McDonald’s adalah rumah makanan segera yang popular dan dikenali ramai. Ia dilanggani oleh pelbagai orang termasuklah para pendakwah.
Sebenarnya jika diteliti dengan lebih mendalam, McDonald’s bukan hanya menjual makanan segera tetapi lebih dari itu. Pengaruh McDonald’s dalam masyarakat bukan hanya dari segi pemakanan tetapi juga melimpah pada gaya hidup masyarakat.
Jika kita teliti pada McDonald’s dan seluruh rumah makan yang seumpamanya iaitu KFC, A&W, Burger King, Coffe Bean, Starbuck’s Coffee dan lain-lain, ia turut mempengaruhi masyarakat khususnya anak-anak muda dengan gaya hidup berikut
· gaya hidup segera dan pantas dalam segala perkara sehingga ke peringkat gopoh dan gelojoh. Kalau Islam dan adat masyarakat kita, mengajar agar makan dengan tetap di satu tempat dan tertib tetapi institusi seperti McDonald’s mempopularkan gaya makan di mana-mana e.g makan burger sambil berjalan, berdiri bahkan boleh berlari, makan juga boleh dilakukan bukan hanya di atas meja tetapi di dalam bas, teksi dan di mana-mana, makan tidak perlu lagi untuk tetap di satu tempat tetapi juga ‘mobile’.
· gaya hidup lepak dan bersembang. Jika kita pergi ke mana-mana pusat makanan segera, kita akan lihat aspek ini dengan jelas. Anak-anak muda kita akan duduk di tempat berkenaan berjam-jam walau pun hanya dengan se gelas minuman. Tidak dinafikan ada yang menggunakan tempat itu untuk mengulangkaji pelajaran, berehat sebentar dan juga menikmati waktu bersama keluarga tetapi ramai yang tidak sedemikian.
· bagi suri rumah pula, ia menyediakan ‘jalan keluar’ yang mudah untuk makanan keluarga. Tidak perlu lagi berpenat lelah untuk masak dan waktu yang dapat di ‘jimat’ dapat digunakan untuk ‘perkara-perkara’ lain. Ini membuka peluang pula bagi ‘budaya’ rumah makan segera untuk masuk ke rumah.
· budaya ‘konsumerisme’. Apa yang berlaku semasa kepopularan Hello Kitty adalah contoh yang baik dalam hal ini.
· budaya memandang ke Barat. Oleh kerana kebanyakan syarikat-syarikat ini berasal dari Barat, kepesonaan anak-anak muda terhadapnya juga menarik pandangan mereka terhadap Barat. Alat mainan yang dipromosikan bersama berasal dari Barat dan merupakan watak dari kartun Barat
Banyak lagi gaya hidup lain yang boleh dicatatkan.
Tulisan ini tidak bermaksud untuk menuduh McDonald’s dan yang seumpamanya sebagai institusi ‘kotor’ dan penyebar budaya ini. Apa yang hendak dinyatakan ialah kewujudan McDonald’s dan yang seumpamanya, walau pun asalnya ialah untuk menjual makanan tetapi ia mempunyai kesan sampingan sosial yang lain. Samada ini disengajakan atau tidak, adalah satu perkara lain.
Dakwah adalah usaha yang bertujuan untuk merubah masyarakat. Antara yang hendak diubah ialah gaya hidup masyarakat ke arah gaya hidup yang diajarkan oleh Islam.
Walau bagaimana pun, apabila kita merenung usaha dakwah hari ini dengan dibandingkan dengan McDonald’s dan yang seumpamanya, boleh dikatakan hampir tiada bagi usaha dakwah ini satu institusi yang mempunyai peranan, pengaruh dan kesan seperti McDonald’s dan yang seumpamanya. Institusi yang menjual makanan atau barangan pengguna tetapi juga mempengaruhi gaya hidup sosial masyarakat ke arah gaya hidup yang lebih sihat dan Islamik. Ia dilanggani oleh setiap orang, muslim dan bukan muslim dan nilainya mempengaruhi semua – muslim dan bukan muslim.
Kalau boleh dikatakan ada pun, mungkin lagu-lagu yang dipopularkan oleh kumpulan nasyid. Namun ia masih terlalu terbatas, bersifat tempatan dan komunal. Tidak ramai orang bukan Islam yang mendengarnya.
Apa yang hendak ditonjolkan ialah, dalam proses merubah masyarakat, penggerak dakwah haruslah benar-benar memahami proses berlakunya perubahan sosial baik melalui proses yang langsung dan tidak langsung. Penggerak dakwah juga perlu memahami tingkah laku sosial (social behaviour) bagi mencetus perubahan. Begitu juga media-media atau wasilah yang berkesan, baik yang bersifat langsung atau tidak langsung.
Jelas sekali, untuk bersaing dengan Jahiliyah, usaha dakwah haruslah lebih sofistikated dari yang sedia ada dari segi strategi dan pelaksanaan. Orang kata It’s All In The Mind. Selama mana minda pendakwah tidak dapat berfikir secara yang lebih kompleks dan sofistikated, selagi itu pendekatan dakwah akan kekal seperti hari ini.
Proses perubahan bagi mencapai tujuan dakwah boleh dilakukan bukan hanya secara langsung tetapi juga dengan secara tidak langsung. Proses perubahan dalam mencapai tujuan dakwah, boleh dicapai juga tanpa penonjolan simbol.
Bukan tujuan penulisan ini untuk menidakkan sumbangan dan peranan usaha dakwah yang sedang berjalan hari ini atau yang bersifat konvensional. Segala usaha itu haruslah diteruskan tetapi ia juga harus disokong dengan usaha-usaha yang bersifat tidak langsung dan tidak menghadkan dakwah pada bentuk-bentuk yang ada sekarang ini sahaja.
Tetapi ingat!! Kalau simbol tidak ada, mesej dan nilai pun dilupa, natijahnya, tidak ada apa-apa.