Membaiki individu bukan hanya dengan teguran

taubat-2“Telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya si Fulan melakukan solat sepanjang malam, tetapi apabila di waktu siang, dia mencuri. Rasulullah s.a.w pun berkata, “Bacaannya (dalam solat) akan menghentikannya.” Dalam riwayat lain, “Solatnya akan mencegah (maksiat) dia.” (Riwayat Ibn Hibban dan Ahmad)

Dalam sebuah hadis yang hampir sama maknanya, Anas meriwayatkan bahawa terdapat seorang pemuda Ansar yang selalu menunaikan solat bersama Nabi s.a.w tetapi dia selalu melakukan kejahatan dan mencuri. Apabila disampaikan kepada Nabi s.a.w, beliau berkata, “Solatnya akan mencegah dia.” Setelah berlalu waktu, dia pun bertaubat dan menjadi baik. Nabi s.a.w berkata, “Tidakkah aku telah katakan kepada kamu?” (Riwayat Al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya)

Pengajaran

1. Hadis-hadis ini menjelaskan firman Allah taala, “…Sesungguhnya solat itu mencegah dari [melakukan] kejahatan dan munkar dan mengingati Allah (solat) itu adalah lebih besar (dari ibadah-ibadah lain)…” (Al-Ankabut: 45)

2. Bukan semua kejahatan seseorang  itu ditangani dan diubah dengan teguran, nasihat atau kaunseling, apatah lagi leteran.

3. Perhatikan! Nabi s.a.w tidak berfikiran menghukum (judgemental) apabila menerima aduan mengenai orang berkenaan. Beliau juga tidak bertindak untuk terus menghukum orang berkenaan atas maksiat yang dia lakukan (i.e. mencuri) sedangkan ada yang datang memberi kesaksian. Sebaliknya, Nabi s.a.w mengambil jalan lain untuk membaiki (rehabilitate) orang itu.

4. Perhatikan juga! Nabi s.a.w tidak suruh sahabatnya untuk menyiasat orang berkenaan supaya dia ditangkap dan dihukum walau pun aduan yang dia terima melibatkan kesalahan jenayah i.e. mencuri.

5. Perhatikan! Para sahabat yang membuat aduan dan para periwayat hadis ini tidak menamakan orang berkenaan supaya identitinya tidak diketahui. Hal ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang menganjurkan kita menutup dan tidak mendedahkan aib seseorang, walaupun dia seorang ahli maksiat, kecuali jika perlu sahaja.

6. Hadis ini adalah dalil bahawa Islam lebih suka rehabilitasi mereka yang bersalah dan melakukan maksiat. Maka, dakwah haruslah fokus pada rehabilitasi manusia, bukan menghukum semata-mata.

7. Kadangkala kelemahan dan kejahatan seseorang  itu ditangani dengan mengajak dia melakukan ibadah yang akan memberi dia kekuatan untuk meninggalkan maksiat atau mengatasi kelemahan diri, atau mewujudkan persekitaran yang membantu dia berubah atau dengan terus mendampingi dia sebagai rakan yang baik hingga dengan itu hatinya menjadi lembut untuk berubah.

8. Manusia tidak berubah dengan sekelip mata. Ia memerlukan masa.  Oleh itu, masa haruslah menjadi sebahagiani dari penawar kelemahan manusia. Janganlah terburu-buru dengan terus menghukum pelaku salah.

9. Manusia itu berbeza-beza. Oleh itu, diperlukan pendekatan yang berbeza-beza untuk mengatasi masalah diri mereka. Elakkan dari pendekatan satu cara sahaja. Kenal pasti diri orang berkenaan bagi membolehkan pendekatan yang sesuai untuknya.

10. Apa yang Nabi s.a.w juga bersesuaian dengan sikap Allah taala yang tidak bersegera menghukum sesiapa atau mana-mana kaum yang ingkar kepadaNya. Sebaliknya, Allah taala sentiasa memberi mereka cukup peluang untuk berubah hinggalah tiba masa yang sesuai, iaitu apabila telah diberi cukup masa dan harapan untuk berubah sudah tiada.