Reformasi!!!….Reformasi!!!!…. Antara Yang Peduli dan Yang Aphaty

Dalam sejarah bangsa Melayu kita akan berjumpa dengan watak Hang Nadim. Seorang budak yang dihukum bunuh oleh kerana fitnah pembesar kerajaan. Kita juga berjumpa dengan watak Tun Fatimah, anak Bendahara Melaka yang dikahwini raja setelah seluruh keluarganya dibunuh kerana fitnah pembesar kerajaan. Kita juga bertemu dengan watak Hang Tuah yang dihukum bunuh oleh Raja kerana fitnah Patih Karma Wijaya. Kita juga bertemu dengan Hang Jebat yang dibunuh kerana membela kezaliman.

 

Pada kesemua kisah-kisah ini kita akan bertemu dengan watak Raja, Pembesar yang menyebar fitnah, manusia-manusia yang dizalimi dan juga masyarakat yang hidup di zaman itu.

 

Rata-rata kita semua mencela watak Raja dan Pembesar. Kita mencela kerana watak-watak ini telah melakukan kezaliman dan mempunyai akhlak yang keji dalam masa mereka memikul amanah masyarakat. Telah banyak diperkatakan dan dihurai mengenai mereka. Namun ada satu faktor dalam kisah-kisah ini yang kurang dibincangkan dan diambil perhatian sedangkan sebenarnya mereka juga bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan akan dipersoalkan juga terhadap peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka dalam kisah-kisah ini.

 

Faktor yang dimaksudkan ialah faktor masyarakat di zaman Hang Nadim, Tun Fatimah, Hang Tuah dan Hang Jebat. Kita tidak pernah terbaca bagaimana masyarakat di zaman itu bangkit membela manusia-manusia yang teranyiaya ini. Kita menjadi musykil mengapakah sedemikian sikap mereka? Mungkinkah mereka tidak mengetahui apa yang berlaku kerana teknologi maklumat tidak secanggih di masa ini? Mungkinkah mereka tidak peduli kerana tahap pendidikan mereka yang tidak tinggi?

 

Sebenarnya sebagaimana celanya perbuatan Raja dan Pembesar atas kezaliman yang telah mereka lakukan begitulah juga celanya ketidakpedulian masyarakat untuk membanteras kemunkaran yang berlaku di zamannya. Sebagaimana Raja dan Pembesar akan dihisab atas perbuatan mereka, setiap ahli masyarakat di zaman itu juga akan dihisab oleh Allah kerana ketidakpedulian mereka atas kemunkaran yang berlaku.

 

Sebagaimana kita tidak mahu watak Raja dan Pembesar muncul semula di zaman kita, kita juga harus tidak rela kalau masyarakat kita mempunyai nilai dan sikap yang sama dengan masyarakat di zaman itu. Apatah lagi kita tidak mempunyai banyak alasan untuk menjadi seperti mereka kerana kita hari ini sudah mempunyai teknologi maklumat yang canggih dan pendidikan tinggi yang tidak ada pada masyarakat dahulu.

 

Namun bagaimanakah sikap peduli masyarakat kita hari ini terhadap isu-isu yang benar-benar berkaitan dengan mereka sendiri? Bagaimanakah kesanggupan masyarakat kita hari ini untuk bangun menegakkan kebenaran dan membela keadilan?

 

Walau pun ada yang peduli namun secara umum tahap kepedulian masyarakat kita masih jauh dari memuaskan. Masih terlalu ramai yang pasif. Sedangkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemunkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lisannya. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman” (Riwayat Muslim)

 

Kita perlu ubah hakikat ini. Usaha perubahan ini hanya akan berjaya sekiranya agen-agen perubah masyarakat sendiri tidak dijangkiti dengan kepasifan dan ketidakpedulian.

 

Mungkinkah ini agenda reformasi kita? Mewujudkan satu masyarakat yang peduli, perihatin dan peka yang mana darinya akan tertegak kebenaran dan keadilan yang diperlukan oleh manusia.

 

Masyarakat yang tidak akan membiarkan lagi mana-mana pihak meng‘hangnadim’kan sesiapa lagi. Masyarakat yang tidak akan pula meng‘hangnadim’kan sesiapa.

 

Reformasi……?? Apakah ia hanya relevan ditempat lain sahaja?

 

Tidakkah Rasulullah s.a.w menuntut agar seorang muslim sentiasa membaiki keadaan dari hari ke hari agar dia menjadi manusia yang beruntung bukan manusia yang rugi atau celaka?

 

Nah, pada pembaikan terkandung tuntutan reformasi. Maka reformasi juga adalah isu kita. Hanya reformasi kita adalah reformasi berdasarkan keperluan dan realiti kita sendiri bukan keperluan dan realiti orang lain. Reformasi mengikut cara kita sendiri bukan reformasi cara orang lain.