Petunjuk 9 – Mengutamakan Proses Yang Aman Dalam Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan orang-orang beriman.” (Al-Anfal : 61-62)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Dakwah adalah lebih utama untuk dilaksanakan dalam suasana aman. Kaedah dakwah yang aman adalah lebih diutamakan dari kekerasan.

 

2. Namun ini bukan bermaksud bahawa jihad itu tidak perlu atau orang yang berdakwah secara aman lebih utama dari para mujahidin. Yang dimaksudkan ialah jihad ada tempat dan masanya dan dakwah secara aman ada tempat dan masanya. Dalam keadaan yang dakwah secara aman masih luas (abundance) dan memungkinkan, maka ia adalah lebih utama kerana ia lebih sesuai dengan fitrah manusia. Para mujahidin di medan jihad yang tulen tetap lebih mulia kerana firman Allah taala di An-Nisaa’ : 95.

 

3. Hakikat ini disokong oleh peristiwa Perjanjian Hudaibiyah dan kesannya. Sejarah mencatat bahawa jumlah kemasukan Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah lebih ramai dari jumlah keseluruhan yang masuk Islam sebelum perjanjian. Sejarah juga membuktikan bahawa kaedah dakwah secara aman adalah juga berkesan seperti yang berlaku ke atas masyarakat Madinah, rantau Melayu dan banyak bumi yang lain.

 

4. Dakwah juga haruslah sentiasa mengambil kira faktor Allah taala dalam memastikan kejayaannya dan menggarap sokongan orang-orang beriman. Namun Allah taala menyebut kebergantungan kepada Allah taala dahulu sebelum sokongan dari orang-orang beriman. Yang dimaksudkan dengan faktor Allah taala ialah untuk mendapatkan bantuan dan keberkatanNya melalui taqarrub yang berterusan.

 

5. Kebergantungan aktivis dakwah kepada Allah taala menjadikan dia lebih istiqamah bagi memenuhi maslahat yang lebih utama bagi dakwah kerana ia tidak melaksanakan dakwah kerana kewujudan individu tertentu atau kawan-kawannya. Di mana ada maslahat besar untuk dakwah, di situ kita berusaha memainkan peranan, walau pun harus bersendirian kerana cukuplah bagi kita Allah taala sebagai tempat bergantung.