23 – Membina Optimisme Dalam Berdakwah

Khabbab b. Al-Arat r.a berkata “Kami telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Ketika itu beliau sedang berbaring dengan beralaskan selendangnya di bawah bayang-bayang Ka’bah. Kami berkata “Mengapakah tidak tuan mohon bantuan dari Allah untuk kami? Mengapakah tidak tuan mohon doa kepada Allah untuk kami?” Rasulullah s.a.w bersabda “Lelaki [yang beriman] sebelum kamu telah [disiksa dengan] ditanam. Lalu dibawa ke atas kepalanya gergaji sehingga badannya terbelah dua. Namun ia tidak sedikit pun menghalangnya dari agama. Ada pula yang [disiksa dengan] sikat besi sehingga tidak tinggal daging pada tubuhnya kecuali tulang-tulang. Namun ia tidak menghalangnya dari agama. Demi Allah! Dia akan menyempurnakan urusan ini sehingga seorang penunggang kenderaan dapat mengembara dari San`aa ke Hadramaut tanpa takut kepada apa-apa kecuali Allah sahaja atau serigala ke atas gembalaanya. Sesungguhnya kamu terlalu gopoh.” (Riwayat Al-Bukhari)

 

Abdullah b. `Amr r.a berkata Rasulullah s.a.w telah memerintahkan penggalian parit. Maka parit pun digali disekitar Madinah. Para sahabat lalu berkata “Wahai Rasulullah, kami dapati sepotong tanah yang tidak mampu untuk kami gali.” Nabi s.a.w lalu bangkit dan kami pun pergi bersamanya. Apabila beliau tiba ditempat itu, dia mengambil tukul lalu memukul di tanah itu dengan satu pukulan sambil bertakbir. Lalu terdengar satu dentuman yang aku tidak pernah dengar yang seumpamanya sebelum ini. Beliau lalu berkata “Kerajaan Parsi akan ditawan.” Kemudian dia memukul yang lain sambil bertakbir sehingga terdengar dentuman yang aku tidak pernah dengar yang seumpamanya sebelum ini. Beliau lalu berkata “Kerajaan Rom akan ditawan.” (Riwayat At-Tabrani)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini mengajar akan satu aspek dari kepimpinan dan dakwah. Iaitu menanam optimisme dalam diri kita terhadap masa depan yang lebih baik selama mana mereka sabar dengan usaha dakwah yang dilakukan.

 

2. Kita juga boleh membangkitkan semangat kerja dalam diri kita dengan melakukan tasywiq. Iaitu menanan kerinduan terhadap janji-janji Allah taala. Dengan kerinduan itu lahir motivasi dan komitmen terhadap usaha dakwah sehingga kita berharap agar janji itu berlaku melalui usaha kita atau usaha keras kita membolehkan kita melihat janji berkenaan tercapai dalam hayatnya.

 

3. Allah taala telah berjanji kepada Rasulullah s.a.w kemenangan dan Dia telah menunaikannya. Rasulullah s.a.w juga telah menyampaikan janji-janij Allah kepada para sahabatnya dan kita lihat dalam sejarah akan kebenaran janji berkenaan. Hari ini, kesemua janji-janji itu ditujukan kepada kita. Sebagaimana Allah taala tidak mengingkari janjiNya kepada Rasulullah s.a.w, Dia juga tidak akan mengingkari janjiNya kepada kita selama mana kita berusaha menjejaki jejak RasulNya di jalan dakwah ini.

 

4. Kita hendaklah sentiasa membangkitkan harapan dalam diri aktivis dakwah dan masyarakat. Bahawa di sebalik kesusahan akan ada kejayaan dan di sebalik halangan dan cabaran, ada peluang.

 

5. Jika pemimpin gerakan dakwah atau aktivis dakwah bersikap pesimis, maka masyarakat akan lebih pesimis lagi. Walau pun pesimisme itu sendiri tidak semestinya tercela tetapi ia tidak sejajar dengan semangat yang wujud dalam banyak ajaran Islam.

 

6. Islam tidak suka sikap suka mengeluh dan merungut. Orang yang merungut dan mengeluh hanya akan menimbulkan tekanan dalam diri sendiri dan memberatkan beban yang sedia ada. Dakwah adalah satu kewajiban yang perlu ditunaikan, samada kita suka atau tidak. Oleh itu, tunaikanlah ia dengan kegirangan. Nikmatilah segala yang terdapat di dalamnya.

 

7. Asas pembinaan optimisme dan harapan ialah yakin akan janji Allah taala, kuat bersandar kepadaNya dan bersabar dengan niat untuk mendapat ganjaranNya terhadap kesulitan yang menimpa.