Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Januari 2024, di sini.
“Diturunkan Kitab ini (Al-Qur’an) dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. Yang Mengampuni dosa dan Menerima taubat lagi keras hukumanNya; Yang mempunyai kurnia. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nya lah kembali (semua makhluk).” (Ghafir: 2-3)
Pelajaran
- Allah taala menyebut tujuh perkara tentang diriNya, iaitu
i. Penurun wahyu sebagai petunjuk bagi manusia
ii. Maha Perkasa
iii. Maha Mulia
iv. Maha Pengampun
v. Penerima taubat
vi. Pemberi hukuman yang keras
vii. Pemberi kurnia/nikmat. - Enam perkara (1, 2, 3, 4, 5 dan 7) bersifat positif, hanya satu sahaja (6) yang bersifat “negatif”.
- Allah taala juga mendahulukan pengampunan dan taubat dari hukuman yang pedih (Ghafir: 3) dan menyebut penurunan dahulu sebelum datang hukuman yang pedih (bagi yang ingkar).
- Kesemua yang dinyatakan di atas mempunyai pelajaran tentang cara berdakwah, bukan hanya ilmu tentang Allah taala.
- Dakwah hendaklah semampu mungkin mengutamakan menonjolkan imej yang positif sebagaimana Allah taala memperkenalkan dirinya dalam kedua-dua ayat di atas.
Oleh itu, dakwah hendaklah mengutamakan pendekatan-pendekatan positif dalam menyampaikan ajaran Islam kepada manusia seperti memberi galakan, bersifat ramah dan sabar, bukan yang negatif seperti mengancam, menakut-nakutkan, bengis dan marah-marah. - Organisasi dakwah dan aktivisnya juga hendaklah mencontohi Allah taala yang mengutamakan sifat pemaaf dan memberi taubat kepada pelaku maksiat, bukan bersegera menghukum mereka.
Ini juga bermaksud keterbukaan untuk menerima manusia seadanya dan sentiasa bersedia untuk memberi peluang berkali-kali untuk seseorang menjadi baik dan berubah. - Organisasi dakwah hendaklah mempunyai minda positif yang sedia melihat keinginan seseorang itu berubah berkali-kali, bukan melihat dia sebagai insan yang berulang kali melakukan dosa sesuai dengan sifat Allah taala yang disebut dalam hadis:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda: Allah taala telah berfirman: Seorang hamba telah berdosa. Lalu dia berkata: Ya Allah ampunkanlah dosaku. Lalu Allah taala berfirman: HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Kemudian dia melakukan dosa lagi, lalu berkata: Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku. Lalu Allah taala berfirman: HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Kemudian dia mengulangi melakukan dosa, lalu berkata Ya Allah ampunkanlah dosaku. Lalu Allah taala berfirman HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Telah aku ampuni hambaku, maka lakukanlah apa yang dia kehendaki.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim) - Khidmat dari organisasi dakwah juga hendaklah tidak diskriminatif, iaitu diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa melihat status sosial atau kesolehannya kerana Allah taala sebagai Tuhan Pemberi Nikmat yang banyak juga begitu. Dia memberi kepada sesiapa sahaja dari kalangan hambaNya yang memerlukan dan layak menerima.
- Kerja dakwah akan sentiasa terdedah kepada kritikan dan kutukan, baik oleh musuh dakwah, pesaing-pesaing atau Muslim yang tidak memahami.
Organisasi dakwah hendaklah juga bersifat pemaaf dan menjauhi sifat berdendam terhadap mereka ini kerana itu juga sifat Allah taala yang patut dicontohi.
Lebih utama lagi ialah untuk bersifat pemaaf kepada rakan-rakan kerja yang sebagai manusia pasti akan melakukan kesilapan, baik kerana lalai, cuai atau tanpa disengajakan. Mereka ini lebih utama untuk diberi peluang membaiki diri dan prestasi kerja. - Perlu wujud usaha teratur untuk mentarbiyah para aktivis dakwah, baik yang eksekutif atau sukarelawan, bagi menghayati pelajaran-pelajaran di atas kerana ia tidak wujud hanya melalui pembacaan sahaja, tapi juga melalui latihan berterusan dan sosialisasi bagi membolehkan pelajaran-pelajaran ini berakar dalam diri sebagai nilai dan kebiasaan.
- Pelajaran-pelajaran di atas juga relevan bagi ibubapa dalam menjalankan tanggungjawab ke atas anak-anak dan panduan dalam mendidik mereka juga.