Teks khutbah Jumaat di bawah ini adalah teks rasmi keluaran MUIS yang disampaikan pada 3 Mei 2002 dengan tajuk Keutamaan Masjidil Aqsa
Dikongsi semula bagi manfaat ramai.
Klik di sini bagi versi Inggeris.
Sidang Jumaat Yang Dimuliakan
Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam. Ini dapat dilihat dari fakta-fakta berikut.
Pertama, ia adalah kiblat pertama umat Islam sebelum Allah menggantikannya dengan Ka’bah di Mekah.
Kedua, ia adalah tempat berakhirnya Isra’ Rasulullah s.a.w dan bermulanya Mi ’rak beliau ke langit. Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Maha suci Allah yang menjalankan hambanya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati sekitarannya untuk kami tunjukkan tanda-tanda kami.” (Al-Isra’ : 1)
Ketiga, dalam ayat di atas Allah telah mensifatkan Masjid Al-Aqsa sebagai sebuah kawasan yang diberkati.
Keempat, ia adalah salah sebuah masjid yang disunatkan ke atas umat Islam untuk bersungguh-sungguh untuk mengunjunginya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
“Tidak perlu disiapkan kenderaan kecuali buat mengunjungi tiga buah masjid, Masjid Al-Haram, masjidku dan Masjid Al-Aqsa.” (Riwayat Al-Bukahri, Muslim dan Abu Daud)
Keempat, pahala beribadah di Masjid Al-Aqsa berlipat kali ganda banyaknya dari masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabi di Madinah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Satu solat di Masjid Al-Haram sama seperti seratus ribu solat dan satu solat di masjidku sama seperti seribu solat dan satu solat di Baitul Maqdis sama seperti lima ratus solat.” (Riwayat At-Tabarani)
Kelima, Masjid Al-Aqsa terletak di Baitul Maqdis yang merupakan symbol kesolehan dan perjuangan umat Islam di akhir zaman. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Akan sentiasa ada se golongan dari umat ku yang berjuang atas kebenaran, mengalahkan musuh-musuh mereka. Mereka tidak akan dimudaratkan oleh sesiapa yang menentang mereka dan apa yang menimpa mereka dari kesengsaraan sehingga datang urusan Allah taala. Para sahabat bertanya “Di manakah mereka wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Mereka di Baitul Maqdis dan sekitaran Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad)
Keenam, Masjid Al-Aqsa adalah tanah haram ke tiga bagi umat Islam setelah tanah haram di Mekah dan Madinah. Berdasarkan pada fakta-fakta di atas dapat disimpulkan bahawa setiap umat Islam mempunyai kaitan dengan Masjid Al-Aqsa. Umat Islam juga memikul amanah untuk memelihara dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa dari segala bentuk pencabulan, kezaliman dan kekejaman.
Apa jua yang berlaku ke atas Masjid Al-Aqsa, setiap umat Islam akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.
Sidang Jumaat Sekalian
Sebagaimana Masjid Al-Aqsa wajib dipertahankan oleh umat Islam sebagai salah satu tanah suci mereka, maka begitulah juga tanah negara Palestin. Umat Islam di seluruh dunia memikul tanggungjawab memperjuangkan tanah negara Palestin kerana ia adalah sebahagian dari tanah negara umat Islam yang telah dikuasai di zaman saidina Umar r.a.
Para ulama telah sepakat mengatakan bahawa wajib ke atas setiap umat Islam mempertahankan setiap inci tanah kepunyaan mereka dari diceroboh dan dirampas oleh musuh. Adalah haram membiarkan tanah umat Islam dirampas dan dijajah.
Walau pun kehilangan tanah umat Islam di Palestin tidak memberi kesan pada umat Islam di tempat lain tetapi ia bukan alasan untuk mereka tidak memikul tanggungjawab untuk mengembalikan tanah berkenaan pada yang berhak, kerana Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Orang-orang mukmin lelaki dan perempuan sebahagian dari mereka adalah penyokong bagi sebahagian yang lain, mereka menyuruh yang makruf, mencegah yang munkar, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mentaati Allah dan mentaati RasulNya, Allah akan mengurniakan rahmat ke atas mereka, sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Bijaksana.” (At-Taubah :71)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Perumpamaan hubungan orang-orang mukmin dalam cinta dan kasih sesama mereka ialah seperti satu tubuh. Jika satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasakan sakit dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
“Seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain seperti satu bangunan. Setiap satu menyokong yang lain.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Oleh itu, isu Masjid Al-Aqsa dan Palestin bukanlah isu bagi rakyat Palestin semata-mata atau isu bagi bangsa Arab sahaja tetapi ia adalah isu bagi umat Islam keseluruhannya.
Sidang Jumaat Sekalian
Pada batas-batas keupayaan masing-masing, umat Islam di seluruh dunia berkewajiban untuk memainkan peranan dan menyumbang bagi satu penyelesaian terhadap isu Masjid Al-Aqsa dan Palestin sejajar dengan tuntutan agama mereka dan undang-undang yang ada.
Bagi umat Islam yang berada jauh dari Masjid Al-Aqsa dan Palestin, mereka boleh memainkan peranan berikut
Pertama, menanam rasa sensitif terhadap perkembangan yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa dan Palestin.
Kedua, mengambil tahu dan mengikuti berita-berita berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa dan Palestin. Ketiga, memahami sejarah Masjid Al-Aqsa dan Palestin bagi memahami reality hari ini.
Keempat, mendidik anak-anak dan ahli keluarga agar mencintai Masjid Al-Aqsa dan mengetahui sejarahnya dan sejarah bumi Palestin.
Kelima, menyebarkan maklumat sebenar mengenai Masjid Al-Aqsa dan Palestin kepada masyarakat dan mengajak masyarakat agar turut sensitif terhadap isu ini dan mengikuti perkembangannya.
Keenam, berdoa kepada Allah taala dalam setiap solat agar Masjid Al-Aqsa kembali ke tangan umat Islam, bumi Palestin dibebaskan dari belenggu penjajahan dan rakyat Palestin mengecapi kembali hak-hak asasi mereka.
Ketujuh, memberi sumbangan kewangan bagi membantu rakyat Palestin dan pembebasan Masjid Al-Aqsa melalui dana-dana yang dikendalikan oleh pelbagai agensi bantuan kemanusian dan mengikut undang-undang yang ada.
Kelapan, melibatkan diri dalam kerja-kerja bantuan kemanusian bagi membantu rakyat Palestin dan aktiviti yang berkaitan dengan Masjid Al-Aqsa.
Kesembilan, melakukan apa jua sebagai sebahagian dari jihad di jalan Allah taala bagi tujuan Masjid Al-Aqsa dan Palestin, mengikut kemampuan dan berdasarkan lunas-lunas undang-undang.
Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau berat, dan berjihadlah dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (At-Taubah : 41)
Kita berdoa kepada Allah agar segala usaha yang dilakukan umat Islam untuk mengembalikan kedaulatan rakyat Palestin mendapat pertolongan dari Allah, dikembalikan keamanan dan kesejahteraan, ditamatkan segala bentuk kezaliman di mana sahaja di bumi Allah ini, khususnya di bumi Palestin. Amin ya Rabbal ‘alamin.