Kita telah pun berada di pertengahan Ramadan.
Di hadapan kita, 15 hari lagi sebelum Ramadan pada tahun ini menutup tirainya.
Pertengahan Ramadan ini adalah masa terbaik untuk dijadikan titik perhentian untuk kita meninjau apa yang telah dilakukan dan dicapai dalam 15 hari yang lalu dan apa yang hendak dilakukan dan dicapai dalam 15 hari akan datang.
Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dilakukan sebagai sebahagian dari usaha melakukan penilaian.
1. Peruntukkanlah masa untuk merenung akan apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Bandingkanlah ia dengan objektif minimum berikut;
- Solat berjamaah 3x sehari.
- Menunaikan semua solat solat sunat selepas dan sebelum solat wajib.
- Melakukan Tarawih 8 rakaat setiap hari.
- Melalukkan solah Dhuha 2 x 4 rakaat seminggu.
- Menunaikan solat Witr 1 rakaat setiap hari.
- Menunaikan solat Tahajud pada wajtu sahur 4 rakaat setiap hari.
- Membaca Al-Quran 1 juz setiap hari.
- Membaca Al-Ma`tsurat (kumpulan wirid-wirid yang sah dari Rasulullah s.a.w) setiap hari.
- Bersedekah $1 setiap hari.
- Membaca satu buku dalam bulan Ramadan.
Kemudian tanyakanlah soalan-soalan berikut.
- Adakah amalan kita menepati dengan objektif berkenaan?
- Jika ya, tanyakanlah adakah objektif berkenaan terlalu mudah bagi kita?
- Jika ya, maka ubahlah objektif itu agar ia menjadi lebih mencabar.
- Jika tidak, maka teruskanlah usaha untuk mencapainya pada 15 hari akan datang.
- Jika objektif berkenaan tidak tercapai, carilah punca kenapa ia tidak tercapai.
- Jika puncanya boleh di atasi, maka rancanglah bagaimana ia boleh diatasi dan berusahalah untuk mencapai objektif berkenaan pada 15 hari akan datang dan menutup kekurangan yang lalu.
- Jika ketidakcapaian objektif berkenaan kerana halangan yang tidak boleh di atasi, ini bermakna objektif tersebut adalah terlalu memberatkan, maka ubahlah objektif itu agar lebih realistik tetapi tidaklah terlalu mudah sehingga tiada mujahadah bagi mencapainya.
2. Kita akan bertemu dengan malam Nuzul Al-Quran pada malam 17 Ramadan.
Pada kebiasaannya banyak masjid akan menganjurkan pelbagai majlis ceramah bagi memperingatinya.
Buatlah perancangan untuk menghadiri majlis ini pada malam berkenaan bagi menambah ilmu kita.
Carilah majlis ceramah dengan tajuk yang sesuai dengan keperluan kita.
Bawalah keluarga kita bersama.
Ambil kesempatan ini untuk kita memahamkan anak kita akan apa itu Nuzul Al-Quran.
Kita boleh bercerita dengan mereka kisah Rasulullah s.a.w menerima wahyu dan pengajaran darinya atau menyuruh meraka membaca buku berkenaan.
Kita boleh juga membaca tafsir surah Al-`Alaq bagi menghayati pengertian dari wahyu pertama yang diturunkan.
3. Yang terpenting dari 15 hari yang terakhir ialah malam-malam 10 hari terakhir dari Ramadan.
Malam-malam ini adalah penting kerana terdapat dalam salah satu dari malam-malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27, 29 Ramadan, Lailatul Qadr.
Malam yang mana melakukan kebaikan di dalamnya sama seperti melakukan kebaikan selama 1000 bulan.
Dari segi pelaburan, malam ini menyediakan keuntungan pelaburan yang berganda.
Oleh itu, tidak wajar ia dipersia-siakan.
Apatah lagi usia kita belum tertentu mampu untuk melakukan ibadah sebanyak itu.
Rasulullah s.a.w dalam malam-malam ini akan menggandakan ibadahnya.
Beliau akan beriktikaf selama 10 hari penuh di masjid dan melakukan pelbagai ibadah-ibadah sepanjang ia beriktikaf.
Untuk membolehkan kita memaksimakan manfaat dari peluang ini, ia memerlukan perancangan agar ibadah kita dapat dilakukan dengan baik tanpa menggangu kewajiban yang lain.
Berikut adalah beberapa pertimbangan yang perlu dibuat.
a. Yang afdal ialah untuk beriktikaf selama 10 hari di masjid tanpa terputus kerana inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Sebahagian individu melakukannya dengan berumrah pada akhir Ramadan untuk menumpukan pada ibadah di saat-saat akhir ini.
Namun ramai yang mungkin tidak berkemampuan.
b. Alternatif lain ialah dengan memohon cuti agar dapat melakukan perkara ini.
