Agar Kita Tidak Terseleweng

Antara perkara penting dalam menunaikan dakwah ini ialah untuk memastikan bahawa jalan yang kita adalah jalan yang benar – jalan yang selamat dari penyelewengan, jalan yang selari dengan hidayah Allah taala.

 

Dakwah yang dilakukan atas jalan yang tidak benar, tidak akan membawa pada natijah yang dikehendaki bahkan akan membawa banyak kemudaratan. Lebih buruk lagi, amal yang dilakukan mengikut jalan yang benar, akan menjadi sia-sia di Hari Akhirat kelak.

 

Bagi menyempurnakan kebenaran jalan dakwah kita, ia hendaklah didokong oleh kebijaksanaan. Antara kebijaksanaan dalam jalan dakwah ialah, meniti jalan ini atas pengalaman dan pengajaran dari mereka yang terdahulu.

 

Adalah penting bagi membezakan antara kebenaran dan kebijaksanaan di jalan dakwah. Mereka yang benar tidak semestinya bijak. Kurang bijak dalam mengambil iktibar dari pengalaman yang lalu tidak semestinya pula mengakibatkan penyelewengan. Ini kerana kebijaksanaan bersifat relatif dan subjektif berdasarkan masa, tempat, keadaan dan lain-lain. Kesilapan dalam mengaplikasi kebijaksanaan tidak semestinya pula tercela, kerana Allah menjanjikan satu pahala bagi mereka yang tersilap dalam berijtihad, setelah melalui proses yang sewajarnya.

 

Langkah pertama bagi memahami apa dia jalan dakwah yang benar dan apa jua jalan yang bijaksana ialah untuk mengenal prinsip-prinsip yang menjadi garis pandu kebenaran di jalan dakwah.

 

Terlalu panjang untuk menerangkan secara terperinci garis pandu yang menjadi batas-batas jalan yang benar dan yang menyeleweng. Bagi memudahkan kefahaman dan untuk tujuan meringkaskan, fahamilah prinsip-prinsip berikut;

 

Al-Quran yang mulia dan sunnah Rasul yang suci adalah tempat kembali setiap muslim untuk memahami hukum-hukum Islam. Ia harus memahami Al-Quran sesuai dengan kaedah-kaedah bahasa Arab, tanpa takalluf (menyusahkan) dan taasuf (asal boleh). Selanjutnya ia memahami sunnah yang suci melalui rijalul hadits (perawi hadits) yang terpercaya.”

 

Pendapat imam atau wakilnya tentang sesuatu yang tiada nas hukumnya, tentang sesuatu yang mempunyai pelbagai tafsiran dan tentang sesuatu yang membawa kemaslahatan umum boleh diamalkan sepanjang tidak bertentangan dengan kaedah-kaedah umum syariat. Ia mungkin berubah seiring dengan perubahan situasi, keadaan dan adat setempat. Yang prinsip ialah ibadah itu diamalkan dengan kepasrahan sepenuhnya tanpa mempertimbangkan makna dan erti disebaliknya. Sedangkan urusan selain ibadah, maka harus pula mempertimbangkan maksud dan tujuannya.”

 

Setiap orang boleh diambil atau ditolak kata-katanya kecuali Rasulullah s.a.w. Setiap yang datang dari kalangan salaf r.a dan sesuai dengan Kitab dan Sunnah, kita terima. Jika tidak sesuai dengannya, maka Kitabullah dan sunnah RasulNya lebih utama untuk diikuti. Namun demikian, kita tidak boleh melontarkan kepada orang-orang – oleh sebab-sebab sesuatu yang diperselisihkan dengannya – dengan kata-kata yang menghina dan mencela. Kita serahkan niat mereka (kepada Allah taala). Sesungguhnya telah berlalu amal-amal mereka (untuk di hisab oleh Allah).”

 

Demikianlah apa yang disimpulkan oleh Hasan Al-Banna dalam Usul 2, 5 dan 6 dari Usul 20 nya. Rujuk buku Risalah Taalim oleh Hasan Al-Banna atau Ufuk Risalah Taalim oleh Said Hawwa.

 

Dari segi kandungan dakwah kita, prinsip kita ialah kita tidak seru manusia kecuali kepada Islam sebagai satu cara hidup, Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam ini.

 

Kebijaksanaan di jalan dakwah wujud pada ijtihad-ijtihad para ulama dan tokoh dakwah dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip yang dinyatakan. Ada di antaranya masih kekal sebagai satu kebijaksanaan, ada di antaranya sudah tidak relevan, ada di antaranya yang sesuai pada masa lalu tetapi tidak masa kini, ada pula yang tidak sesuai masa kini tetapi sesuai di masa akan datang.

 

Adalah mudah untuk memahami penyelewengan bahawa ia adalah apa jua yang bercanggah dengan prinsip yang dinyatakan. Namun jangan lupa, menjadikan satu perkara yang bukan prinsip sebagai prinsip perjuangan juga adalah penyelewengan. Termasuk dalam hal ini, menjadikan pandangan yang bersifat ijtihadi sebagai usul dakwah kita.

 

Sekali-sekala, eloklah kalau kita re visit isu ini agar mengingatkan kita kembali pada asas-asas perjuangan kita. Adalah baik, di jalan dakwah ini, untuk kita selalu berhenti sejenak mengimbas kembali langkah yang telah kita buat, agar dapat diperiksa kelurusan jalan ini.

 

Berhati-hati agar tidak menyeleweng…… Berhati-hati dalam menilai penyelewengan.