Anak Muda Yang Mencipta Sejarah

Pada tahun 1906, lahirlah seorang anak di sebuah bandar di Mesir. Beliau dibesarkan dengan didikan Islam oleh kedua orang tuanya. Dengan kesempurnaan pendidikan Islam yang diterima berserta taufiq dan hidayah dari Allah taala, anak tersebut membesar menjadi seorang pemuda yang amat mencintai agamanya dan peka terhadap nasib masyarakat dan umat Islam.

 

Jiwanya memberontak dan pilu melihat nasib umat di zaman itu. Keruntuhan khilafah Islam di bawah kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1924, menambah pilu di hati. Ketika itu anak berkenaan telah berumur 18 tahun tetapi amat matang untuk memahami keadaan umat dan misi yang perlu dijayakan bagi mengembalikan umat kepada kedudukan yang sepatutnya. Kepiluan hati itu mendorongnya untuk mengongsi pandangannya dengan yang lain dan mengajak mereka untuk bersama berusaha menjayakan misi islah. Pada tahun 1928, pada usia se muda 22 tahun, beliau menubuhkan sebuah gerakan dakwah bagi membangkitkan semula umat Islam dan mengisi kekosongan khilafah Islam yang telah diruntuhkan.

 

Pemuda itu bersama gerakan yang ditubuhkan berusaha dengan gigih mengislah masyarakat dan umat Islam sehingga mendapat sambutan masyarakat setempat dan umat Islam di merata tempat yang lain. Pada usia se muda itu, beliau dan gerakannya menggoncang bukan hanya kuasa politik Mesir bahkan kuasa politik dunia dan gerakan zionis di Palestin.

 

Gerakan berkenaan berkembang sehingga dianggap sebagai sebuah gerakan Islam terbesar di dunia.

 

Pemuda berkenaan adalah Hasan Al-Banna dan gerakan Al-Ikhwan Al-Muslimun.

 

Hari ini Ikhwan adalah gerakan yang tersebar di merata dunia dan mempunyai sumbangan yang besar terhadap pelbagai gerakan Islam yang lain. Hampir tidak ada sebuah gerakan Islam hari ini yang tidak terkesan oleh sumbangan Ikhwan.

 

Bukan tujuan tulisan ini untuk mengagung-agungkan individu atau mana-mana gerakan. Apa yang hendak diketengahkan ialah sesuatu sebagai bahan renungan kerana kisah pemuda bernama Hasan Al-Banna ini merupakan contoh yang baik mengenai usaha keras dalam menjayakan pegangan yang diyakini. Iaitu pemuda yang tidak hanya bernostalgia dengan pencapaian datuk neneknya yang lalu, pemuda yang bukan hanya sibuk mengenang kegemilangan sejarah Islam di masa lampau, tetapi pemuda yang memahami realiti semasa dan berazam untuk mencorak masa depan sehingga kemudiannya mengukir bagi dirinya dan umat Islam sejarah yang tersendiri.

 

Usia yang muda bukan halangan untuk membina visi dan misi yang besar bagi umat Islam yang dicintai. Rasa tanggungjawab terhadap Allah taala terhadap nasib umat, tidak mengecutkan jiwa muda untuk memikul tugas kepimpinan se muda usia 22 tahun dan mengasaskan sebuah organisasi terbesar di dunia.

 

Di hadapan realiti ini, kita harus merasa malu kerana ramai di antara kita pada usia 18 tahun masih lagi dalam kejahilan, tidak usah memikir masalah umat, nasib diri sendiri pun tidak boleh ditangani. Ramai di antara kita juga pada usia 22 tahun, bukan hanya tidak berkeyakinan untuk memimpin masyarakat tetapi memimpin hidup sendiri pun tidak tahu.

 

Ramai di antara kita adalah pemuda. Bahkan ramai di antara kita yang beruntung kerana diberi nikmat pendidikan yang lebih tinggi dan nikmat harta yang lebih melimpah. Masih tidak terlambat untuk kita membina satu wawasan dan berusaha keras bagi mencipta sejarah yang tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi umat ini. Sesuatu yang bukan hanya dilihat sebagai legacy tetapi juga sebagai amal jariah yang akan menjadi saham yang berterusan hingga hari Kiamat untuk kita di Akhirat, sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w

“Jika mati anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

 

Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya

 

1.       Berjiwa kecil, tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri sendiri, tiada semangat ‘yakin boleh’, tidak berani mencuba.

2.       Berakal kecil, sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme yang wajar, tiada wawasan dalam hidup, pesimis.

3.       Beramal kecil, tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara…..

 

Rakan-rakan sekalian, kita tidak bernostalgia dengan pencapaian umat yang lalu, kecuali sebagai dorongan untuk kita berlumba mencipta sesuatu bagi umat hari ini dan akan datang. Agar kita terus dikenang, agar doa umat akan terus melimpahi kita, pada ketika kita bersemadi di liang lahad sendirian.

 

Ingatlah! Allah taala tidak akan menyoal kita akan sumbangan mereka yang terdahulu, tetapi kita hanya akan ditanya mengenai sumbangan kita sendiri.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Mereka itu adalah umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang telah mereka lakukan dan bagi kamu apa yang kamu lakukan dan kamu tidak akan ditanya apa mereka (yang terdahulu) lakukan.” (Al-Baqarah : 141)

 

Selagi kita masih hidup, sejarah umat ini berada dalam diri kita dan di tangan kita.