ISIS Dan Simbol-simbol Agama Yang Mengelirukan

dabiq cover(Versi bahasa Inggeris bagi artikel ini boleh di baca di sini.)

Muhammad Haniff Hassan & Mustazah Bahari (c) 2014

Salah satu cara ISIS memberi keabsahan pada perjuangannya dan menarik anak-anak muda untuk menyokong mereka ialah dengan mengguna simbol-simbol yang berkait dengan agama.

Sebahagian dari simbol yang digunapakai berdasarkan sumber-sumber yang palsu yang boleh dikategorikan sebagai mitos. Contoh dalam hal ini ialah panji hitam sebagai lambang kumpulan ini.

Perkara ini telah kami bincangkan dalam artikel kami bertajuk Tiada dalil sahih sokong hadis panji-panji hitam (Berita Harian, Singapura, 31 Ogos 2014) (klik di sini).

Namun, ada pula simbol yang bersumber dari hadis yang sahih, tapi ketepatan penggunaannya dapat dipertikaikan.

Dua simbol yang dijatuh dalam kategori ini yang digunapakai oleh ISIS iaitu Dabiq dan A`maq.

Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan bahawa penggunaan kededua simbol tidak sama sekali memberi keabsahan kepada ISIS sebagai satu gerakan yang perlu disokong.

Dabiq & A`maq

Dalam konteks ISIS, Dabiq merujuk pada nama majalah rasminya berbahasa Inggeris. Ia wujud dalam talian. Ia mengandungi bahan yang menerangkan ideologi ISIS, analisanya tentang isu-isu semasa dan berita-berita mengenai aktivitinya.

A`maq pula adalah nama cabang media berita ISIS yang melaporkan berita-berita dan propaganda ISIS dalam bentuk teks atau video melalui wadah internet dan media-media sosial.

ISIS menggunakan kededua nama ini kerana memanfaatkan satu hadis sahih yang diriwayatkan oleh imam Muslim, Ahmad dan Al-Hakim yang memberitakan tentang perang besar antara tentera Muslim dan Rum yang akan berlaku di akhir zaman kelak.

amaq logoHadis berkenaan ialah,

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tentera Rum tiba di A`maq atau Dabiq. Lalu, satu tentera dari Madinah di kalangan ahli bumi yang terbaik ketika itu datang kepada mereka. Apabila tentera itu berbaris, pihak Rum pun berkata, “Biarkan kami berperang dengan golongan yang kamu tawan.” Orang-orang Muslim menjawab, “Tidak, demi Allah, kami tidak akan biarkan kamu dengan teman-teman kami.” Mereka kemudian saling berperang hingga tewas sepertiga dari mereka yang mana Allah tidak menerima taubat dari mereka selama-lamanya. Sepertiga lagi pula dibunuh dan mereka merupakan sebaik-baik syahid di sisi Allah. Sepertiga lagi pula menakluki kawasan-kawasan yang mereka tidak akan ditimpa fitnah lagi selama-lamanya. Selepas itu, mereka akan menguasai Kostantinopel [Istanbul hari ini]. Ketika mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang dengan menggantungkan pedang-pedang mereka di pohon zaitun, syaitan secara tiba-tiba berteriak di antara mereka dengan memberi isyarat bahawa Dajjal sedang berada di rumah mereka bersama ahli keluarga mereka. Mereka lalu keluar dan sebenarnya itu adalah batil. Apabila mereka mendatangi Syam, dia (Dajjal) pun keluar darinya. Ketika mereka semua bersiap sedia untuk peperangan dan meluruskan barisan masing-masing, waktu solat pun tiba, nabi Isa bin Maryam a.s. pun turun dan menjadi imam mereka. Apabila musuh Allah (Dajjal) nampak Isa, dia lenyap seperti garam lenyap dalam air. Jika dibiarkan sahaja dia (Dajjal), nescaya dia tetap akan binasa. Tapi Allah membunuhnya dengan tangannya [Isa] lalu ditunjukkan kepada mereka darahnya secara jelas.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Al-Hakim)

Asal makna dabiq ialah bahan yang melekit atau hidup yang tidak bercukupan. Manakala,  a`maq pula ialah satu lobang yang dalam atau tempat yang rendah.

