Kita Terpinggir??? …… Di Mana Meritokrasi????

Allah taala mencipta manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan apabila Tuhan kau berkata kepada para malaikat Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” (Al-Baqarah :30)

 

Tugas manusia selaku khalifah ialah untuk menegakkan ubudiyyah dalam kehidupan dan memakmurkannya atas dasar itu. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan tidak aku cipta jin dan manusia kecuali untuk berubudiyyah kepadaKu” (Az-Zariyat : 56)

 

Ubudiyyah tidak berlaku kecuali dengan Islam sebagai satu cara hidup. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Sesungguhnya Din (yang diakui) di sisi Allah ialah Islam.”(Ali-Imran : 19)

 

Oleh itu, di antara pelbagai jenis manusia, hamba-hamba Allah yang soleh lah yang layak untuk memimpin mana-mana jua wilayah di muka bumi ini. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Sesungguhnya bumi ini, yang mewarisinya ialah hamba-hambaku yang soleh” (Al-Anbiya’ : 105)

 

Hamba-hamba yang disifatkan oleh Allah taala sebagai

 

“Mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.” (Al-Haj : 41)

 

Mereka yang tidak soleh tidak akan mampu untuk menegakkan keadilan sebenar. Mereka yang tidak soleh tidak mungkin dapat menegakkan ubudiyyah dan memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi.

 

Hakikat ini kekal dalam pemikiran seorang muslim di bumi mana sekali pun ia berada. Selama mana seorang muslim itu berada bukan di bawah pemerintahan hamba-hamba Allah yang soleh, selama itu ia memikul tanggungjawab untuk merealisasikan hakikat di atas berdasarkan kemampuannya atau merintis jalan bagi generasi akan datang untuk meneruskan usaha ke arah itu, tanpa mengira betapa cekap pemerintahan itu, betapa maju ekonominya, betapa molek sistem sosialnya pada ukuran manusia biasa. Hal ini kerana, walau pun Islam mahukan kecekapan dalam pemerintahan, kemajuan ekonomi dan keadilan sosial tetapi Islam juga mahukan semua itu tertegak atas ubudiyyah kepada Allah taala.

 

Walau bagaimana pun, dalam menjayakan usaha mewariskan bumi ini kepada hamba-hamba Allah yang soleh, Islam mengiktiraf kepelbagaian jenis manusia yang dihadapi. Tidak semua mereka yang tidak soleh itu jahat atau semestinya memusuhi Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negeri kamu dan membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan barang siapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang zalim.” (Al-Mumtahanah : 8-9)

 

Dalam ayat ini jelas sekali bagaimana Allah membezakan dua jenis golongan yang bukan Islam dan sikap yang berbeza yang harus seorang muslim tunjukkan kepada mereka.

 

Berdasarkan hakikat di atas, samada wujud sebenar-benarnya meritokrasi yang jujur atau tidak dalam realiti kita di sini adalah suatu yang tidak relevan bagi visi kita. Visi kita tetap kekal untuk berusaha ke arah mewariskan bumi ini kepada hamba-hamba Allah yang soleh dalam apa jua keadaan dan di mana jua kita berada.

 

Samada meritokrasi yang jujur wujud atau tidak, kita juga mengakui bahawa pemerintahan yang ada hari ini bukanlah sebuah regim di Irak atau Yugoslavia yang zalim dan bersifat kuku besi. Ia juga bukan pemerintahan Indonesia hari ini yang tidak menggambarkan kompetensi atau pemerintahan di Malaysia yang diwarnai dengan korupsi dan kroni. Nasib kita juga bukan seperti umat Islam di Chechnya atau di Palestin.

 

Kebijaksanaan kita ialah untuk mengekalkan idealisme yang dipertanggungjawabkan atas bahu kita dan memilih pendekatan yang sesuai dengan mereka yang kita berinteraksi dengannya.

 

Ihsan menuntut kita meletakkan sesuatu di tempatnya dan memberikan hak kepada yang berhak. Mengabaikan ini pula boleh membawa pada kezaliman.

 

Ini juga merupakan sebahagian dari hikmah dan kebijaksanaan dalam meniti jalan dakwah ini.

 

Samada meritokrasi wujud atau tidak, tiada siapa yang akan dapat mengembalikan kemuliaan bagi masyarakat kita kecuali kita sendiri, tiada siapa yang akan mengeluarkan kita dari pinggiran kecuali usaha keras kita sendiri dan tiada siapa yang akan merealisasikan visi mewujudkan satu masyarakat Islam yang cemerlang kecuali kita sendiri. Allah taala telah pun menyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud

 

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka yang mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Ar-Ra`ad : 11)

 

Keadilan sebenar tidak akan datang dari hamba-hamba Allah yang tidak soleh. Hanya sanya, darjah keadilan hamba-hamba yang tidak soleh ini ada yang besar dan ada yang kecil, ada yang banyak dan ada yang sedikit. Mengharapkan keadilan sejati dari mereka yang tidak soleh hanyalah satu ilusi sahaja.

 

Kalau benar ada usaha secara sengaja untuk meminggirkan kita, ini bukanlah suatu yang baru kerana Allah telah pun memberi amaran mengenainya lama dahulu di dalam Al-Quran. Hidup ini adalah perjuangan dan perjuangan adalah tipu helah. Kalau kita tewas oleh tipu helah orang lain sehingga terpinggir, kita harus menyalahkan kebodohan diri dari mengadu mengenai kelicikan orang lain.

 

Untuk menjadi umat yang bermaruah, satu masyarakat tidak seharusnya meminta-meminta atau menagih simpati untuk menaikkan martabat mereka. Sebaliknya ia harus berusaha, dengan kebijaksanaan yang Allah taala berikan serta keyakinan pada bantuanNya, untuk memperolehi apa yang ia mahukan dan merealisasikan idealisme yang ia yakini.

 

Kemuliaan itu wujud dalam diri kita dan ditangan kita semata-mata.

 

Hasbunallah wa ni`mal wakil. Ni`mal maula wa ni`man nasir…..