Hijrah Seorang Pendakwah

Awal Muharram menjelang menandakan ketibaan tahun baru hijrah.

 

Hijrah adalah satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w kerana ia merupakan turning point bagi perjuangan beliau. Turning point dari sebuah gerakan sosial kepada sebuah entiti politik dan dari kedudukan bertahan kepada ofensif sehingga menjatuhkan kuasa Jahiliyah. Begitu penting Hijrah dalam perjuangan Rasulullah s.a.w sehingga sejarawan seluruhnya membahagikan sejarah perjuangan beliau kepada dua era iaitu era Mekah dan era Madinah. Pembahagian ini dibuat kerana pada kedua-dua era ini terdapat perbezaan yang ketara dari segi natijah dakwah, pendekatan dan mesej yang hendak disampaikan.

 

Atas dasar itu, sewajarnya peristiwa Hijrah dipelajari dan dikaji untuk diambil iktibar, pelajaran dan membina keinsafan bagi langkah-langkah perjuangan di hari ini dan akan datang.

 

Hijrah sebagai satu peristiwa sejarah, hanya dapat benar-benar difahami dan dinilai signifikannya dengan mengkaji seluruh peristiwa sejarah sebelum hijrah dan seluruh peristiwa sejarah sesudahnya. Dengan erti kata lain,  signifikan Hijrah itu hanya dapat benar-benar dirasakan dengan mengkaji seluruh sirah Rasulullah s.a.w itu sendiri. Walau bagaimana pun, berikut adalah beberapa pengajaran yang boleh diambil iktibar.

 

1.      Asas bagi perjuangan ini ialah untuk memenuhi maslahat Islam yang menjangkau batas-batas geografi dan keluarga.

 

Mekah adalah tanah suci yang paling dimuliakan dalam Islam. Rasulullah s.a.w secara peribadi juga amat mencintai Mekah sebagai tanah tumpah darahnya. Namun oleh kerana ia sudah tidak subur untuk dakwah dan kepentingan perjuangan menuntut untuk ia mencari bumi lain yang lebih subur, ia meninggalkan bumi yang suci lagi dicintai itu ke satu kawasan yang lebih baik bagi Islam. Demikianlah pendakwah, ia tidak boleh terikat dengan emosinya atau ikatan kekeluargaan atau batas geografi sehingga mengabaikan sesuatu yang lebih baik bagi agamanya. Seorang muslim dituntut untuk menegakkan agamanya di mana sahaja di muka bumi ini. Di bumi mana terdapat kepentingan Islam yang lebih besar di situlah ia berpijak dan di situlah langit dijunjung.

 

2.    Perancangan dan pengurusan adalah sunnah Rasulullah s.a.w dan tuntutan dalam perjuangan ini.

 

Apabila Rasulullah s.a.w hendak berhijrah beliau melakukannya dengan penuh perancangan. Beliau meneliti siapa yang layak menemaninya, merancang jalan yang perlu dilalui, membahagi tugas bagi membuka jalan, menyediakan logistik dan bekal, mengumpul maklumat, mengaburi musuh dan banyak lagi. Tidakkah Rasulullah s.a.w kekasih Allah yang akan dipelihara olehNya? Tidakkah Allah telah menjanjikan kemenangan untuknya? Namun itu semua tidak menyebabkan Rasulullah s.a.w leka, berfikir secara simplistik dan mudah dalam kerja dakwah atau main asal buat sahaja.

 

Perjuangan ini adalah satu usaha yang kompleks yang tidak boleh dimenangkan melalui usaha yang ‘sembrono’, pemikiran yang asal boleh atau kerja yang mediocre. One who fails to plan, plans to fail. Ini bukanlah kata-kata hikmat orang Barat sahaja tetapi disebaliknya terdapat sunnah Rasulullah s.a.w. Mengabaikan aplikasi ilmu pengurusan dalam perjuangan ini kerana ia adalah produk Barat bercanggah dengan amalan sunnah dan semangat Hijrah.

