Artikel – Berfikiran luas hadapi musibah (Berita Harian [Singapura], 12 Oktober 2012)

acheh tsunami

(Nota: Klik di sini untuk membaca versi terjemahan dalam bahasa Inggeris.)

Berfikiran luas hadapi musibah

oleh

Muhammad Haniff Hassan

TERDAPAT kecenderungan di kalangan Muslim mengaitkan sesuatu masalah atau musibah yang berlaku dengan bala dalam erti yang negatif sahaja, iaitu hukuman atau azab Tuhan kerana dosa.

Pola pemikiran seperti ini dapat dilihat dalam perbualan orang ramai di wadah sosial dan maya apabila berlaku bencana seperti tsunami di Aceh.

Bahkan, berita ‘negatif’ tentang kuota haji yang terhad pada 680 orang dan kemungkinan kambing korban tidak dibenarkan dieksport ke Singapura juga dilihat sebagai bala yang berakibat daripada dosa dan murka Tuhan.

Mengaitkan bala dengan azab atas dosa bukanlah satu perspektif yang salah di sisi agama.

Al-Quran ada menyatakan bahawa antara sebab Allah swt menurunkan bala ialah kerana dosa sesuatu kaum dan sebagai hukuman ke atas mereka (ayat 16 Surah Al-Isra dan ayat 63 Surah An-Nur).

Hal ini juga jelas dalam cerita-cerita tentang kemusnahan umat-umat dahulu yang ada dalam Al-Quran (misalnya, ayat 84 Surah Al-A’raf dan ayat 24 hingga 25 Surah Al- Ahqaf).

Dalil daripada hadis juga ada, sebagaimana sabda Rasulullah saw menurut riwayat Ahmad:

‘”Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (seksaan) kepada mereka.’

“Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, apakah pada waktu itu tidak ada orang soleh?’

“Baginda menjawab: ‘Ada!’

“Aku berkata lagi: ‘Apakah yang akan Allah perbuat kepada mereka?’

“Baginda menjawab: ‘Allah akan menimpakan kepada mereka azab sebagaimana yang ditimpakan kepada orang-orang yang berbuat maksiat, kemudian mereka akan mendapat keampunan dan keredaan daripada Tuhannya.'”

Namun, perspektif ini bukan mewakili pandangan Islam yang menyeluruh tentang konsep bala.

Bala sebagai ujian

Pada asalnya, ‘bala’ bermaksud ujian (ayat 2 Surah Al-Mulk) yang boleh berlaku atas sebab positif juga.

Allah menyifatkan ujiannya ke atas Nabi Ibrahim as dan anaknya, Ismail as, sebagai bala yang besar (ayat 106 Surah Al-Saffat).

Pasti ini berlaku bukan kerana maksiat atau dosa daripada mereka semua, kerana mereka adalah nabi yang maksum (dipelihara daripada dosa).

Rasulullah saw berpesan dalam hadis riwayat Al-Bukhari:

“Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Dia akan memberi musibah padanya.”

Ertinya, bala juga adalah tanda kasih Allah kepada seseorang dan bukan tanda kemurkaan-Nya sahaja.

Dari sudut ini juga, kita lihat ujian-ujian yang ditimpakan ke atas semua nabi, iaitu kerana Allah kasih pada mereka, bukan murka.

Hal ini pula bukan sesuatu yang eksklusif pada para nabi, tetapi berlaku juga pada sesiapa yang Allah kasihi, baik individu mahupun masyarakat.

Bala (ujian) dalam pengertian Al-Quran bukan hanya terhad pada bencana, bahkan dalam bentuk nikmat (ayat 35 Surah Al-Anbiya).

Dalam hal ini, seseorang itu tidak sahaja seharusnya berasa insaf apabila ditimpa musibah, malah insaf apabila menerima nikmat kerana kemungkinan nikmat itu adalah musibah yang tidak disedari.

Musibah kerana tabii

Musibah juga berlaku kerana hukum tabii (sebab-musabab) yang Allah sendiri menciptanya dan Dia memerintahkan kita agar mengkaji hukum tabii ini (ayat 84 hingga 85 Surah Al-Kahf).

