Hari Raya Seorang Pendakwah

Ramadan adalah satu perjuangan. Dipandang dari sudut fizikal sahaja, Ramadan sememangnya satu tuntutan yang memerlukan semangat juang untuk melaksanakannya. Apatah lagi jika dipandang juga dari sudut batin – bahawa Ramadan bukan hanya tuntutan menahan lapar dan dahaga dari fajar hingga senja tetapi juga menahan nafsu-nafsu yang bersifat batin dari larangan Allah taala.

 

Kerana beratnya tuntutan Ramadan ke atas kita, Allah menghadiahkan Idil Fitri, hari yang disunatkan untuk melahirkan kegembiraan dan meraikan kejayaan perjuangan, bagi mereka yang berjaya menunaikan tuntutan Ramadan.

 

Namun, Ramadan bukanlah satu-satu tuntutan perjuangan dalam Islam. Ia bukan pula satu kewajipan yang terunggul sehingga kejayaan melakukannya dianggap sebagai puncak segala kejayaan dan kita pun meraikannya serai-rainya.

 

Hakikatnya perjuangan di bulan Ramadan hanyalah satu perjuangan kecil dari tuntutan perjuangan yang lebih besar.

 

Apakah pula tuntutan perjuangan yang lebih besar yang perlu dipikul???

 

Perjuangan yang lebih besar yang dituntut ke atas kita ialah untuk merealisasikan tujuan penciptaan manusia di muka bumi ini iaitu berubudiyah kepada Allah di bumi ini. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Sesungguhnya Aku tidak menjadikan jin dan manusia kecuali untuk berubudiyah kepadaKu” (Az-Zariyat : 56)

 

Tuntutan perjuangan yang lebih besar ialah untuk memastikan setiap insan memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan apabila Tuhanmu berkata ‘Sesungguhnya aku ingin menjadikan di muka bumi seorang khalifah” (Al-Baqarah : 30)

 

Perjuangan kita juga adalah untuk menegakkan Islam sebagai satu cara hidup. Perjuangan kita juga ialah untuk menempatkan Islam kembali di kedudukannya yang sebenar sebagai satu agama yang menjadi rahmat bagi seluruh alam. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam” (Al-Anbiya’ : 107)

 

Walau pun realiti kita mungkin jauh dari hakikat yang hendak dicapai, idealisme ini perlu sentiasa kekal dalam minda kita agar ia dapat diwariskan pula kepada generasi seterusnya.

 

Cubalah kita renung sejenak dan melihat sekeliling kita. Sejauh manakah matlamat perjuangan yang besar ini telah dapat dicapai????

 

Nyata sekali kita masih jauh darinya. Maka, apakah erti perayaan bagi perjuangan kecil sedangkan perjuangan besar masih jauh dari sasaran??? Apakah seronok berhari raya pada ketika tanggungjawab yang lebih besar masih terabai??? Tidakkah terlalu awal untuk kita ‘celebrate’ kerana berjaya dalam ‘perjuangan’???

 

Pada ketika Allah mensyariatkan Idil Fitri, umat Islam ketika itu telah berada di Madinah. Walau pun Islam pada ketika itu belum menjadi satu tamadun dunia yang agung tetapi ia telah tertegak sebagai satu cara hidup dalam lingkungan masyarakat Madinah. Perjuangan yang dimulakan oleh Rasulullah s.a.w lalu diwarisi oleh generasi seterusnya sehingga wujudlah satu kuasa yang daerahnya melebar di Asia dari Moroko hingga ke negeri Cina dan sebahagian yang bukan kecil dari Eropah.

 

Maka layaklah mereka untuk bergembira. Layaklah mereka untuk berhari raya. Layaklah pula mereka meraikan kejayaan satu ‘perjuangan’.

 

Ketika banyak bumi umat Islam bermandi darah dan ramai pula di kalangan umat Islam yang kelaparan, bagaimana pejuang seperti kita dapat bergembira dan beraya???

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia suka untuk saudaranya apa yang ia suka untuk dirinya.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Bagi kita, Idil Fitri adalah hari keinsafan. Hari untuk kita merenung akan erti perjuangan yang sebenar dan sumbangan kita kepadanya.

 

Ayuh kita bina dari keinsafan ini satu tekad yang lebih kukuh dan janji bahawa daya juang sepanjang Ramadan ini akan diteruskan bagi satu perjuangan yang lebih besar. Sehingga Allah mentakdirkan kita bertemu dengan ‘perayaan’ yang lebih bererti dari Idil Fitri ini.