Petunjuk 15 – Kualiti & Kuantiti Dalam Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah : 249)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Kemenangan bukan milik kelompok yang ramai semata-mata. Jumlah yang sedikit, jangan mematahkan semangat dan jangan dijadikan alasan untuk tidak

berusaha. Kita tidak seharusnya meletakkan pergantungan pada jumlah dan angka kerana pergantungan kita hanya kepada Allah semata-mata.

 

2. Islam menekankan kualiti dalam semua aspek. Kualiti lebih utama dari kuantiti.

 

3. Namun, segala yang di atas, jangan menjadikan kita berpada dengan jumlah tertentu dalam kumpulannya atau berpuashati dengan jumlah yang ada atau memandang remeh terhadap usaha meningkatkan kuantiti dalam kerja dakwah.

 

4. Hal ini adalah kerana Islam juga memberi penekanan kepada aspek kuantiti. Rasulullah s.a.w secara jelas menganjurkan umatnya agar membanyakkan zuriat. Nabi Sulaiman membina kekuatan yang meliputi aspek kuantiti, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga meliputi jin dan binatang-binatang dalam tenteranya. Sirah Rasulullah sendiri menunjukkan bahawa, walau pun kemenangan tidak semesti bersama dengan kumpulan yang ramai, tetapi jumlah tentera yang bersamanya sentiasa meningkat dari satu peperangan ke satu peperangan – Badr : 313 tentera, Uhud 700 tentera dan kemuncaknya Penaklukan Mekah : 10,000 tentera.

 

5. Islam menyuruh kita menyediakan kekuatan. Oleh kerana pada kuantiti itu terdapat kekuatan, maka kuantiti juga dituntut. Peningkatan kuantiti juga merupakan indikasi kepada keberkesanan dakwah kita.

 

6. Aktivis dakwah yang hanya berpada dan selesa dengan jumlah tertentu sahaja sebenarnya seorang yang malas dan tertipu.