Jika ini pun tidak dapat dilakukan, maka boleh pula dipertimbangkan untuk mengambil cuti setengah hari pada hari-hari tertentu.
Ini bagi membolehkan seseorang untuk berehat sebentar selepas Subuh agar dapat bekerja pada setengah hari kedua tanpa keletihan bagi mengelakkankan masalah di tempat kerja.
c. Jika ini juga tidak memungkinkan, maka usahakanlah dengan penuh bijaksana agar peluang ini tetap dapat diraih semaksima mungkin tanpa mengabai tanggungjawab yang lain.
Adalah tidak wajar bagi seorang muslim untuk mencuri tulang di tempat kerja atas alasan penat beribadah di malamnya kerana ini akan memburukkan nama baik Islam dan umatnya.
d. Untuk memakmurkan 10 malam terakhir dan menunaikan tanggungjawab lain memerlukan kekuatan fizikal yang baik.
Oleh itu, mulakanlah langkah-langkah untuk membina stamina dan menjaga kesihatan melalui pemakanan dan gaya hidup yang baik.
e. Libatkanlah keluarga dalam program beriktikaf di masjid dengan membawa bersama isteri dan anak-anak.
Ramadan yang datang bersamaan dengan cuti sekolah membolehkan anak-anak untuk turut bersama beribadah.
Penglibatan mereka adalah baik bagi pendidikan mereka agar mereka terbiasa dan mengalami sendiri pengalaman ini.
Jika peluang ini tidak diambil, kita akan terpaksa menanti beberapa tahun untuk bertemu dengan Ramadan ketika cuti sekolah.
Penglibatan anak-anak juga akan membantu bagi mengukuhkan hubungan anak-anak dan ibu bapa dan memberi keberkatan kepada keluarga untuk hidup dengan bahagia.
f. Kenal pasti masjid-masjid yang menganjurkan program iktikaf dan dapatkan butir-butir program secara terperinci seperti adakah Qiyam dilakukan secara berjamaah, siapa imam yang akan memimpin ibadah, adakah sahur disediakan, apakah program-program lain yang ada dan lain-lain yang berkenaan.
g. Dapatkan maklumat mengenai amalan-amalan bagi menghidupkan 10 malam terakhir, Lailatul Qadr, adab-adab iktikaf dan lain-lain agar kita beramal dengan ilmu bukan ikut-ikut dan tidak pula terjatuh dalam perkara-perkara bid`ah.
Ini boleh dilakukan dengan membaca buku-buku berkenaan dan bertanya kepada para ustaz.
4. Jangan lupa untuk mempertingkat doa bagi diri sendiri dan umat Islam sejagat.
5. Jangan lupa untuk menunaikanlah zakat fitrah.
Masa yang sunat ialah apabila masuk waktu Maghrib di malam Idil Fitri sehingga sebelum solat Idil Fitri.
Pahala berpuasa akan tergantung di antara bumi dan langit sehingga zakat fitrah ditunaikan.
Tidak membayar zakat fitrah bagi mereka yang mampu pula adalah satu dosa.
Zakat fitrah hanya dibayar ketika bulan Ramadan tetapi ia bukan satu-satunya zakat yang wajib dikeluarkan oleh seorang muslim.
Zakat juga wajib dibayar bagi wang simpanan, saham, perniagaan, emas dan lain-lain jika mencukupi syarat-syaratnya.
Dapatkanlah maklumat mengenai zakat bagi memahaminya atau bertanya kepada para ustaz.
Jika kita mempunyai kewajiban untuk membayar zakat selain zakat fitrah tetapi belum menunaikannya, ambil kesempatan dari Ramadan untuk melaksanakannya kerana pahala yang berganda.
Oleh itu, semaklah harta kita dan mulakanlah kiraan agar kewajiban ini tidak terabai.
6. Pada malam Idil Fitri peruntukkanlah sedikit masa untuk memuhasabah diri akan apa yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadan.
Fikirkanlah akan langkah-langkah untuk memastikan kehidupan kita sebagai seorang muslim selepas bulan Ramadan, menjadi lebih baik dari sebelum Ramadan.
Kita boleh bertanya soalan-soalan berikut:
- Apakah ibadah yang hendak aku teruskan selepas Ramadan atau mempertingkatkannya seperti solat Witir, membaca Al-Quran atau puasa Isnin dan Khamis?
- Apakah sifat-sifat keji atau tabiat buruk yang perlu tinggalkan atau kurangi?
- Apakah sifat-sifat terpuji dan tabiat baik yang akan diteruskan selepas Ramadan seperti sabar, belas ihsan, tidak bercakap banyak atau bangun awal?
- Bagaimanakah aku boleh menyumbang atau berkhidmat kepada masyarakat selepas Ramadan atau meningkatkan sumbangan?
Selamat mencuba.
Semoga Allah taala memberi kemudahan dan keberkatan pada usaha kita.