Pelajaran 76 – Jika Mendakwa Sesuatu, Bawalah Hujah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Keterangan dan bukti adalah tanggungjawab sesiapa yang mendakwa dan sumpah adalah ke atas sesiapa yang mengingkari dakwaan.” (Riwayat Al-Baihaqi)

“Saksi adalah tanggungjawab sesiapa yang mendakwa dan sumpah adalah ke atas sesiapa yang mengingkari dakwaan.” (Riwayat Muslim)

Pelajaran

1. Kedua hadits di atas meletakkan prinsip bagi sesiapa jua yang mendakwa sesuatu. Ia bukan hanya relevan dalam konteks perbicaraan di mahkamah tetapi juga relevan dalam konteks menegakkan sesuatu hujah. Ertinya sesiapa jua yang mengemukakan sesuatu teori, pandangan, hujah, tuduhan, dakwaan dan lain-lain, maka ke atasnyalah beban untuk membuktikan kesemua itu, bukan ke atas pihak yang tidak bersetuju dengan teori, pandangan atau hujahnya dan bukan ke atas pihak yang dituduh dan didakwa sesuatu perkara ke atasnya.

2. Status seseorang sebagai aktivis dakwah tidak memberinya lesen untuk membuat tanggapan bahawa kata-katanya adalah benar kecuali dapat dibuktikan kesalahannya.

3. Sesuatu pandangan, idea, teori dan dakwaan tertegak atas hujah dan bukti. Dengan hujah dan bukti juga sesuatu itu ditolak dan dibatalkan. Selama mana sesuatu bukti tidak dibatalkan maka idea berkenaan akan terus tertegak sejajar dengan bukti yang dikemukakan. Setakat mempertikaikan atau mempersoalkan sesuatu idea tidak memadai untuk menolak atau membatalkan idea berkenaan.

4. Namun dalam perkara yang jatuh dalam kaedah ‘Asal sesuatu perkara itu halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya’, maka bukan tangungjawab utama pihak yang melakukan perkara itu untuk mengemukakan bukti keharusan tindakannya tetapi menjadi tanggungjawab pihak yang menolak perkara itu untuk membuktikan perkara itu salah dan haram.

5. Namun ini tidak bermakna kita bermudah-mudah dalam tindakan kita, kerana komitmen terhadap agama sepatutnya mendorong kita  untuk menyelidiki samada di sana ada dalil yang mengharamkan sesuatu tindakan sebelum melakukannya dan tidak berpada hanya dengan berpegang pada kaedah yang dinyatakan di atas.

6. Apabila masing-masing pihak telah mengemukakan hujah dan bukti bagi idea masing-masing, adakalanya sesuatu idea itu gugur kerana hujahnya dikalahkan oleh idea yang lain. Namun kadangkala juga kedua-kedua idea berkenaan tetap tertegak kerana setiap satu tidak kuat untuk membatalkan yang lain. Hakikat ini dapat dilihat dalam banyak pandangan para ulama dahulu dalam pelbagai isu. Setiap pihak berhujah antara satu sama lain tetapi pandangan kedua-keduanya dapat diterima dan terbuka kepada sesiapa sahaja untuk berpegang dengan pandangan mana-mana pihak berkenaan.

7. Dalam hal ini kaedah fiqh ada mengatakan ‘Sesuatu ijtihad tidak terbatal oleh sesuatu ijtihad yang lain’. Oleh itu, sesuatu idea yang diasaskan atas bukti-bukti yang tidak bersifat absolut dari segi kebenarannya tidak membatalkan idea yang berdasarkan bukti-bukti yang sama.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.