Satu masa lalu, media utama Singapura membuat liputan yang meluas mengenai usaha SingTel, syarikat gergasi telekom di Singapura, untuk bergabung dengan C&W HKT (Cable & Wireless Hong Kong), sebuah syarikat telekom yang beribupejabat di Hong Kong.
Satu pengumuman yang membanggakan tiba-tiba berubah menjadi medan ‘perlumbaan’ antara SingTel dan Cyberworks, apa bila Cyberworks turut menawarkan tawaran untuk bergabung dengan C&W HKT.
Kedua belah pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi perlumbaan ini dengan meraih sebanyak sokongan dan sumber yang ada. Cyberworks menarik sokongan bank-bank setempat seperti HSBC bagi mewujudkan satu pakatan dan SingTel pula menarik News Corps bagi mewujudkan pakatan yang lain.
Pelbagai motif wujud disebalik perlumbaan ini. Namun yang jelas ialah motif penakatan (survival). Bagi SingTel, gabungan ini penting bagi penakatannya kerana dalam era globalisasi hari ini, ia perlu membesar sebagai gergasi atau dibaham oleh gergasi yang lain. Bagi Cyberworks, gabungan ini juga penting selain menjaga penakatannya sebagai sebuah entiti perniagaan tetapi juga menjaga penakatan Hong Kong sebagai sebuah kawasan perniagaan yang terulung di dunia.
Perlumbaan ini, walau bagaimana pun dimenangi oleh Cyberworks dengan kos bernilai hampir 65 bilion dolar.
Apakah relevannya peristiwa ini bagi para pendakwah????
Peristiwa ini mempunyai banyak pelajaran bagi para pendakwah dari segi perancangan strategi, menghadapi cabaran globalisasi dan lain-lain lagi. Dakwah adalah isu global dan sifatnya juga adalah universal. Globalisasi membuka peluang bagi menganjak dakwah ini sesuai dengan sifat sebenarnya. Namun ini hanya boleh dicapai, sekiranya para pendakwah memahami hakikat globalisasi, bagaimana aturan permainannya (rule of the game), mengambil pelajaran dari kisah-kisah di arena global, peka dengan persekitaran di peringkat global dan lain-lain lagi. Ini tidak bermaksud untuk mengalihkan pandangan kita dari pelajaran yang terdapat dalam sirah Rasulullah s.a.w dan kisah perjuangan di sepanjang sejarah Islam. Apa yang dimaksudkan ialah untuk menganjakkan dakwah ini di era globalisasi, pendakwah memerlukan lebih dari hanya menguasai dan memahami sirah dan sejarah sahaja.
Apakah kita mempunyai pilihan lain – samada menganjakkan dakwah ini, sesuai dengan persekitarannya hari ini bahkan sifatnya yang universal, atau tidak???
Kembali kepada pelajaran yang boleh kita ambil dari kes yang dinyatakan di atas…..elok kalau kita fokus kepada persoalan kerjasama sesuai dengan nilai kita iaitu – bekerjasama bukan menyendiri.
1. Membina pakatan kerjasama melalui mekanisme gabungan, sinergi dan lain-lain adalah langkah yang paling praktikal untuk memperkasakan usaha dakwah bagi menganjakkannya ke peringkat global. Yang lebih penting ialah untuk membudayakan perkara ini di arena dakwah kerana rata-rata sikap menjadi ‘Rambo’ dakwah – keinginan untuk menjadi diri sendiri sebagai jaguh atau hero….Aku lebih layak…… Aku boleh – masih terserlah di kalangan penggerak dakwah
2. Orang lain bersungguh-sungguh untuk bekerjasama, bergabung dan berpadu sumber (pull resources), bagi menjamin panakatan dirinya sendiri atau negaranya. Tindak tanduk mereka menggambarkan keseriusan dan sense of urgency bagi mengungguli pesaingnya. Pelbagai berita memenuhi akhbar mengenai penggabungan dan sinergi syarikat-syarikat gergasi untuk menjadi Mega atau Hyper Giant – AOL dan Warner, SIA dan Virgin. Sedangkan realiti ini sukar dilihat dalam medan dakwah yang asasnya ialah mencari keredhaan Allah taala dan berbantu-bantu bagi menjayakan kebaikan. Suasana hubungan antara pertubuhan dakwah masih berbau curiga, iri hati, cemburu dan ragu-ragu. Daripada melihat jahiliyah dan kebatilan sebagai ‘pesaing’ yang mengancam penakatan dakwah, kita melihat sesama kita sebagai pesaing yang mencabar penakatan diri sendiri.
3. Untuk membina pakatan, kerjasama dan sinergi di hari ini, ia memerlukan harga yang mahal. Kesanggupan untuk membenarkan pihak lain memiliki ‘saham’ kita, melepaskan ‘market share’ yang sedia ada, berkongsi maklumat, kuasa bahkan wang berjuta dolar, menjangkau jauh dari hanya persoalan taaruf, kesatuan fikrah dan kesamaan dari segi prinsip. Bukan tujuan kita untuk mencontohi budaya kerja mereka yang semuanya berteraskan materialisme tetapi menolak realiti ini sebagai salah satu faktor pertimbangan juga adalah naif dan simplistik.
Bagi sesiapa sahaja yang menjunjung nilai Bekerjasama Bukan Menyendiri, ia memikul tanggungjawab untuk menjadi contoh dalam persoalan ini, agen perubah yang akan menjadi pemangkin (catalyst) budaya ini di arena dakwah. Bekerjasama adalah sebahagian dari tanggungjawab agama kerana tanpanya misi dakwah sukar untuk berjaya – apabila satu kewajipan tidak tersempurna kecuali dengan sesuatu perkara, maka perkara tersebut pun menjadi satu kewajipan juga. Berusaha untuk membina rangkaian kerjasama bukan hanya ketika memerlukan sokongan yang lain tetapi juga ketika dalam keadaan yang kuat – agar dapat menyokong yang lemah.
Sememangnya untuk bekerjasama akan menimbulkan pelbagai kerenah, memerlukan kompromi dan pengubahsuaian dari apa yang sedia ada. Namun rahmat Allah lebih berharga dan besar bagi kita. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan kaum mukminin dan mukminat, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah : 71)