Pesanan Dari Al-Quran #15 – Ujian Pada Nikmat dan Kesenangan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 1 Januari 2021, di sini. 

“Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab siksa yang menghina (di akhirat kelak).” (Al Imran: 178)

“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.” (Al Imran: 179)

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya, menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan dia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (disiksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Al Imran: 180)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini memberitahu bahawa kadangkala beroleh nikmat/tiada kesusahan bukan semestinya bagus. Ia mungkin bala yang terselindung (istidraj) (Al Imran: 178).

  2. Nikmat dan kesenangan juga satu ujian (Al Imran: 179) untuk tujuan,

    a) membezakan kualiti Muslim
    b) adil pada ganjaran dapat dipenuhi berdasarkan prinsip ganjaran berdasarkan kelakonan (performance based reward/meritocracy).

  3. Antara ujian Tuhan ke atas manusia ialah harta dan nyawa (Al Imran: 180).

    Oleh itu, kededuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah taala dan wajib digunakan sesuai dengan kehendakNya.

  4. Dalam ayat (Al Imran: 180) terkandung pengertian bakhil, iaitu

    a) mereka yang tidak membayar zakat
    b) mereka yang menyembunyikan ilmu kepada mereka yang memerlukannya
    c) tidak mahu bersedekah di jalan Allah taala, bila diperlukan.

  5. Mereka yang bakhil menyangka bahawa mereka menjimatkan harta, tapi hakikatnya ia satu kerugian (Al Imran: 180) kerana ia menghilangkan keberkatan pada harta.

    Allah taala akan ambil balik nikmat yang diberi itu dengan cara yang tidak disedari dan nikmat itu berubah menjadi bala kerana menatijahkan dosa dan mengurangkan simpanan di Akhirat.