Petunjuk 49 – Prinsip Ganjaran Bagi Petugas Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan bagi setiap seorang darjat-darjat mengikut apa yang mereka usahakan dan Allah pasti akan memberi ganjaran atas amal-amal mereka dan mereka tidak akan dizalimi.” (Al-Ahqaf : 19)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Ayat ini memberi pengajaran berikut;

 

a. Allah taala pasti akan memberi ganjaran ke atas amal manusia, samada amal baik atau jahat.

 

b. Ganjaran yang diberi oleh Allah taala adalah mengikut amal yang dilakukan. Amal baik yang besar akan mendapat ganjaran yang besar, begitulah juga amal jahat yang besar. Amal yang kecil pula akan diberi ganjaran kecil yang setimpal.

 

2. Terdapat pelbagai banyak ayat-ayat lain yang mempunyai maksud yang serupa seperti ayat yang memberi ganjaran yang besar kepada mujahidin di banding mereka yang tidak keluar berjihad. Hatta dalam syariat juga terdapat aturan bahawa tentera berkuda mendapat ganjaran yang dua kali ganda dibanding tentera berjalan kaki kerana perbezaan tanggungjawab.

 

3. Dengan ini, Islam meletakkan dasar bagi konsep yang diamalkan secara popular di dunia korporat iaitu ‘performance based remuneration’ – ganjaran berdasarkan kelakonan kerja.

 

4. Konsep di atas menyalahi apa yang dikemukakan oleh pemuka komunis iaitu ‘untuk kamu, sekadar apa yang diperlukan. untuk negara, segala-galanya’.  Komunisme menyamaratakan ganjaran kepada semua tanpa kira usaha setiap seorang. Yang baki dibolot oleh negara dan dinikmati oleh para pemukanya.

 

5. Hari ini, semakin banyak gerakan dakwah yang beroperasi dengan menggajikan tenaga kerja sepenuh masa. Semakin ramai pula aktivis dakwah yang menyumbang tenaga sepenuh masa bagi jamaah yang ia bergabung dengannya. Oleh itu, konsep yang dinyatakan di atas amatlah penting untuk diperhatikan dan difikirkan pelaksanaannya secara sistematik dan adil.

 

6. Dahulu sistem ganjaran kerja menjamin kenaikan gaji tahunan pada kadar yang ditentukan. Sistem ini masih banyak diamalkan oleh pelbagai organisasi dakwah seperti masjid, madrasah dan pertubuhan Islam. Ia memberi keselesaan bagi para pekerja kerana gajinya akan tetap dinaikkan, walau pun kelakonannya tidak seberapa.

 

7. Pada ketika, dunia luar melaksanakan apa yang lebih dekat dengan anjuran Islam. Ramai di kalangan umat Islam sendiri, masih berada ditakuk lama kerana kejahilan. Bahkan ada pula yang membantah apabila perubahan cuba dilaksanakan kerana takut akan periuk nasinya.

 

8. Namun adalah diakui bahawa pelaksanaan terhadap sistem ini secara adil juga bergantung pada sifat amanah para pemimpin institusi Islam selaku majikan bagi para petugas dakwah dalam membuat penilaian kelakonan dan penentuan ganjaran.

 

9. Siapa yang mengambil dari majikannya apa yang bukan haknya, adalah tercela. Begitulah majikan yang mengurangi hak petugas dakwahnya. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah taala sentiasa.