Pesanan Dari Al-Quran #54 – Kepentingan Menggandingkan Sifat “Rahmah” dan “Rusyd” Dengan Sifat Berilmu (5 Ogos 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Ogos 2022, di sini.

“Lalu mereka [Musa dan pembantunya] dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya ‘rahmah’ dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.” (Al-Kahf: 65)

“Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ‘rusyd’ (ilmu yang menjadi petunjuk bagiku)?” (Al-Kahf: 66)

Pelajaran

  1. Dua ayat di atas adalah antara sebahagian dari ayat-ayat Al-Quran yang membicarakan tentang pertemuan Nabi Musa a.s. dan seorang hamba Allah yang dikenali umum sebagai Khidir.

    Pertemuan ini berlaku kerana Allah taala memerintahkan Nabi Musa a.s. bertemu dan belajar dari Khidir.

    Bagi mengetahui kisah ini sepenuhnya dan pelajaran-pelajaran berguna darinya, sila rujuk kitab-kitab tafsir bagi surah Al-Kahf.

  2. Al-Quran mensifatkan Khidir, melalui kata-kata Allah taala, sebagai seorang yang dikurniakan “rahmah” dan ilmu (Al-Kahf: 65) dan, melalui kata-kata Nabi Musa a.s pula, sifat “rusyd” (Al-Kahf: 66).

  3. “Rahmah” boleh dimaksudkan dengan rahmat atau sifat yang melahirkan perasaan dan tingkah laku yang pengasih dan penyayang kerana demikianlah juga makna yang terdapat pada sifat Allah taala “Al-Rahman” dan “Al-Rahim” yang datang dari kata dasar yang sama.

  4. “Rusyd” yang diguna dalam Al-Quran pula sering kali dikaitkan dengan makna sikap yang melahirkan pemikiran dan tingkah laku yang bijaksana hasil dari kematangan seseorang.

    Ia dicapai melalui, a) pengalaman menekuni sesuatu bidang, atau b) pengalaman melalui usia yang lebih lama.

    Yang pertama boleh dicapai oleh oleh anak muda jika dia lebih banyak mendalami dan menekuni bidang itu, sehinggakan pendapatnya lebih bijaksana dan matang berbanding seorang yang lebih tua darinya.

    Yang kedua pula ialah hakikat kehidupan, iaitu lebih berusia seseorang itu, lebih banyak pengalaman dia. Maka ilmunya selalu diiringi dengan kebijaksanaan dan kematangan berbanding yang lebih mudah.

  5. Perhatikan! Al-Quran menyebut “rahmah” dahulu sebelum ilmu. Hal ini pasti mempunyai pelajaran yang antaranya ialah untuk menarik perhatian Muslim akan kepentingan sifat “rahmah” hingga ia didahulukan dari sifat berilmu dan ini sama seperti Allah taala yang menamakannya diriNya “Al-Rahman” dan “Al-Rahim” dalam ayat pertama Al-Quran (Al-Fatihah: 1) sebelum sifat “Al-`Alim”.

  6. Ia juga memberitahu akan kepentingan mengandingkan ilmu dengan sifat “rahmah” kerana ilmu tanpa rahmah akan lahirkan “insan yang kering”;
    – pandai, tapi tiada kasih sayang pada yang lain
    – hanya tahu amalkan ilmu, tanpa pertimbangan belas kasihan.

  7. Selain dari gandingan antara “rahmah” dan ilmu, Al-Quran juga menganjurkan gandingan sifat “rusyd” (kebijaksanaan dan kematangan) kerana kededua sifat “rahmah” dan berilmu perlu pula dibimbing dengan kebijaksanaan dan kematangan.

    Tanpa kematangan dan bijaksana, ilmu yang hendak diamalkan, walaupun atas niat dan tujuan yang betul, boleh menatijahkan lebih mudarat dari manfaat.

    Betapa ramai insan berilmu dan ingan menegakkan kebenaran dari ilmunya tetapi hanya menyebabkan kezaliman dan kemudaratan pada orang ramai kerana hanya ikut emosi disebabkan tiada kematangan atau kurang bijaksana hingga tidak mampu mengambil kira keutamaan dan memahami konteks yang ada.

  8. Demikianlah juga dakwah. Ia bukan hanya perlu ilmu, tapi juga perlu “rahmah” dan “rusyd”. Tanpa gandingan ketiga-tiga perkara ini, dakwah akan menjadi “kering” (tiada kasih sayang) dan kadangkala memudaratkan pula.