Terima lebih 13,000 kunjungan sejak dilancar dua bulan lalu
Oleh
Puad Ibrahim
LAMAN web Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) telah menerima sambutan menggalakkan dari pengunjung Internet sejak dilancarkan hanya sekitar dua bulan lalu, dengan lebih 13,000 kunjungan dicatatkan sejauh ini.
Kunjungan itu bukan sahaja datang daripada pelawat Singapura, tetapi juga pengunjung sejauh Tokyo, California, Washington DC dan London.
Daripada jumlah yang dicatatkan itu, lebih 1,600 lawatan dicatatkan dari Singapura, 992 dari Tokyo, 398 (California), 386 (Washington DC) dan 340 (London).
Anggota Sekretariat RRG, Ustaz Haji Mohamed Haji Ali, dalam satu majlis iftar baru-baru ini, berkata laman web itu juga menerima beberapa maklum balas daripada pengunjung, yang kebanyakannya menyampaikan ucapan tahniah terhadap kerja-kerja yang dijalankan RRG selama ini.
Laman www.rrg.sg dihasilkan dengan tujuan menjadi wadah maklumat tentang kegiatan RRG dan platform siber bagi memerangi ideologi ekstremis.
Antara lain, ia mengandungi artikel-artikel tulisan anggotaanggota RRG serta cendekiawan, berita mengenai RRG dalam media dan klip-klip video ceramah yang disampaikan oleh anggotanya.
Artikel tulisan Ustaz Ali Haji Mohamed bertajuk Mesej Damai Islam merupakan artikel paling banyak dilawati.
Ustaz Ali adalah pengerusi bersama RRG.
Topik artikel lain termasuk mengenai jihad, konsep Al-Wala Wal Bara’, ancaman Jemaah Islamiyah (JI), ideologi pengganasan dan hubungan antara Muslim dengan bukan Muslim.
Klip-klip video ceramah pula ditayangkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil.
Laman web tersebut juga mempunyai senarai buku yang boleh menjadi bahan bacaan mereka yang meminati topik-topik pengganasan.
Ustaz Haji Mohamed berkata bahawa untuk menggalak orang ramai mengunjungi laman webnya, RRG juga menjalankan beberapa promosi, termasuk memasang kain-kain rentang di Bazar Geylang Serai sempena Ramadan.