Ini bermakna ada musibah yang berlaku bukan kerana disebabkan maksiat/murka Tuhan atau kesolehan/kasih Tuhan, tetapi semata-mata kerana hukum tabii menentukan sedemikian.

Misalnya, orang tua lazimnya mengalami kelemahan fizikal disebabkan usianya. Ia berlaku secara lumrah atau tabii kepada sesiapa sahaja yang mencapai usia tua, tanpa kira sama ada dia orang soleh atau pemaksiat.

Demikianlah juga dengan pelbagai bencana alam yang berlaku di serata dunia yang sering kali dikaitkan pada dosa dan azab sahaja.

Perspektif yang melihat bala hanya dari sudut dosa dan hukuman Tuhan bermasalah kerana:

  • Ia tidak menggambarkan sepenuhnya ajaran Islam dalam soal ini sebagaimana dihujahkan di atas.
  • Ia petanda salah faham dalam hal ini, iaitu bala hanya dikaitkan dengan negatif.
  • Ia boleh menyebabkan salah faham terhadap Islam sebagai satu agama yang negatif dan tidak rasional.
  • Ia melahirkan pola pemikiran yang cetek yang menatijahkan penilaian dan huraian yang cetek juga bagi masalah yang dihadapi, seperti apabila ditimpa musibah dan masalah, bertaubatlah sebanyak-banyaknya sahaja.
  • Ia membiasakan seseorang dengan pemikiran negatif kerana segala musibah hanya dilihat dari sudut negatif.
  • Sering kali ia menggalakkan pemikiran bersifat menghukum kerana akan timbul pula soalan “apakah dosa yang perlu dihapuskan untuk lepas dari bencana ini?” dan “siapa pelakunya pula?”.

Padahal Muslim seharusnya mempunyai:

  • pola pemikiran yang komprehensif kerana Al-Quran memerintahkan agar menerima dan mengamalkan Islam sepenuhnya, bukan sabahagian sahaja (ayat 85 dan 208 Surah Al-Baqarah);
  • seimbang dalam membuat penilaian kerana Islam adalah agama yang seimbang dan sederhana (ayat 143 Surah Al-Baqarah); dan
  • berminda positif dan optimis (ayat 87 Surah Yusuf)

Pemikiran menghukum pula bermasalah kerana sebenarnya tiada manusia yang tahu akan sebab sebenar Allah Taala mentakdirkan bala, sama ada kerana murka, kasih atau hukum tabii.

Dalam banyak hal, menetapkan bahawa masalah umum tertentu berlaku kerana dosa individu atau organisasi tertentu hanyalah satu spekulasi dan andaian.

Benar, dosa harus dijadikan bahan muhasabah diri. Namun, menyabitkannya secara khusus pada individu atau organisasi tertentu tanpa bukti yang pasti adalah tercela.

Artikel ini bertujuan mendorong kita berfikir: jika kita ingin menganalisis sesuatu musibah, lakukanlah dengan saksama dan menyeluruh (bukan hanya lihat sudut negatif sahaja).

Oleh kerana di sebalik musibah itu ada hukum tabii (sebab dan musabab), carilah huraian pada musibah yang hendak diatasi.

Langkah ini melibatkan huraian terhadap penyebab musibah ini dan langkah-langkah memenuhi hukum tabii yang menatijahkan alternatif yang positif pula.

Huraian bagi musibah tidak boleh didapati daripada sains sahaja dan menolak huraian kerohanian.

Namun, memberi huraian kerohanian apabila menghadapi musibah tanpa huraian sains juga tidak tepat di sisi Islam.

Pola berfikir yang saksama diharapkan akan menyuburkan pula sikap dan tingkah laku yang konstruktif dan positif di pihak individu dan masyarakat apabila berhadapan dengan masalah dan cabaran.

Nota: Penulis Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Makalah ini pandangan peribadinya.

Trackbacks

  1. […] Malay and published by Berita Harian (Singapore) on 12 Oct. 2012. For Malay version, please go to http://haniff.sg/artikel-pendek/artikel-berfikiran-luas-hadapi-musibah-berita-harian-singapura-12-ok… . I would like to thank sister Liedja for her help in editing this English […]

  2. […] translated from the original article in Malay published in Berita Harian on 12 October 2012. Click here to read the Malay version. The translation was made possible with the help of sister […]