 

3.       Dalam kesibukan mengurus dan merancang, jangan lupa faktor Allah taala.

 

Walau pun Rasulullah s.a.w merancang Hijrahnya tetapi ternyata beliau sebenarnya gagal dalam perancangannya. Ini dapat dilihat melalui insiden orang-orang Quraisy yang mampu menjejaknya sehingga di muka gua dan insiden beliau dikejar oleh seorang pemuda Quraisy dengan menaiki kuda dalam perjalanan ke Madinah. Sekiranya tidak kerana bantuan Allah taala dalam kedua-dua insiden ini, maka sudah pasti Rasulullah s.a.w tertangkap dan usahanya gagal.

 

Pendakwah ialah golongan yang merancang sebaik-baiknya tetapi sentiasa berdoa dan mengekalkan hubungan baiknya (hablum minallah) dengan Allah melalui keikhlasan niat, kesucian jiwa, amal taqarrub yang berterusan dan kebersihan langkah. Kerana inilah faktor yang menentukan samada Allah akan membantunya dalam waktu kesempitan atau tidak. Pendakwah haruslah sentiasa sedar bahawa walau bagaimana pun baik perancangannya tetapi Allah taala yang menjadi penentu segala-galanya. Pendakwah yang tulen sentiasa berada di antara golongan yang hanya bergantung dengan kebijaksanaan akalnya dengan golongan yang asal buat sahaja

 

4.       Bagi golongan bukan Islam, terdapat ruang untuk menjayakan perjuangan ini.

 

Bagi menjayakan Hijrah beliau, Rasulullah s.a.w memilih penunjuk jalan yang bukan beragama Islam tetapi boleh dipercayai. Ini mengajar kita bahawa walau pun Allah taala telah menjelaskan sikap-sikap orang kafir di dalam Al-Quran namun jangan sekali-kali kita menafikan ruang untuk golongan bukan Islam bersama untuk menjayakan perjuangan ini. Termasuk dalam kebijaksanaan pendakwah ialah untuk mengenal pasti individu-individu atau kumpulan dari bukan Islam namun bersimpati dan bersedia untuk membantu usaha ini. Mereka ini perlu dicari dan dikenal pasti lalu didekati untuk diajak bersama dalam perjuangan ini. Termasuk dalam pemikiran sempit apabila seseorang menolak hakikat ini.

 

5.       Dakwah ini boleh dijayakan dengan cara aman.

 

Rasulullah s.a.w mengasaskan Madinah tanpa setitik darah pun mengalir. Walau pun setelah itu ia perlu dipertahankan dengan kekuatan.

 

Hijrah dan seluruh sirah Rasulullah s.a.w. mengajar bahawa dakwah ini lebih berpotensi untuk berkembang dalam suasana aman. Sebab itulah apabila peluang untuk berdamai dibuka, Rasulullah s.a.w mengambilnya melalui Perdamaian Hudaibiyah sehingga jumlah mereka yang menganut Islam setelah perdamaian ini melebihi dari keseluruhan jumlah yang masuk Islam sebelum era perdamaian. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan jika mereka condong untuk berdamai, maka condonglah kepadanya dan bertawakal pada Allah” (Al-Anfal :61)

 

6.       Hijrah adalah Pengorbanan dan Persaudaraan.

 

Jika diteliti seluruh rentetan peristiwa Hijrah maka ia tidak lari dari nilai Pengorbanan dan Persaudaraan. Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin berkorban harta, perasaan, keluarga bahkan nyawa bagi menjayakan Hijrah. Kesanggupan Ali untuk tidur di tempat Rasulullah s.a.w, kesanggupan Abu Bakar untuk menahan sakit apabila di gigit ular ketika di dalam gua agar tidak mengganggu tidur Rasulullah s.a.w dan kesanggupan kaum Ansar membantu kaum Muhajirin semuanya adalah manifestasi terhadap rasa cinta terhadap saudaranya dan penghayatan terhadap nilai Persaudaraan dalam Islam.

 

Oleh itu tiada kebaikan bagi perjuangan tanpa Pengorbanan dan Persaudaraan.

 

Hari ini kita berjalan hanya sebagai simulasi bagi Hijrah Rasulullah s.a.w, namun di hati ini kita berdoa agar Allah mempertemukan dengan satu suasana bahawa kita berjalan ke sebuah kota sebagai pasukan pembebas manusia dari kegelapan dan kejahilan kepada cahaya dan petunjuk Islam……. Allahu Akbar Walillahil Hamd!!!!