Berhati-Hati Akan ‘Kuman Penyebar Penyakit’ Di Kalangan Kita

Abdullah adalah seorang tokoh masyarakat di Yathrib (nama Madinah sebelum penghijrahan nabi ke sana). Ia dihormati dan popular kerana kedudukannya. Apabila kaum Aus dan Khazraj telah penat untuk berperang sesama mereka terdapat ura-ura untuk melantik beliau sebagai pemimpin tertinggi masyarakat Arab di Madinah bagi menghadapi kaum Yahudi, jiran masyarakat Arab di Yathrib.

 

Beliau begitu bercita-cita dan berharap-harap akan ura-ura itu menjadi kenyataan. Tidak sabar rasanya dia menanti saat berkenaan. Beliau mula mengorak langkah membina pengaruh di kalangan masyarakat Arab dengan kemahiran PRnya.

 

Cita-cita itu seakan-akan tidak akan pudar dan pasti tercapai pada pemikirannya sehinggalah dakwah Islam yang sebenar tiba di Madinah dan Rasulullah s.a.w berhijrah ke sana.

 

Pada ketika itu fokus masyarakat tidak semena-mena berubah kepada Rasulullah s.a.w. Keperibadian Rasulullah s.a.w dan kesungguhan dakwah yang dilaksanakan oleh beliau dan para sahabatnya telah merubah keadaan Yathrib. Orang-orang Islam yang pada awalnya hanya segelintir dengan pantas menjadi majoriti kerana masyarakat Yathrib yang berbondong-bondong masuk Islam.Yathrib sendiri berubah namanya dan dikenali dengan Madinah.

 

Dengan ini tampuk kuasa juga berubah ke tangan Rasulullah s.a.w. Abdullah yang dahulu dihormati kini dilupakan oleh masyarakat. Beliau kecewa dan hampa. Hasratnya untuk menjadi pemimpin tertinggi di kalangan masyarakatnya musnah sekelip mata tanpa diduga.

 

Beliau begitu marah dengan Rasulullah s.a.w kerana menganggapnya telah merampas haknya. Beliau mendendami Rasulullah s.a.w dan berazam untuk merampas kembali apa yang sepatutnya menjadi miliknya. Namun arus perubahan terlalu kuat. Beliau yakin tidak akan berjaya dalam usahanya jika ia menunjukkan penentangan secara terang-terangan. Oleh itu, beliau pun mengiklankan keIslaman beliau dan menggambarkan pada umum bahawa beliau adalah pencinta Islam yang tulin dan sebahagian dari pejuangnya sedangkan hatinya bersarang dengan cita-cita dunia dan dendam membara.

 

Dari saat itu bermulalah gerakan kaum Munafikin di Madinah yang sentiasa menjadi duri dalam daging masyarakat Islam. Allah taala telah menggambarkan golongan ini secara terperinci dalam Al-Quran untuk pengajaran kita. Antara sifat-sifat golongan ini ialah sentiasa berpura-pura dalam kata-katanya, di hadapan orang Islam ia mengaku sahabat tetapi dengan orang Yahudi ia bersekongkol, ia membocorkan rahsia dakwah agar ia ditimpa kesulitan, ia menebarkan fitnah di kalangan para pendakwah dan meracuni mereka dengan fikirannya. Banyak lagi perbuatan jahat mereka.

 

Walau pun Abdullah bin Ubay bin Salul, ketua golongan Munafik di Madinah telah lama tiada begitu juga kuncu-kuncunya. Namun sejarah akan sentiasa berulang semula. Manusia-manusia yang sepertinya akan muncul kembali kerana kecewa kehilangan kuasa, penghormatan dan kerana jiwa yang bersarang dengan sifat-sifat keji.

 

Jika dibaca sejarah perjuangan Islam, kita akan dapati betapa banyaknya kerosakan timbul dari golongan ini. Kerajaan Abbasiyah dengan segala kemajuannya musnah sama sekali di tangan kaum Monggol kerana golongan ini yang membelot. Bahkan Khalifah Islam yang terakhir juga runtuh kerana golongan ini.

 

Oleh itu, adalah wajar untuk kita sentiasa berwaspada terhadap golongan Munafik dalam perjuangan Islam hari ini atau mereka yang seumpamanya. Mereka mungkin wujud dikalangan kita tanpa kita sedari.

 

Sikap kita terhadap mereka ialah sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Kita melayani mereka sebagai seorang Islam secara zahirnya tetapi sentiasa berwaspada akan tipu daya mereka. Apabila nyata tindakan-tindakan jahat mereka, maka kita akan bertegas dan keras menghadapinya.

 

Siapakah mereka itu dan bagaimana mengenali mereka?

 

Al-Quran telah menjelaskannya denagn penuh terperinci begitu juga Hadits Rasulullah s.a.w. Kisah mereka tercatat dalam sirah Rasulullah s.a.w. Semua ini adalah untuk kita merenung dan mengambil pengajarannya.

 

Kajilah secara mendalam kerena mungkin kita sendiri adalah sebahagian dari mereka.

 

InsyaAllah selama kita ikhlas dan benar di atas jalan dakwahNya, Allah taala akan membela perjuangan ini untuk terus menuju ke destinasinya.

 

“Dan mereka merancang dan Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang.”(Ali-Imran : 54)