Apabila Ajal Tiba

ingat mati

(c) Muhammad Haniff Hassan

Tiada yang lebih pasti dalam kehidupan ini kecuali setiap seorang pasti akan mati.

Allah taala berfirman yang bermaksud

“Setiap jiwa akan pasti merasakan kematian.” (Ali Imran : 185)

Setiap hari kita dapat membaca pelbagai berita kematian dilaporkan di media massa.

Seorang itu boleh merancang untuk menjadi doktor dan berusaha ke arahnya tetapi tidak ada kepastian bahawa dia akan mencapai cita-cita itu di masa akan datang.

Berbanding dengan kematian, kita tidak perlu merancang atau berusaha, ia pasti akan tiba juga.

Ironisnya manusia hari ini lebih sibuk merancang dan bersedia bagi suatu yang tidak pasti dari sesuatu yang pasti berlaku.

Oleh kerana ajal adalah satu yang pasti berlaku, maka seorang mukmin yang bijaksana akan sentiasa menyediakan dirinya untuk menghadapinya.

Kita bersedia untuk menghadapi ajal yang akan mendatangi kita atau orang-orang yang dikasihi.

Kita juga menyediakan isteri-isteri, anak-anak dan saudara mara kita untuk menghadapi ajal yang pasti akan mendatangi kita atau salah seorang dari mereka.

Persiapan dalam bentuk rohani, psikologi dan material.

Kegagalan untuk bersedia menghadapi kematian anak lelaki menyebabkan seorang ibu berbangsa cina terjun membunuh diri (ST, 28 Nov 2001)

Bersiap untuk menghadapi kematian bukan bermakna kita meninggalkan urusan dunia.

Yang penting ialah memastikan apa jua yang kita lakukan di dunia ini sejajar dengan keperluan kita di akhirat atau tidak mengabaikannya.

Bagi seorang muslim juga, bukan suatu perkara yang penting atau besar jika kematian mendatangi dirinya atau keluarganya tetapi yang menjadi keprihatinannya ialah bagaimana kematian itu berlaku.

Adakah ia dalam keadaan yang baik atau sebaliknya?

Adakah kita mati dalam beribadah atau sibuk dengan urusan dunia?

Adakah kita mati dalam perjuangan atau kesia-siaan? A

dakah kita mati sebagai hamba Allah atau hamba dunia dan manusia?

Adakah kita mati dengan penuh redha atau dalam keadaan putus asa?

Jika kita bersedih atas kematian orang soleh kerana kerugian umat, kita juga merasa prihatin terhadap kematian orang biasa kerana rasa ihsan terhadap nasibnya di alam barzakh nanti – adakah ia akan merasa tenang atau tersiksa?

Imam Al-Ghazali dalam buku Bimbingan Mu`minin dalam bab Mengingati Mati ada menukil Tsabit Al-Bunani berkata

“Pada masa-masa yang lalu, tatkala kami menyaksikan jenazah, maka di situ ada sahaja orang-orang yang terharu dan menangis. Sebab yang demikian itu ialah kerana mereka amat takut akan kematian. Tetapi sekarang ini bila kami menyaksikan jenazah sekumpulan orang yang hadir di rumah-rumah yang ada kematian, kami kerap pula menyaksikan orang-orang itu bergelak ketawa, berbual kosong atau membicarakan tentang harta kekayaan si mati dan berapa ramai ahli waris yang ditinggalkannya. Para ahli waris juga turut memikirkan bagaimana mereka akan mendapat harta yang ditinggalkan oleh si mati itu. Tidak ada seorang pun yang mahu memikirkan tentang dirinya bila pula ia akan mati dan diletakkan di dalam keranda seperti si mati itu, lalu diusung menuju ke kubur. Tidak ada sebab mengapa kita tidak dapat memikirkan semua ini melainkan jika hati kita telah menjadi keras seperti batu disebabkan oleh terlalu banyak maksiat dan dosa yang dilakukan, sehingga kita terlupa kepada Allah taala dan janji-janji Allah mengenai apa yang berlaku di hari Akhirat dan segala kesulitan yang bakal kita hadapi pada hari itu. Oleh itu, kita pun hanya memikirkan kesenangan-kesenangan yang ada di hadapan mata sahaja, sehingga kita sekalian dilalaikan daripada mengingati segala yang menunggu di hari hadapan dan kita pun lupa diri sendiri disebabkan oleh perkara-perkara yang mempesonakan.”

Bulan Ramadan adalah masa yang baik untuk kita membina, mempertingkat atau memperbaharui kesedaran terhadap kematian dan mengingatinya kerana di bulan ini biasanya kerohanian kita tinggi, kesedaran terhadap akhirat juga lebih dan kelaparan adalah satu tahap dari tahap-tahap kematian.

Tambahan lagi dunia hari ini dilanda oleh krisis kemanusiaan yang mana darah manusia begitu murah dan mudah ditumpahkan.

Dua perkara yang harus sentiasa kekal dalam fikiran kita dalam mengingati mati.

1. Apakah yang akan kita bawa sebagai bekal (pahala / dosa) ke akhirat?
2. Apakah yang akan aku tinggalkan di dunia ini (anak soleh, amal jariah, ilmu, nama baik atau amal-amal yang menyebabkan manusia sentiasa mengingati kita dengan penuh kebencian)?

Jika kita sedar betapa sedikitnya bekal kita ke Akhirat, betapa banyaknya dosa yang telah dilakukan dan betapa banyaknya tugas yang masih perlu ditunaikan, kita tidak akan punya masa untuk apa-apa perayaan atau hari perayaan tidak akan mempunyai makna yang besar bagi kita.

Kalau pun kita beraya, kita lakukannya dengan cara yang sejajar dengan kepentingan kehidupan kita selepas kematian.

Semoga Allah taala menyedarkan kita dari kelalaian yang merbahaya ini, Amin.

Trackbacks

  1. […] an abridged version of my original article written in Malay in 2001, see at http://haniff.sg/pesanan/apabila-ajal-tiba/ […]