Pendidikan Wajib Bukan Segala-Galanya

Isu Pendidikan Wajib (Mei 2000) sememangnya isu penting bagi masyarakat Islam kerana ia mempunyai kesan positif atau negatif terhadap salah sebuah institusi Islam yang penting bagi kita – madrasah. Masyarakat begitu perihatin sekiranya Pendidikan Wajib mengakibatkan penutupan madrasah di masa akan datang.

 

Kepekaan dan keperihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat dan pertubuhan dakwah terhadap isu Pendidikan Wajib sememangnya wajar. Namun perlulah juga difahami bahawa isu Pendidikan wajib hanyalah satu isu dari banyak isu yang perlu ditangani oleh masyarakat. Ia bukan satu-satunya isu yang perlu diberi perhatian. Apatah lagi isu Pendidikan wajib adalah sesuatu yang dilemparkan kepada kita bukan sesuatu yang timbul dari pemikiran strategik kita.

 

Memahami hakikat di atas adalah penting kerana ia akan mempengaruhi cara kita menanganinya dan sejauh mana sumber masyarakat yang perlu dicurahkan untuknya.

 

Melihat perkembangan isu ini di tengah masyarakat, dari sudut positif, ia menunjukkan bahawa semakin ramai dari kalangan masyarakat kita yang berani ke hadapan untuk bercakap dan turut serta dalam isu sesensitif ini. Jelas juga kepada kita betapa sayangnya masyarakat terhadap institusi agamanya yang menunjukkan juga peningkatan komitmen masyarakat terhadap agamanya.

 

Dari sudut negatifnya pula, keperihatinan masyarakat dan pertubuhan Islam terhadap isu ini haruslah diurus dengan baik. Jangan sampai, begitu sibuk kita dengan isu ini, sehingga kerja-kerja diperingkat operasi terbiar dan usaha untuk mengembangkan dakwah di sudut-sudut lain terbantut dan terbengkalai.

 

Jika ini berlaku, ia tidak lain menunjukan kelemahan dan kedangkalan keupayaan kita sendiri. Ia juga tidak baik bagi usaha dakwah. Bayangkan sekiranya setiap kali sesuatu isu dilemparkan kepada kita, kita menjadi terlalu fokus sehingga aspek operasi dan pengembangan dakwah terbantut. Maka akan bergembiralah pihak lain kerana mereka akan terus sahaja melemparkan isu yang menyentuh sensistiviti kita agar kita sibuk dengannya dan kita tidak berkesempatan untuk membaiki operasi dakwah kita dan mengembangkannya.

 

Pertubuhan Islam dan masyarakat keseluruhannya haruslah membina kemampuan untuk menangani pelbagai isu sekaligus. Selain terus memastikan operasi dakwah berjalan baik dan pengembangan strategiknya juga tercapai. Kerana inilah realiti dakwah. Kalau usaha dakwah ini ingin dianjakkan ke peringkat serantau dan dunia, ia haruslah bersedia untuk menangani pelbagai isu dan krisis secara serentak.

 

Persoalan di atas bukanlah hanya satu kebimbangan tetapi ia mungkin satu kebenaran. Ini kerana semasa isu Pendidikan Wajib hangat dibincangkan, pelbagai isu lain juga muncul yang menuntut perhatian masyarakat dan pertubuhan Islam. Antara isu-isu ini ialah isu cadangan peningkatan kadar tambang pengangkutan awam, isu POSBank, isu undang-undang dan seks luar tabii, isu penculikan oleh Abu Sayyaf dan lain-lain. Semasa isu ini ditimbulkan di dada akhbar tiada kelihatan reaksi yang signifikan dari pertubuhan Islam atau masyarakat Islam. Sedangkan masyarakat lain menyampaikan bantahan mereka terhadap kenaikan pengangkutan awam dan POSBank dan membincangkan persoalan undang-undang dan seks luar tabii.

 

Mungkin isu-isu seperti ini kurang relevannya dengan masyarakat Islam kerana ia bersifat keduniaan tetapi dari segi dakwah, pertubuhan dan masyarakat Islam seharusnya mengambil peluang dari isu-isu seperti ini untuk mengemukakan cadangan dan penyelesaiaan kerana isu-isu seperti inilah yang menjadi tarikan dan tumpuan golongan bukan Islam. Melalui isu yang menjadi kepekaan golongan bukan Islam kita dapat menyampaikan mesej Islam kepada mereka dan menunjukkan bahawa pertubuhan Islam adalah pertubuhan yang turut peka terhadap masalah mereka dan relevan dalam persekitaran semasa.

 

Pertubuhan dan masyarakat Islam haruslah mampu untuk menangani isu kelompoknya sendiri dan juga masyarakat umum sekaligus.

 

Bagi menganjak dakwah ke tahap yang lebih tinggi, pertubuhan dan masyarakat Islam haruslah keluar dari pemikiran kelompok (parochial). Sebaliknya meletakkan Islam sebagai agama yang relevan bagi menangani isu manusia umumnya secara praktis.

 

Dari sudut lain pula, pertubuhan dan masyarakat Islam juga boleh secara strategik merangka bagaimana isu Pendidikan Wajib dan madrasah yang dilontarkan kepada kita sebagai isu masyarakat kita menjadi isu nasional. Iaitu Pendidikan Wajib hanya akan bermanfaat sepenuhnya sekiranya ia bukan hanya untuk memenuhi keperluan ekonomi baru dunia tetapi juga memenuhi cabaran moral yang semakin membimbangkan – pelajar 14 tahun melahirkan anak, laporan pembuangan anak di akhbar, kebebasan seks dan pergaulan bebas, media yang semakin menggalakkan budaya asing seperti filem Spin, Friends, Ally McBeal dan lain-lain.

 

Masyarakat Islam berusaha menghadapi cabaran ini dengan institusi madrasah. Mereka mempunyai perancangan dalam persoalan ini. Bagaimana pula dengan masyarakat lain? Apakah huraian mereka terhadap isu moral hari ini? Dengan Pendidikan Wajib yang memaksa anak-anak mengikuti satu sistem pendidikan yang tidak terbukti sebagai sebuah sistem yang memberi asas nilai murni kehidupan yang tetap, adalah membimbangkan sekiranya golongan majoriti di Singapura hanya mengatakan ia sahaja terhadapnya tanpa apa-apa keperihatinan.

 

Allah mengurniakan akal kita ini dengan potensi yang begitu besar. Allah mengurniakan masyarakat kita dengan sumber yang banyak. Adalah malang jika akal yang besar dan sumber yang kaya ini hanya berupaya untuk menangani satu-satu isu sahaja dalam satu masa.

 

Sebuah pertubuhan atas keterbatasan sumbernya mungkin hanya boleh memfokuskan tumpuannya kepada sesuatu kerja dan isu tetapi sebuah masyarakat yang kaya dengan sumber haruslah mampu untuk menangani pelbagai perkara sekali gus tanpa pengabaian pada persoalan operasi dan pengembangan strategik.