Ramadan Seorang Pejuang

Ramadan menjelang lagi. Bagi seorang Muslim, kedatangan Ramadan seharusnya disambut dengan kesyukuran dan kegembiraan. Walau pun secara lumrahnya ia membawa bersamanya keletihan fizikal dan kesibukan masa kerana tugas dan tanggungjawab tidak berkurangan dengan kedatangan Ramadan dan kesibukan pula bertambah kerana untuk mengimbang antara tugas harian dan amal peribadi bagi meraih fadilat bulan yang mulia ini, namun ia tetap harus disyukuri kerana ketidaksyukuran adalah petanda kurang redha akan taklif yang Allah telah tetapkan.

 

Kita merasakan penting bulan Ramadan ini kerana ia adalah masa terbaik untuk kita membangun kekuatan yang berkurangan, merawat luka-luka dan menyucikan kekotoran jiwa yang bertompok sepanjang setahun yang lalu. Walau pun sebenarnya kita tidak perlu menanti Ramadan untuk melakukannya tetapi Ramadan tetap merupakan bulan yang terbaik untuk kita mempertingkat usaha tadi.

 

Sejajar dengan konsep ‘hari ini lebih baih dari semalam’, maka Ramadan yang datang ini semestinya lebih baik dari Ramadan yang lalu.

 

Kita hanya boleh mastikan bahawa Ramadan yang akan datang ini menjadi lebih baik dari yang lalu jika kita tahu dan jelas akan apa yang telah kita lakukan dan capai di Ramadan yang lalu. Dari situ kita bina pula, objektif dan tindakan bagi satu Ramadan yang lebih baik dari yang lalu.

 

Jika kita tidak jelas akan masa lalu dan tidak membina sesuatu objektif untuk masa depan, bagaimana kita boleh memastikan bahawa kehidupan hari ini atau akan datang kita akan menjadi lebih baik dari yang lalu??

 

Untuk melakukan ini, ia menuntut pula untuk berfikir, menghisab diri, mengenalpasti apa ibadah dan amal yang hendak dilakukan, merancang dan mengurus ibadah dan kehidupan kita.

 

Kita boleh mempertimbangkan apa yang dibawah ini sebagai sebahagian dari program peningkatan amal peribadi kita di bulan Ramadan;

 

1.      Berusaha mendapat ‘mad`uu’ (individu yang didakwahi) baru dan membuka rangkaian usrah baru selepas Ramadan.

2.       Menulis artikel atau kertas kerja yang bermanfaat untuk diterbitkan.

3.       Membaca dan mengkaji buku yang berkaitan dengan kerja dakwah ini.

4.      Mengkaji secara khusus tafsir satu surah dalam Al-Quran bagi meluaskan ilmu Islam kita.

5.       Menjayakan satu projek dakwah yang khusus untuk bulan Ramadan.

6.      Mempertingkatkan infaq untuk dakwah di bulan Ramadan dan mengurangkan perbelanjaan peribadi dan pembaziran.

7.      Mempertingkatkan tilawah Al-Quran untuk membaiki mutu bacaan dan untuk mengkhatamkannya.

8.      Mempertingkat solat sunat yang telah sedia kita melaziminya atau mengamalkan solat sunat tertentu yang belum kita melaziminya agar dapat dilazimi selepas Ramadan seperti solat Dhuha, Witr, Tahajjud dan lain-lain.

9.      Mempertingkatkan wirid dengan menambah jumlah bacaan zikir Al-Ma’tsurat atau mengamalkan wirid-wirid lain yang datang dari Sunnah Rasulullah s.a.w.

10.   Mempertingkat solat secara berjamaah.

11.   Memastikan Terawih 100%.

12.  Mengambil peluang dari suasana Ramadan untuk mempertingkat hubungan dengan pasangan masing-masing dan anak-anak.

13.   Mempertingkat khidmat kepada ibu bapa.

14.   Memastikan lebih banyak masa untuk beriktikaf pada 10 terakhir Ramadan.

15.   Mengurangkan bercakap yang tidak bermanfaat.

16.   Mengurangkan makanan yang tidak berkhasiat.

17.   Mengurangkan berat badan.

18.  Mengurangkan penggunaan masa bagi hiburan yang mubah untuk diisikan dengan sesuatu yang lebih afdal.

19.   Menangisi dosa dan nasib kita kelak di hari Akhirat dan juga dosa dan nasib umat Islam hari ini.

Di bulan Ramadan ini tidak ada satu ibadat yang kecil yang patut diabaikan dan tidak satu kecuaian dan dosa yang patut diringankan.

 

Selamat berpuasa………Selamat berjuang…