Islam adalah rahmat bagi sekalian alam. Hakikat ini menuntut umatnya memainkan peranan aktif bagi kesejahteraan manusia umumnya dan alam semesta seluruhnya sejajar dengan konsep khalifah di muka bumi.
Idealisme ini harus kekal dan dimainkan peranannya oleh seorang muslim di mana pun ia berada. Kedudukan sebagai minoriti bukan alasan untuk mengasingkan diri dalam kumpulan sendiri semata-mata. Terdapat banyak contoh dalam sejarah Islam yang membuktikan umat Islam yang minoriti mampu memainkan peranan yang positif dan konstruktif di bumi mana ia berada e.g kumpulan kecil sahabat yang berlindung di bumi Habsyah yang majoritinya adalah penganut Kristian, Rasulullah s.a.w dan para sahabat semasa di Mekah dan di awal ketibaan di Madinah dan umat Islam di Cina yang mempunyai kedudukan penting di Istana Dinasti Cina seperti Laksamana Cheng Ho.
Islam itu sendiri bukan mengandungi ritual tetapi ia adalah kemasyarakatan dan kenegaraan.
Oleh itu, ‘national engagement’ adalah penting dalam rangka usaha dakwah kita kerana ia memberi kita pengalaman dalam persoalan kenegaraan, politik dan masalah yang melibatkan kepentingan umum. Ia juga menjadikan kita faham akan realiti dakwah serta ruang bagi menyebar dan mengongsi pandangan Islam kepada yang lain dan membina pendapat umum.
Secara umum apa yang dimaksudkan dari ‘national engagement’ ialah penglibatan aktif secara langsung atau tidak dalam isu-isu nasional yang bersifat kepentingan umum, merentas kepentingan masyarakat Melayu / Islam semata-mata.
‘National Engagement’ bukanlah sesuatu yang tidak berlaku hari ini tetapi ia perlu diperluaskan dan program-programnya perlu disemarakkan lagi. Sehingga program-program dakwah tidak dilihat keMelayuan atau hanya untuk orang Islam sahaja.
Di peringkat gerakan dakwah, ‘national engagement’ lebih lagi tidak ketara.
Dalam konteks sebuah gerakan dakwah, antara langkah yang penting bagi menyemarakkan usaha dakwa berbentuk ‘national engagement’ ialah membina sensitiviti terhadap isu-isu nasional di kalangan aktivis dan membina budaya serta pemikiran yang bersifat inklusif bukan eksklusif, memandang ke luar dan tidak hanya ke dalam dan berfikiran luas. Ini perlu dilakukan secara peribadi oleh setiapa aktivis dan oleh organisasi dalam program pembangunan diri.
Selain itu, perlulah ditetapkan secara khusus definisi ‘national engagement’ agar ia lebih berfokus dan jelas konsep, keperluan, prinsip, batas-batas, tujuan dan arah tujunya. Apabila ini telah tercapai, gerakan dakwah harus pula mempopularkannya dalam masyarakat agar pembudayaan dakwah bersifat ‘national engagement’ melimpah dalam masyarakat.
Pengkajian yang mendalam dalam aspek ini adalah amat penting sebelum langkah melakukan ‘national engagement’ dibuat bagi mengelakkan tersilap langkah yang menyebabkan pembaziran usaha dan kemudaratan.
Pembudayaan ‘national engagement’ dalam gerakan dakwah haruslah dimanifestasikan pula oleh pelaksanaan dasar, sistem dan program gerakan tersebut ddokong pula oleh kefahaman yang jelas dan penerimaan tanpa rasa kekok dan ragu oleh aktivisnya.
Dengan perancangan yang rapi dan usaha yang keras, dasar-dasar yang bersifat nasional dapat turut dicorakkan oleh gerakan dakwah. Di samping ia akan memberi manfaat kepada dakwah, ia juga akan menyumbang secara positif kepada negara secara umumnya.
Antara faedah dari dakwah yang bersifat ‘national engagement’ ialah
1. Mencorak dasar negara.
2. Membina jaringan kerja dan kenalan dengan pelbagai pihak.
3. Mengenalpasti dan meramaikan golongan yang bersimpati.
4. Mengetengahkan tokoh di peringkat nasional.
5. Membentuk pendapat umum dalam isu-isu tertentu.
Antara program-program yang boleh dilakukan ialah
1. Membuat kajian mendalam mengenai ‘national engagement’. Ini boleh dilakukan melalui pemberian biasiswa di peringkat Master atau PhD kepada mereka yang sesuai dan berkemampuan.
2. Menghasilkan dasar-dasar dakwah yang akan mencorak program dakwah nasional seperti Pelan Dakwah Nasional, Dasar Kesederhanaan Dakwah dan Modul Memahami Agama dan Budaya di Institut Perkhimatana Awam.
3. Menjalankan program pendidikan kepada penggerak dakwah mengenai dakwah bersifat ‘national engagement’ melalui kempen, media berbentuk buku, risalah, artikel dan lain-lain.
4. Merangkan kurikulum madrasah yang selari dengan dasar ‘national engagement’.
5. Mempopularkan sikap pro-agama dan nilai di kalangan masyarakat dan dalam pembentukan dasar pemerintah.
6. Memperbaharui dinamisme Inter-Religious Organisation. (IRO adalah organisasi yang ditubuhkan atas inisiatif Sheikh Abdul Aleem Siddique. Adalah penting untuk umat Islam meneruskan kembali inisiatif ini.)
Selamat mencuba dan bekerja.