Namun, ramai para ulama apabila menghuraikan hadis ini tidak memahami kededuanya pada erti bahasa.

Mereka memahaminya, sebagaimana dinyatakan oleh Al-Nawawi dalam kitab syarah Sahih Muslim, sebagai nama khas bagi satu daerah di Syria. Hari ini ia terletak di bahagian utara negara itu, dalam daerah Aleppo dan 10 kilometer dari perbatasan Syria-Turki.

Tentera Rum juga bukan difahami sebagai tentera yang sebenarnya dari Rum tapi sebagai tentera berasal dari tanah Eropah yang beragama Kristian kerana Rum di zaman nabi mewakili kelompok Kristian Eropah.

Ini juga adalah naratif ISIS yang boleh dilihat dalam pelbagai video-video yang dihasilkannya.

Video-video ini mencabar kepada negara-negara Barat di bawah pimpinan Amerika Syarikat supaya datang ke Dabiq (Syria) untuk berperang secara semuka dengan para pejuang ISIS.

Dengan ini, ISIS cuba mengemukakan naratif seolah-olah:

  • kehadiran tentera Barat pimpinan Amerika adalah tentera Rum yang disebutkan dalam hadis itu
  • penglibatan tentera Barat ini di Iraq dan kini berkembang ke Syria akan menjurus pada perang di Dabiq sebagaimana telahan dalam hadis di atas
  • ISIS adalah pemangkin bagi tentera Muslim yang akan menewaskan tentera “Rum”.

Ertinya, ISIS adalah kumpulan yang benar sebagaimana telahan hadis di atas.

Maka umat Islam wajib menyokong mereka dan terjun ke medan jihad bersama mereka.

Sanggahan terhadap ISIS

Oleh kerana hadis ini bertaraf sahih, isinya tidak boleh ditolak begitu sahaja sebagaimana hadis-hadis berkaitan panji hitam.

Namun penggunaan simbol Dabiq dan A`maq dan naratif yang cuba disampaikan melaluinya oleh ISIS boleh dicabar melalui hujah-hujah berikut.

Pertama, naratif ISIS bahawa apa yang berlaku sekarang ini merujuk kepada peristiwa akhir zaman sebagaimana telahan Nabi s.a.w dalam hadis di atas dan hadis-hadis lain tentang Syria dan bahawa mereka mewakili pihak yang benar hanyalah satu tafsiran semata-mata.

Tiada satu dalil qat’ii (definitif) yang dapat dijadikan sandaran bahawa peristiwa yang berlaku sekarang ini mempunyai kaitan dengan hadis di atas dan juga merujuk kepada ISIS sebagai pihak yang benar.

Oleh itu, golongan muda Muslim tidak seharusnya gopoh untuk terus menerima naratif ISIS sebagai satu kebenaran dan tidak perlu  juga takut untuk mempersoal secara kritikal. Menolaknya pula tidaklah jatuh dalam menolak hadis yang sahih kerana yang ditolak bukan isi hadis itu tapi aplikasinya pada konteks hari ini.

Kedua, terdapat banyak hadis-hadis sahih tentang akhir zaman juga yang memberitakan kemunculan golongan yang jahat dan sesat dari timur Semenanjung Tanah Arab dan Irak.

Antara hadis-hadis ini ialah:

Nafi’ berkata, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berdiri di pintu Hafsah lalu bersabda sambil menunjukkan ke arah timur, “Fitnah akan muncul dari sana di mana timbulnya tanduk syaitan.” Baginda mengulangi dua atau tiga kali. (Riwayat Muslim)

Yusair bin Amr berkata, “Saya berkata kepada Sahal bin Hunaif, adakah anda pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda sesuatu mengenai khawarij?” Dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda sambil menunjukkan tangannya ke arah Irak, “Akan keluar dari sana, kaum yang membaca Al-Quran tetapi hanya melepasi kerongkong sahaja. Mereka keluar dari Islam dengan pantas seperti anak panah keluar dari busurnya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Salim bin Abdullah bin Umar katanya, “Wahai Ahli Iraq, alangkah pelik kamu bertanya tentang hal-hal remeh tetapi kamu berani melakukan perkara yang besar (pembunuhan Husein)! Aku telah mendengar bapaku, Abdullah bin Umar, berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya fitnah datang dari arah ini, sambil menggerakkan tangannya ke arah timur, di sana timbulnya tanduk syaitan sedangkan kamu nanti akan saling memukul belakang sesama kamu…” (Riwayat Muslim)

