Kepimpinan dan Kepengikutan

Kepimpinan dan kepengikutan adalah dua wajah dari satu syiling.

 

Ini kerana Allah taala telah merancang kehidupan manusia di muka bumi ini bahawa dia adalah pemimpin dan dia juga adalah pengikut. Buktinya kalau seorang itu adalah abang kepada beberapa adik beradik maka dia itu adalah pemimpin kepada adik-adiknya tetapi pengikut kepada ibu bapanya. Seorang isteri adalah pemimpin bagi anak-anaknya tetapi ia juga adalah pengikut kepada suaminya. Seorang Perdana Menteri adalah pemimpin bagi negaranya tetapi ia sendiri adalah pengikut bagi sistem pemerintahan yang telah diperundangkan.

 

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud

 

“Setiap kamu adalah gembala dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas gembalaannya” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Oleh itu, kepimpinan dan kepengikutan harus ada dalam setiap individu, khususnya penggerak dakwah, secara selari.

 

Memahami keselarian kepimpinan dan kepengikutan dalam kehidupan kita adalah penting supaya kita tidak terlalu tenggelam dengan kepimpinan yang kita ada atau kita menjadi terlalu takut dengannya kerana terlalu tenggelam dengan diri kita sebagai pengikut.

 

Tidak ada manusia di muka bumi yang sepatutnya selesa dengan nilai-nilai kepimpinan semata-mata, yang hanya mahu dikenali sebagai pemimpin semata-mata, yang hanya mahu memainkan peranan sebagai pemimpin sahaja dalam semua keadaan. Tidak sepatunya seorang manusia merasa malu untuk menjadi pengikut atau enggan memainkan peranan sebagai pengikut kerana sikapnya itu bercanggah dengan fitrah kehidupannya sendiri.

 

Kita memerlukan empati (empathy) dalam mengamalkan kepimpinan dan kepengikutan. Sebagaimana kita mahu sikap kepengikutan yang betul dari seseorang yang kita adalah pemimpinnya maka begitulah juga sikap kepengikutan yang perlu kita amalkan kepada pemimpin kita. Sebagaimana kita harapkan sikap kepimpinan yang betul dari pemimpin kita, kita sendiri perlu mengamalkan sikap kepimpinan yang betul apabila memimpin orang bawahan kita. Jika tidak, maka kita telah mengamalkan double standard.

 

Sebagai pemimpin satu kumpulan kerja, pastinya kita tidak suka jika pengikut kita tidak mematuhi keputusan, arahan, dedline dan lain-lain. Kita akan menegur, menasihati dan memarahi mereka jika ia berlaku tetapi janganlah pula kita sendiri sering tidak mematuhi keputusan, arahan dan deadline dalam hubungan kita dengan pemimpin yang bertanggungjawab atas kita dan janganlah pula kita menjadi murah merajuk atau berkecil hati jika ditegur, dinasihat dan dimarahi atas kelakuan kita.

 

Memahami perkara ini memang mudah, bercakap dan menulis mengenainya juga mudah. Yang sukar ialah menterjemahkannya dalam bentuk amali.

 

Inilah kehidupan, satu mujahadah yang berterusan dan satu perjuangan yang berpanjangan.

 

Marilah kita saling bantu membantu bermujahadah dalam hal ini, agar perjuangan ini akan terus berjalan dengan lancardan ia tidak ditentukan oleh kepentingan lain selain kepentingan Islam dan dakwah.