiran di Internet untuk memerangi pengaruh tersebut.

 

Langkah terbaru ke arah itu diambil oleh Muis sebagai memperkukuh dan saling melengkapi inisiatif badan-badan dan individu lain untuk menyediakan laman Internet mengenai isu tersebut.

Muis mengenalkan laman ‘Stamping Out Radical Ideology’ (Banteras Ideologi Radikal) bagi memerangi penyelewengan sedemikian.

 

Ini adalah usaha kedua Muis, selepas melancarkan laman INvoke.SG pada September lalu bagi membimbing golongan belia agar tidak terpengaruh dengan ajaran salah dan terjebak dalam gejala-gejala antisosial.

 

Sebelum ini, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) turut mewujudkan laman serupa bagi memberi pemahaman jelas kepada masyarakat tentang ajaran sebenar Islam dan bahaya terrorisme.

 

Jurucakap Muis, Encik Jamari Mohtar, ketika dihubungi semalam berkata, laman itu mula beroperasi sejak Ogos lalu.

 

‘Gerbang ini menghimpunkan pelbagai artikel yang menyorot kepada bahaya radikalisme dan penyelewengan terhadap ajaran Islam.

 

‘Tujuan utama kami adalah untuk mendidik masyarakat agar mereka tidak terpengaruh dengan idea jihad militan daripada laman web radikal Islam yang begitu banyak terdapat di Internet,’ ujarnya.

 

Pemeriksaan Berita Harian mendapati gerbang berbahasa Inggeris itu antara lain memberi penerangan mengenai jihad dan konsep-konsep yang sering disalahgunakan oleh para pelampau dan pengganas Muslim seperti ‘Al-Wala Wal Bara’, takfir, ummah, hijrah, istimata, bai’ah dan Darul Islam.

 

Laman yang beralamat radical.mosque.sg ini juga menyediakan wadah yang membolehkan orang ramai memberi pandangan tentang isu-isu pengganasan dan radikalisme.

Di samping itu ia turut mengadakan rangkaian dengan laman www.rrg.sg kelolaan RRG dan blog, counterideology.multiply.com.

 

Blog tersebut dimiliki Ustaz Muhammad Haniff Hassan, seorang penyelidik isu pengganasan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Wong Kan Seng, pernah mendedahkan bahawa terdapat sekitar 6,000 laman Internet yang ketengahkan idea-idea pengganasan.

 

Februari lalu, seorang warga Singapura, Abdul Basheer Abdul Kader, 28 tahun, diberkas pihak berkuasa kerana terpengaruh dengan idea-idea sedemikian.

 

Kerana penglibatannya dalam ideologi dan agenda ganas, pemuda lulusan undang-undang itu kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).