Apa Ada Pada OCBC-KeppelTatLee, DBS – OUB – UOB

Sektor perbankan di Singapura pernah menyaksikan satu perkembangan yang menarik. Ia bermula dengan langkah dari OCBC menawarkan pengambilalihan dan pembelian saham syarikat Keppel Capital Limited, syarikat yang memiliki saham terbesar dalam Keppel-Tat Lee Bank. Sekiranya langkah ini berjaya, ia akan memberi lompatan berganda dan mempercepatkan usaha menjadikan OCBC ke kedudukan yang lebih tinggi di antara bank-bank di Singapura dan rantau ini.

 

Hanya beberapa hari setelah itu, DBS pula membuat kejutan dengan menawarkan pembelian saham-saham OUB bagi mengambilalih bank berkenaan dan beberapa hari kemudian, tawaran DBS ini di ‘cabar’ pula oleh tawaran UOB bagi mengambilalih dan bergabung dengan OUB.

 

Keseluruhan episod dan perkembangan yang belum tamat ini mempunyai pengajaran dan iktibar bagi usaha dakwah, bagi mereka yang ingin berfikir dan merenung.

 

Sebagai perkongsian, persoalan-persoalan berikut adalah antara pengajaran penting bagi gerakan dakwah;

 

1.       Kebolehan membuat keputusan yang pantas.

2.       Keupayaan menghadapi perubahan persekitaran.

3.       Kesediaan organisasi.

4.       Dan kesemua di atas merujuk kepada keupayaan kepimpinan.

 

Dengan persaingan sengit ini, pastinya banyak insiden-insiden di sebalik tabir yang berlaku yang tidak terlapor di media. Adalah satu perkara yang menarik untuk kita melihat pula siapakan yang akan beruntung dari keseluruhan episod ini dan apakah langkah-langkah yang diambil sehingga bank berkenaan keluar sebagai ‘pemenang’, sebagai kajian kes bagi mengambil pengajaran darinya.

 

Antara perkara menarik yang dapat diketengahkan ialah kecepatan setiap pihak yang terbabit dalam membuat tindakan dan membuat keputusan bagi menghadapi persekitaran yang cepat berubah.

 

Kecepatan mengambil keputusan bagi menghadapi perubahan persekitaran adalah satu elemen yang penting pada hari ini bagi sesebuah organisasi untuk kekal relevan dan terkehadapan. Kegagalan dalam aspek ini bererti peluang yang ada akan berlalu, pihak lain akan beruntung, ketinggalan dan lambat laun mengakibatkan tidak relevan dan pupus. Dalam konteks medan dakwah, gerakan dakwah akan hilang peluang yang akan memanfaatkan dakwah, jahiliyah akan beruntung, gerakan dakwah akan ketinggalan, tidak relevan dan mungkin pupus.

 

Episod ini juga memberi gambaran kepada kita akan realiti persekitaran hari ini. Ia berubah dengan cepat dan persaingan sungguh sengit. Ramai yang mungkin menyangka bahawa ini hanya berlaku dalam bidang industri dan perniagaan semata-mata. Sebenarnya kecepatan kadar perubahan adalah sesuatu yang berlaku dal;am semua aspek kehidupan termausk medan dakwah. Hanya ramai di kalangan penggerak dakwah tidak merasakannya kerana jahil, naif atau tidak ambil peduli. Perubahan persekitaran hari ini memberi kesan kepada bagaimana elemen hak dan batil bertembung dan menjadikan persaingan antara yang haq dan batil menjadi lebih sengit. Malangnya dalam banyak keadaan, yang haq sentiasa lambat, lewat dan statik.

 

Di Singapura, elemen haq diwakili secara umumnya oleh oleh badan-badan Islam, masjid-masjid, institusi tertentu dan individu-individu. Cuba kita imbas balik pengalaman kita berkaitan proses pengambilan keputusan yang wujud dalam para pendokong haq dalam menghadapi sekitarannya.

 

Sering kali proses pengambilan keputusan dalam badan-badan pendokong kebenaran tidak sejajar dengan cabaran kepesatan perubahan persekitaran yang ada. Pengambilan keputusan dimonopoli oleh Jawatankuasa Pengurusan, yang berjumpa sebulan sekali, diikat lagi dengan keperluan-keperluan birokrasi seperti jumlah kuorum yang ramai dan perlembagaan yang sudah ‘obsolete’. Jika sesuatu perkara itu timbul setelah satu mesyuarat bulanan dijalankan, ia hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang, iaitu bulan depan. Ini belum lagi dimasukkan aspek politik dan perselisihan dalaman yang sering kali menghambat kelicinan mesyuarat dan pengambilan keputusan.

 

Oleh kerana rata-rata organisasi yang mendokong kebenaran hari ini digerakkan oleh sukarelawan, usaha untuk mengumpulkan mereka bagi membuat keputusan dalam menghadapi perubahan pesat pula menjadi sulit. Sekali lagi ia menghambat proses pengambilan keputusan.

 

Kadang kala mendapatkan tandatangan untuk mengeluarkan cek menjadi begitu sukar dan sulit.

 

Senario budaya kerja seperti ini, menimbulkan persoalan bagaimanakah pendokong kebenaran dapat bersaing dengan kebatilan? Berapa lamakah agaknya kita akan kekal relevan?

 

Perkembangan dalam industri perbankan sekali lagi menunjukkan bagaimana bagi memastikan penakatan sebuah organisasi, masing-masing sanggup untuk melakukan ‘merger & acquisition’ sebagai satu strategi. ‘Merger & acquisition’ adalah suatu yang menjadi budaya dalam dunia perniagaan. Bahkan hari ini ia adalah satu keperluan bagi menghadapi globalisasi.

 

Malangnya dalam medan dakwah, melakukan ‘merger & acquisition’ ini boleh dikatakan sebagai impian sahaja. Bagi setengah pihak pula ia adalah ‘igauan’ yang menakutkan.