Ibn Umar meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Ya Allah berkatilah bagi kami Syam kami. Ya Allah berkatilah bagi kami Yaman kami.” Mereka berkata, “Wahai Rasulullah, dan juga bagi Najd kami?” Nabi s.a.w bersabda, “Ya Allah berkatilah bagi kami Syam kami. Ya Allah berkatilah kami Yaman kami.” Mereka berkata lagi, “Wahai Rasulullah, dan juga bagi Najd kami?” Aku (Ibn Umar) menyangka Baginda bersabda pada kali ketiga, “Di sana berlakunya gempa bumi dan fitnah yang banyak serta munculnya tanduk syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Ya Allah berkatilah bagi kami Syam kami, ya Allah berkatilah bagi kami Yaman kami, diulangi berkali-kali sehingga kali ke tiga atau keempat, sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, dan bagi Iraq kami?” sabda Baginda, “Sesungguhnya padanya akan berlaku gempa dan fitnah yang banyak, dan padanya muncul tanduk syaitan.” (Riwayat Al-Tabarani, hadis no. 13422, dengan sanad yang bagus).

Hadis tentang fitnah muncul di Irak juga diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam kitabnya Al-Awsat dan oleh Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir yang meriwayatkan dengan sanad yang sahih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim.

Terdapat juga hadis yang menyebut kawasan timur tempat timbulnya tanduk syaitan dan fitnah dalam umat Islam sebagai Najd, yang mana hari ini merupakan satu daerah dalam negara Arab Saudi.

Namun ulama hadis silam tidak melihat hadis yang merujuk pada Najd dan Irak sebagai satu percanggahan kerana kededuanya memang berada di timur tanah Arab dan di zaman dahulu Najd tidak bermaksud kawasan khusus di negara Arab Saudi hari ini tetapi ia merujuk pada daerah yang meliputi pedalaman Irak juga.

Pendapat ini boleh dirujuk dalam I`alam Al-Sunan oleh Al-Khattabi, Umdat Al-Qari’ oleh Al-`Aini, Fath Al-Bari’ oleh Ibn Hajr, Syarh Sahih Muslim oleh Al-Karmani, Majmu’ Fatawa oleh Ibn Taimiyah dan pendapat Al-Qastalani.

Di zaman silam, hadis-hadis ini pernah dikaitkan dengan golongan Khawarij, Qaramitah, Mongol dan pelbagai insiden fitnah yang timbul dari daerah Irak yang kesemuanya menyebabkan tragedi besar ke atas umat Islam.

Namun, ini tidak bermakna bahawa makna hadis ini telah terhenti dan tidak berlaku lagi. Maka dalam hal ini, tidak mustahil kalau ia juga merujuk kepada ISIS yang memang secara faktanya muncul di Irak dan tingkah lakunya pula telah difatwakan menyeleweng dari agama oleh ratusan ulama di merata dunia dengan hujah-hujah yang terperinci (lihat sebagai contoh sahaja www.lettertobaghdadi.com ).

Di sini, ISIS perlu menjawab dan menjelaskan mengapakah hadis-hadis berkaitan kemunculan fitnah dan gerakan yang diibaratkan seperti tanduk syaitan tidak merujuk kepada mereka pada hari ini dan tidak hanya secara memilih mengguna hadis-hadis tertentu sahaja untuk menarik sokongan ramai.

Kesimpulan

Umat Islam perlu memahamai bahawa simbol dan naratif yang samar tidak boleh mengabsahkan fahaman dan tingkah laku yang jelas bertentangan dengan syariah seperti melakukan pengganasan dan penindasan agama secara berleluasa.

Apatah lagi jika kesalahan berkenaan telah dipersetujui oleh ramai ulama semasa.

Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil dan ustaz Mustazah Bahari adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.