Pesanan Dari Al-Quran #55 – Mengetahui Kebenaran Sahaja Tidak Memadai Untuk Menerima dan Mengamalkannya (19 Ogos 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Ogos 2022, di sini.

“Aku [Allah] akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat (Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mau menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah karena mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya.” (Al-A`raf: 146)

Pelajaran

  1. Ayat di atas mengandungi pesanan bagi mereka yang berusaha untuk mencari kebenaran dalam hidup, iaitu elemen-elemen penting yang perlu ada bagi individu yang mencari kebenaran.

  2. Mungkin kita pernah bertemu dengan seseorang yang mendalami kajian tentang Tuhan / agama / kebenaran, tapi tidak pula mahu beriman / beramal dengannya. Bahkan kadangkala dia bersikap sangat anti Tuhan / agama / kebenaran. Mengapakan sedemikian itu?

  3. Ayat di atas memberitahu bahawa mencari kebenaran bukan hanya satu aktiviti intelektual yang dapat dicapai melalui ilmu; data, fakta dan hujah yang dikaji dan dirumus secara bermetodologi. Ia bukan dicapai hanya dengan memenuhi aspek kognitif.

  4. Ayat di atas memberitahu bahawa mencari kebenaran memerlukan juga niat yang betul, iaitu mencari Tuhan / kebenaran bukan hanya hendak tahu, tapi hendak terima dan amal.

    Hal ini kerana kebenaran, di sisi Islam, bukan hanya untuk diketahui, tapi untuk dijadikan panduan dan ditegakkan dalam kehidupan diri dan masyarakat.

    Mengetahui kebenaran sahaja tidak memadai bagi mencapai keredaan Tuhan dan kehidupan yang bahagian di syurgaNya di Akhirat nanti. Bahkan orang yang tahu kebenaran tapi tidak mengamalkannya diperingkat peribadi atau berusaha untuk mendakwahkannya kepada yang lain adalah tercela dan diancam dengan azab yang pedih.

    Beramal dengan kebenaran yang diketahui memerlukan tindakan, tapi tindakan bermula dengan niat yang betul dahulu, iaitu niat untuk mengamalkannya.

    Seorang yang belajar sesuatu tanpa niat untuk mengamalkannya, perbuatan dan ilmu yang didapatinya itu akan menjadi seperti satu hobi atau rekreasi masa lapang, bukan untuk menjadi cara hidup.

  5. Satu lagi syarat elemen penting dalam mencari kebenaran ialah sikap yang betul.

    Ayat di atas memberitahu salah sebab kenapa manusia menolak kebenaran ialah kerana sikpa sombong.

    Dengan erti kata lain, mencari kebenaran memerlukan sikap rendah diri.

    Rendah diri ialah tunduk dan menerima Tuhan / kebenaran, apabila seseorang itu telah kenal dan mengetahuinya melalui ilmu yang dipelajari.

  6. Kesombongan ialah bila mencari kebenaran kerana kepentingan peribadi. Kesombongan menghijab kebenaran, walau orang itu bijak dan pintar untuk memahami pelbagai konsep, teori dan falsafah yang rumit.

  7. Seseorang yang mencari Tuhan / kebenaran bukan kerana niat i.e. untuk sekeping ijazah atau karier dan sikap betul i.e. sombong, tidak akan jumpa kebenaran atau tidak akan capai kejayaan sebenar.

  8. Jika ada seseorang mencari-cari Tuhan / kebenaran tapi masih tidak jumpa, jangan hanya periksa atau persoal perkara yang di pelajari. Ia perlu memeriksa juga niat dan sikapnya dalam usahanya itu.

  9. Iblis menolak kebenaran bukan kerana dia tidak kenal Tuhan / kebenaran, atau tidak melihat tanda kebesaran Tuhan dan bukti-bukti kebenaran, tapi kerana dia sombong.

    Kesombongannya menyebabkan ia tidak mahu tunduk pada perintah Tuhan, walaupun ia tahu bahkan melihat kebenaran dan segala bukti dan tandanya.