Pesanan Dari Al-Quran #53 – Ilmu Sebagai Piawai Penting Dalam Pendidikan Anak (22 Julai 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 22 Julai 2022, di sini.

“Lalu Kami berikan kepadanya (Ibrahim) berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyantun.” (Al-Saffat: 101)

“(Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim). Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.” (Al-Zariyat: 28)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.…..” (Yusuf: 108)

Pelajaran

  1. Malaikat bukan hanya membawa berita kepada Nabi Ibrahim a.s bahawa dia akan dikurniakan anak tetapi menyifatkan anak itu sebagai, anak yang “penyantun” atau berakhlak baik dan “berpengetahuan” atau berilmu.

  2. Telah diketahui umum bahawa seorang bayi tidak dilahirkan terus berakhlak baik dan berilmu. Perkara ini disebutkan juga di dalam Al-Quran. Maka apa yang dimaksudkan dari frasa itu ialah bayi yang bakal lahir itu akan menjadi seorang yang penyantun dan berilmu apabila dia dewasa nanti.

  3. Ramalan ini bukan hanya janji Allah taala kepada Nabi Ibrahim tetapi perlu difahami juga sebagai perintahNya untuk menjadikan bayi itu sebagai insan yang berakhlak baik dan berilmu, sebagai imbalan bagi nikmat yang dikurniakan.

    Dengan fahaman sebegini, ayat ini juga memberi pelajaran kepada Muslim yang lain bahawa pada kurniaan nikmat anak dari Allah taala ada visi/piawai/tugas/amanah yang perlu dipenuhi, iaitu mendidik anak itu menjadi insan yang berakhlak baik dan berilmu.

    Ertinya juga, janganlah seorang Muslim itu hanya mahu atau tahu beranak, tetapi haruslah juga tahu dan mahu memenuhi tanggungjawab mendidik anak itu menjadi seorang yang berakhlak baik dan berilmu.

  4. Namun, kenapa Allah taala tidak meletakkan sifat anak itu dengan sifat soleh atau bertakwa? Tidakkah soleh dan bertakwa itu seharusnya berakhlak dan takwa pula lebih penting dari berilmu?

  5. Hal ini ialah untuk menegaskan kepentingan berakhlak baik dan berilmu untuk jadi insan yang soleh.

  6. Kesolehan dalam Islam mestilah mencakupi akhlak mulia dan berilmu atau diasaskan pada ilmu kerana seseorang boleh juga soleh, tapi atas dasar ikut-ikutan, semangat atau emosi.

  7. Maka jadilah seorang Muslim yang soleh atas dasar ilmu dan didiklah anak-anak untuk menjadi soleh atas dasar ilmu.

  8. Perkara ini dapat disokong oleh Yusuf:108 yang memberi pelajaran bahawa Islam haruslah didakwahkan dan diamalkan atas dasar ilmu yang jelas.

  9. Jadilah juga insan yang berakhlak mulia disamping berilmu kerana tidak sedikit manusia yang bijak dan cerdik tetapi berkelakuan sumbang dan keji.