Pesanan Dari Al-Quran #56 – Jangan Lupa Bakti Kepada Ibu Bapa Kerana Sibuk Dalam Dakwah dan Kerja Masyarakat (2 September 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 September 2022, di sini.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Isra’: 23)

Dan dia (Yahya) taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.” (Maryam: 14)

Serta (diperintahkan aku [Isa]) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Maryam: 32)

“(Sulaiman) Tersenyum mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.” (Al-Naml: 19)

Pelajaran

  1. Al-Isra’: 23 adalah dalil bahawa berbakti kepada ibu bapa adalah anjuran agama Islam ke atas semua Muslim.

    Ayat ini juga menunjukkan akan kemuliaan dan kepentingan kewajipan ini dengan menyebutnya sejurus setelah menyebut tentang kewajipan manusia beriman dan menyembah Allah taala. Hal yang sama dapat dilihat dalam ayat Luqman: 13-4.

  2. Bagi menguatkan lagi kepentingan berbakti kepada ibu bapa dalam Islam, Allah taala menyebutkannya sebagai sifat mulia para anbiya’, iaitu Nabi Yahya a.s. (Maryam: 14), Nabi Isa a.s (Maryam: 32) dan Nabi Sulaiman a.s (Al-Naml: 19).

    Nabi Sulaiman a.s. digambarkan sebagai anak yang tidak lupa akan ibu bapanya ketika mendapat nikmat dan ketika berdoa kepada Allah taala (Al-Naml: 19).

  3. Sedia maklum bahawa semua para anbiya’ memikul tangungjawab berat untuk berdakwah kepada manusia agar beriman kepada Allah taala dan beramal dengan ajaranNya.

    Bahkan Nabi Sulaiman a.s juga adalah seorang raja yang memikul tugas berat mengurus urusan dunia bagi umatnya.

  4. Kesemua ini memberitahu bahawa para anbiya’ adalah insan-insan yang sangat sibuk dengan urusan dakwah (keagamaan), masyarakat dan kenegaraan.

    Namun kesibukan mereka tidak menjadikan mereka lalai atau lupa akan kewajipan kepada ibu bapa mereka sehingga Allah taala mencatatkannya sebagai sebahagian dari sifat-sifat mereka untuk dicontohi.

  5. Hal ini seharusnya menjadikan contoh dan pelajaran bagi para aktivis dakwah dan masyarakat juga – tidak menjadikan kesibukan melakukan kerja kemasyaratan dan dakwah sebagai alasan untuk mengenepikan bakti terhadap ibu bapa masing-masing sebagai contoh tidak menziarahi mereka sekian lama, tidak bertanya khabar dengan menelefon, merasa cukup hanya dengan menggajikan pembantu rumah untuk melayan mereka atau hanya mewakilkan isteri dan anak untuk melakukan kebaktian kepada ibu bapanya dan memadai untuk mengambil tahu hal ehwal ibu bapanya melalui laporan pembantu rumah, isteri atau anak-anak sahaja.

  6. Bahkan sebahagian aktivis dakwah dan masyarakat cuba memberi rasonalisasi bagi sikap mereka itu dengan hujah ia adalah satu pengorbanan yang perlu dibuat atas nama “berjuang di jalan Allah” dan “mengutamakan Allah taala dan Nabi Muhammad s.a.w dari ibu bapa”.

    Rasionalisasi ini adalah satu kesilapan kerana ia tidak sejajar dengan apa yang ditunjukkan oleh Al-Quran tentang para anbiya yang seperti di atas.

    Hal ini dikuatkan lagi oleh hadis Nabi s.a.w yag mencela seorang sahabat yang meninggalkan ibu bapanya dalam keadaan menangis kerana ingin berjihad bersama Nabi s.a.w.

    Nabi s.a.w tidak memuji sahabat ini atas dasar sanggup “berkorban di jalan Allah” dan “mengutamakan Allah taala dan RasulNya”. Sebaliknya, Nabi s.a.w menyuruh sabahat pulang ke kampung halamannya dan  berbanti kepada ibu bapanya hingga mereka tertawa sebagaimana mereka dulu menangis,

  7. Jika kesibukan dalam kerja dakwah tidak seharusnya melupakan seseorang dari bakti kepada ibu bapa, sudah pasti kesibukan dalam karier dan perkara-perkara keduniaan lain seperti hobi dan berkeluarga, lebih tidak wajar dijadikan alasan untuk melupakan bakti kepada ibu bapa.